Saturday, July 28, 2007

Kolokium Kemerdekaan: Mahasiswa kesal UIA bersekongkol bersama Umno-BN


Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kesal dengan sikap pentadbiran universiti yang mencampurkan agenda politik kepartian dengan program universiti berkenaan.

Terbaru pihak We Unite For Islam (Wufi) melahirkan rasa kekesalan terhadap pihak pentadbiran UIAM di atas penganjuran program Kolokium Kemerdekaan Malaysia Ke-50 pada Sabtu 21hb Julai di Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM yang bertemakan ‘Cabaran Masa Depan’.

Menurut Jurucakap Wufi, Ahmad Fawwaz Abdul Aziz, kolokium ini dianggap penting kerana ia dapat menghidupkan semangat patriotik di kalangan mahasiswa dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang sanggup mengerah keringat dan bersabung nyawa untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British.

"Sebagai institusi pendidikan akademik ia seharusnya membincangkan perkara ini dengan rasa terbuka dan diolah daripada perspektif intelektual tanpa dicampuri dengan agenda politik kepartian," ujarnya dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada Harakahdaily.

Ini kerana pihak Wufi melihat, pihak pentadbiran UIAM sudah semakin lunak dengan menampilkan program-program hasil kerjasama dengan UMNO secara jelas.

Walaupun pihak kerajaan ingin memberikan penerangan soal kenegaraan, agenda negara, isu ekonomi dan sosial ia mestilah menggunakan locus standi sebagai jentera atau mekanisme kerajaan bukannya agen parti.

"Sebagai contoh program Kelab Wawasan, Forum Cinta, pada semester satu yang lalu telah menampilkan salah seorang exco Puteri Umno. Begitu juga dengan program kolokium pada kali ini juga adalah hasil kolobrasi UIAM, IIUM Holdings, Mubarak dan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC)," demikian kenyataan tersebut.

Pihak Wufi merasakan ‘trendy’ yang digunakan oleh pihak Umno dan Barisan Nasional adalah dengan mengadakan kerjasama program dengan proksi-proksi mereka di universiti-universiti seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kelab Wawasan untuk meluaskan pengaruh dan agenda doktrinisasi mereka kepada mahasiswa.

Di samping itu, pihak tersebut ujar Fawwaz turut mewakilkan beberapa pimpinan parti untuk berucap dan menjadi panelis forum dalam program mahasiswa sepertimana yang dihadiri oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika program Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA pada 9 hingga 11 Julai yang lalu.

Pihak WUFI juga telah mengadakan perbincangan bersama beberapa front mahasiswa yang lain di UIAM ini antaranya ialah Briged Hizbi, Free Students Front dan Siswa Merdeka untuk memelihara Taman Ilmu dan Budi ini daripada dicengkam dan diperkudakan oleh Umno.

Tambahan pula, pihak WUFI ingin menekankan bahawa kolokium ini satu pendekatan yang terbaik untuk menanamkan rasa cintakan negara sepertimana Rasulullah SAW juga cinta terhadap negera kelahiran baginda, Makkah Mukarramah.

Bahkan menurut Wufi, Timbalan Rektor, Ustaz Hamidon Abdul Hamid juga telah mengeluarkan notis pekeliling untuk mewajibkan semua mahasiswa UIAM tahun satu untuk menghadiri kolokium tersebut

Petikan dari : Harakahdaily

Mahasiswa kembali menggugat atau tergugat?

BEKAS aktivis mahasiswa, Ahmad Lutfi Othman menjelaskan bahawa elemen yang perlu ada bagi memartabatkan kembali gerakan mahasiswa adalah sifat ‘non-partisan’, kemantapan agenda perjuangan dan keberanian semulajadi sebagai anak muda.

Beliau juga bersetuju dengan pendapat seorang responden terhadap tulisan Ketua KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai 'Mahasiswa Perlu Kembali Menggugat'.

Menurut responden yang menamakan dirinya Malik El-Shabaaz, terdapat tiga syarat utama untuk mahasiswa kembali menggugat.

Keperluan pertama mahasiswa untuk bangkit dan bersuara lantang adalah menjauhkan diri daripada dilabel sebagai kumpulan mahasiswa parti pembangkang.

Syarat kedua, mereka perlu bergerak berlainan daripada parti politik yang sedia ada dan syarat ketiga berani.

Malik juga menyatakan bahawa beliau yakin dan optimis bahawa mahasiswa akan kembali ke jalan raya sambil melaungkan slogan keramat yang dirinduinya iaitu 'STUDENT POWER' dan 'HIDUP MAHASISWA'.

Zaman keunggulan mahasiswa, menurut Lutfi, adalah ketika mana pelajar bebas bereksperimen sebelum pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1975.

Beliau menyokong pandangan di dalam blog anwaribrahimblog.com yang menyatakan dalam zaman Anwar aktif di kampus, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, telah berjuang habis-habisan atas isu masyarakat seperti setinggan, isu kemiskinan di Baling bagi merealisasikan peranan mahasiswa sebagai jurubicara masyarakat.

"Tak kisahlah selepas keluar kampus, mereka nak memilih aktif dalam parti politik yang mana. Bagi saya, sama ada di luar kampus mereka menganggotai parti pemerintah ataupun pembangkang, mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai jurubicara masyarakat semasa menjadi mahasiswa," ujarnya.

"Ini adalah kerana, bagi saya, dalam setiap keadaan, negara memerlukan generasi muda yang tiada kepentingan apa-apa untuk berperanan sebagai 'check and balance' kepada keputusan dan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau melahirkan kekesalan atas sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan yang menyatakan seolah-olah mahasiswa perlu ‘non-partisan’ sedangkan secara terang-terangan mereka (pihak institusi pengajian) sanggup bersekongkol dengan Umno dalam menjalankan agenda tertentu.

"Sekarang idea non-partisan itu telah hancur apabila secara sembrono dan membuta-tuli Umno, khususnya di peringkat sayap Pemuda dan Puterinya, mempengaruhi perjalanan kampus, hinggakan mereka boleh mengarahkan pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) mengikut telunjuk Umno bagi mengalahkan kumpulan mahasiswa yang dianggap propembangkang," tegas Lutfi.

Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Pengarang Harakah pernah memperincikan mekanisma komplot Umno bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor HEP 17 IPTA seluruh negara, yang diarahkan bermesyuarat di Ibu Pejabat Umno Malaysia, di PWTC, bagi mencari jalan singkat untuk memenangkan semua kumpulan pelajar Aspirasi pro-Umno dalam pilihan raya kampus dua tahun lalu.

"Apabila Umno secara biadap masuk campur sebegitu dalam, maka secara atomatik konsep non-partisan itu hanya tinggal khayalan. Malah saya cadangkan, Pemuda parti-parti pembangkang perlu berani turun ke kampus, bagi menyelamatkan masa depan anak-anak muda kita," ujarnya.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sesi 1986-87 turut menyelar tindakan Umno yang memperkudakan pegawai-pegawai kanan universiti. "Lebih malang lagi apabila pegawai-pegawai yang bergelar profesor berpangkat dato' itu rela dicucuk-hidung, dan dalam kes tertentu mereka sendiri beria-ia mahu menjadi hamba Umno," hujah Lutfi.

Menyentuh era zaman keunggulan mahasiswa yang kian sirna, Lutfi bagaimanapun berkata beliau masih yakin generasi muda hari ini punya kekuatan dan potensi luar biasa sekiranya tidak ada tangan-tangan ghaib pemerintah yang terus mengasak budaya takut ke dalam kampus.

"Berbanding dulu, tekanan yang dikenakan ke atas gerakan mahasiswa kini berada pada tahap yang boleh dikatakan luar biasa," katanya.

Bagaimanapun, beliau berbangga dalam situasi ini, mereka masih mampu mengadakan mobilasi sekumpulan mahasiswa yang bangkit untuk sesetengah isu yang menyentuh kebajikan masyarakat serta survival ummah.

Jelasnya lagi, senario kini lebih kepada agenda jahat pihak tertentu untuk membunuh idealisme mahasiswa secara tidak beradab melalui tindakan mencantas semua tunas baru yang dilihat hendak tumbuh.

"Kita tidak boleh menyalahkan 100 peratus kepada mahasiswa akan situasi kelesuan gerakan mereka mutakhir ini lantaran tekanan hebat daripada pihak luar," katanya.

Namun begitu, beliau sangat hairan akan motif sebenar tindakan pihak yang melancarkan konspirasi terancang ini.

"Kenapa pihak tertentu begitu risau melihat kumpulan pelajar yang dilihat mempunyai aspirasi berbeza dengan kerajaan sehingga sanggup melakukan apa jua tindakan termasuk mengikat tangan, menutup mata dan telinga mereka di UIA?" ujar Lutfi lagi.

"Bukankah bekas aktivis mahasiswa selepas keluar alam kampus memilih untuk aktif dengan parti pemerintah? Jadi, apa yang dibimbangkan sangat dengan trend protes anak-anak muda kita itu," tambahnya.

Berikut adalah teks penuh artikel Dato' Seri Anwar Ibrahim:

Mahasiswa perlu kembali menggugat

Dua hari lalu seramai 13 pemimpin mahasiswa berkunjung ke rumah. (Nama dan pertubuhan tidak akan dicatat atas sebab yang saudara-saudara sedia maklum).

Saya diminta menjelaskan gerakan mahasiswa menggugat pada akhir dekad 60-an dan 70-an berbanding kelesuan kini. Saya jelaskan meskipun terdapat tekanan dulu, namun ruang masih diberikan untuk mahasiswa meluahkan pandangan.

Keduanya pimpinan mahasiswa ketika itu prihatin dengan isu kemiskinan desa, rasuah, isu bahasa dan pendidikan serta persoalan akhlak dan etika yang diungkap oleh pimpinan mahasiswa terutama PBMUM, PMIUM dan PKPIM.

Beberapa profesor kanan seperti Profesor Zainal Abidin Wahid, Prof A Bakar Hamid, Prof Syed Husin Ali, Prof Khoo Kay Khim, dan Prof Tengku Shamsul juga memberikan dorongan agar mahasiswa berindak menegakkan kebenaran dan keadilan.

Kini tekanan lebih mencengkam, pimpinan universiti kebanyakannya diarah mengawal mahasiswa saperti anak-anak sekolah menengah, malah beberapa prof rela menjadi perkakas BTN dan Umno mempertahankan kezaliman dan rasuah yang berleluasa.

Saya gesa mereka supaya kembali kepada persoalan pokok, apa yang kita ungkapkan sebagai paksi tauhid yang perlu mencernakan akhlak baik dan prinsip perjuangan luhur. Generasi muda tidak ditandai daripada umur semata, malah keresahan dengan kepincangan yang berlaku serta idealisme memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Alasan tekanan AUKU ada kebenarannya tetapi ia tidak harus menjadikan kita lemah, kaku sehingga sanggup diperalatkan untuk mempertahankan kerakusan mereka.

Mahasiswa seharusnya menjadi ‘conscience of the majority’ berlandaskan prinsip murni. Maka kita harus menimba ilmu dan mampu menyanggah propaganda picisan yang dihembur media Umno-BN, melalui perbincangan kelompok kecilan, blog, pengedaran rencana.

Kita perlu punyai keberanian dan kebijaksanaan, tidak meluru menghantuk tembok dan tidak menyorok gaya si bacul.

Petikan dari : Harakahdaily

Thursday, July 26, 2007

Ku Reply Watikahmu Adam

Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa,
temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan
bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan,
kerana aku buruan syaitan.

Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan
kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman,
itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya.
Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku
nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau-bilaulah suasana,
Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil
sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah
yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu
tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku,
bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tapi.....aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku
mesti tunduk ketika menjadi isterimu.
Namun.....terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.
Adam,
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan
kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku,
kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,
memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan
Tuhanmu.

Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku
kini,
aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan.
Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku.
Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup
dari hujung kaki sampai hujung rambut.
Tapi......realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.
Adam..... mengapa kau biarkan aku begini?
Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu.
Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu.
Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara,
aku ke hutan memikul senjata.
Padahal, kau duduk saja.
Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja.
Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba,
kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara.
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam.....
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong,
maka Adam yang patut tanggung!
Kenapa? Mengapa begitu ADAM?
Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak bapak tak pandai didik,
jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar!
Adam kau selalu berkata,
Hawa memang degil, tak mahu dengar kata,
tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini

Adam,
seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama
seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap
mereka?
Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam....
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu,
aku adalah pengikut-pengikutmu
kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku.
Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.
Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku...akalku satu nafsuku beribu!
Dari itu Adam,pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa dan lalai,
sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah,
perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi
hidupku.
Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih
Allah.

Adam,
Andainya aku masih lalai dengan karenahmu sendiri,
masih segan mengikut langkah para sahabat,
masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah,
dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri
dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu.......

Suara Hati Seorang Mama

KEPULANGAN anak-anak ke kampung halaman selepas minggu pertama di universiti merupakan satu kepulangan yang amat bermakna buat keluarga bagi saya seorang ibu.

Bahkan, kami sekeluarga meraikan kepulangan anak perempuan kami dengan keluar makan di sebuah restoran terkemuka di daerah kami.

Namun sebagai seorang ibu, saya benar-benar terkejut apabila anak gadis saya yang merupakan seorang graduan di universiti bertanyakan soalan yang berbunyi, “Mak, mana yang lebih bagus, seks sebelum makan atau seks selepas makan?” Hancur luluh hati saya apabila seorang gadis desa yang merantau ke ibu kota bertanyakan soalan yang sebegitu jelik dan mengaibkan.

Apabila ditanya, anak saya juga mengaku bahawa topik-topik perbincangan sebegitu sudah menjadi suatu kebiasaan di sana.

Air mata saya hampir menitis apabila dia menyatakan bahawa ada satu program yang dinamakan Stupid Debate telah diadakan di kolej kediamannya sempena Minggu Interaksi, Kolej Kediaman ke-12 secara terbuka di kafe kolej berkenaan.

Banyak lagi topik ‘hangat’ yang telah dibincangkan selain tajuk itu, sehingga kita tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku di universiti kita sekarang?

Adakah anak-anak kita diajar untuk menjadi tidak senonoh dengan perkara-perkara yang sebegitu keji?

Tambah memilukan lagi, menurut anak saya, malam berikutnya, ada tayangan perdana yang menayangkan beberapa filem dari malam hingga ke subuh.

Bagi saya, perbincangan tentang pendidikan seks ini relevan bagi masa sekarang lantaran banyaknya gangguan seksual berlaku khususnya terhadap golongan wanita.

Namun yang pastinya diskusi ini dibincangkan dalam bentuk ilmiah yang diberi oleh mereka yang pakar dan profesional. Ini memberi impak dan kesan yang baik kepada remaja masa kini.

Saya juga tidak menyalahkan remaja yang ingin berseronok tetapi alangkah baiknya jika keseronokan itu dikawal dan tidak berlebihan agar budaya ketimuran kita terpelihara.

Sebenarnya, menjadi tanggungjawab pentadbiran kolej atau universiti untuk melihat pengisian yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung agar sejajar dengan misi dan visi universiti.

Kita bukan sahaja ingin melihat anak kita bijak dalam akademiknya bahkan kita mahukan budaya intelektual diwujudkan khususnya di institusi pengajian tinggi.

Untuk makluman, suami saya juga merupakan bekas graduan di universiti yang sama namun katanya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang dia menuntut di situ.

Apa yang kami mahukan adalah penjelasan daripada pihak pentadbiran kolej atau universiti. Kami selaku ibu bapa benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku sebenarnya.

Kami tidak mahu anak-anak kami nanti menjadi sampah masyarakat keluaran universiti-universiti tempatan.

Pada pandangan saya, perkara sebegini bukan sahaja berlaku di Universiti Malaya sahaja, ia pasti berlaku di universiti lain.

Kepada ibu bapa, tanyalah kepada anak-anak anda sendiri apakah sebenarnya yang telah mereka lalui sepanjang di universiti, saya yakin dan pasti bahawa anda akan sependapat dengan saya kerana setiap ibu bapa mahukan anak-anak mereka menjadi manusia yang sebenar-benar manusia.

Tak perlu untuk kita bertegang urat untuk menyelesaikan perkara ini, cuma cuba fikirkan apa yang akan anda rasa apabila anak anda adalah salah seorang daripada mereka yang terlibat dengan ‘kejadian’ yang saya kemukakan.

Mungkin ramai yang sukar untuk percaya, namun terpulanglah, tepuk dada, tanya selera.

– MAMA TERGURIS,Johor.

Coretan Sebuah Permulaan Jalan Kehidupan

Assalamualaikum. Ceritera ini sekadar secoret bingkisan di celahan mehnah hidup yang pernah ku lalui.

Masih segar di dalam ingatan, ku dihantar jauh nun meninggalkan keluarga yang tersayang. Jauh di sebuah negeri yang dikenali dengan Negeri Tadahan Wahyu. Dijauhkan daripada keluarga yang sememangnya memberi seribu kepedihan. Hatiku ibarat dihiris-hiris. Seringkali ku tertanya sendirian, kenapa aku dihantar sebegini jauh. Adakah aku ada melakukan dosa yang besar kepada keluarga. Seribu satu jawapan bermain di minda kerdilku ini.

Setibanya aku di sebuah sekolah, dapat ku saksikan wajah-wajah sugul, mungkin mengalami situasi yang sama, dihantar oleh keluarga masing-masing. Masih teringat, terdapat sebuah papan besar yang agak daif bertulisan jawi. Ku cuba membacanya berdasarkan sedikit ilmu yang telah digarap oleh abah dan mama. “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum”. Ku yakin ini ialah sebuah sekolah agama kerana jarang dapat ku lihat tulisan seperi itu di sekolah-sekolah yang pernah ku duduki sebelum ini.

Ku ditempatkan di sebuah bilik yang terpaksa dikongsi bersama 19 orang pelajar lain. Sekali lagi ku tersentak, adakah ini tempat tidurku yang akan ku diami selama setahun. Tiada kipas, tiada itu, tiada ini. Serba serbi tidak kena dengan jiwaku. Ku inginkan katil tebalku. Ku inginkan kipas yang laju. Sememangnya berlainan dengan kehidupanku bersama keluarga sedari kecil sehingga berusia 12 tahun. Ku hanya memikirkan untuk bermain, belajar dan mengikut kemana sahaja ayah dan ibu pergi, samada mesyuarat atau kuliah. Apatah lagi jika mereka pergi melancong. Ku pasti tidak ketinggalan. Ku dijaga dan diasuh seperti kanak-kanak biasa yang lain. Ke sekolah kebangsaan dipagi hari, ke sekolah agama rakyat di petang hari. Namun kini tiada lagi. Ku memulakan kehidupan baru dengan serba serbi yang baru. Tempat penginapan yang baru, teman baru, dan abang baru yakni ketua bilikku.

Kesekian harinya, bermulalah kisah hidupku yang baru dimana ku mula diajar dan dididik mengenai asas-asas dalam akidah, akhlak, ibadah dan juga kepimpinan. Tidak lupa juga dengan pelajaran-pelajaran yg biasa seperti pelajar-pelajar lain. Cuma kami mendapat layanan khas dari abang-abang senior. Sekali lagi perkataan Usrah ku dengari. Kali ini lebih acap kali disebut-sebut oleh abang seniorku yang juga dikenali sebagai naqibku. Ku pernah dengar perkataan Usrah seawal ku berusia 6 tahun. Kerana ayahku juga merupakan naqib kepada sahabat-sahabatnya di kawasan taman perumahan. Tetapi disini dan di sekolah tercinta ini kami diajar secara intensif dimana kami terpaksa menghadam semuanya secara konsisten. Di sini juga aku diperkenalkan dengan tazkirah yang perlu didengar dan disalin tiga kali setiap hari, bacaan Al-Mathurat dan macam-macam lagi. Tidak ketinggalan juga pengalaman berqiyamulail secara beramai-ramai bersama teman-teman. Penah ku mempersoalkan, kenapa perlu ku salin tazkirah, bukankah hanya mendengar, ilmu akan datang dengan lebih jelas. Tanpa ku sedari, aku juga seorang yang mudah lupa seperti manusia biasa. Namun apakan daya, ku gagahkan diri menuruti apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh abang-abang naqib atau lebih dikenali sebagai ahli tanzim BADAR, Badan Dakwah dan Rohani.

Setelah kami didik dan diasuh dengan pelbagai ilmu-ilmu secara teori, kami terpaksa memperaktikkannya secara total. Bukan sahaja didalam kehidupan harian di sekolah, malah perlu kami praktikkan juga di dalam tamrin. Apa itu tamrin ?.Inilah pertama kali ku dperkenalkan dengan istilah tamrin. Apa itu tamrin sebenarnya ?, Ku tertanya sendirian. Melihat kepada peralatan yang hendak dibawa dikala ku mempersiapkan diri, ku sangkakan ia adalah sekadar perkelahan dan santai. Tetapi, sakaanku meleset sama sekali. Ia tidak seindah perkelahan. Lebih senang ku gelarkan sebagai kem tentera. Ingin sahaja ku memberontak. Kenapa setiap pergerakanku di kecam oleh abang-abang senior. Mungkin ada salah silapnya. Mungkin mereka sengaja. Masih segar diingatanku, ketika ku berusia 14 tahun. Di dalam sebuah tamrin, ku disoal mengenai rukun-rukun usrah. Ku gagal menjawab secara tepat kerana takutkan abang-abang senior yang garang. Menyebabkan ku bertukar turutan antara Takaful dan Tafahum. Satu kilasan tepat pada kakiku dirasai. Secara separuh sedar, ku sudah terbaring diatas tanah. Memang jika ku ikutkan hati ini, inginku meminta ayah dan ibu mengeluarkanku dari sekolah ini. Tempat yang ku rasakan tidak sesuai untuk mendidik bakal pimpinan negara. Padahal, ia hanya coretan hatiku yang serba kekurangan dari segi ilmu, tarbiyyah dan akhlak.

Tanpa kusedar, usiaku sudah menggapai usia 17 tahun. Aku diamanahkan untuk menjaga adik-adik Tingkatan Satu dimana aku ditaklifkan sebagai seorang Ketua Bilik. Bertapa ku merasakan amat sukar dalam mendidik mereka. Seringkali ku terfikir bagaimana ketabahan dan kepedihan abang-abang senior mendidikku. Ku mula memahami kenapa mereka kadangkala bertindak kasar. Ku juga mula memahami mengapa kami dipaksa menulis dan menyalin tazkirah yang disampaikan oleh Muzakkir. Juga ku memahami mengapa ku diterajang kerana tidak dapat menjawab soalan dengan tepat.

“Never Crash Under Pressure”. Ku mula memahami apa perkaitan ungkapan ini dengan segala yang ku lalui sebermula dari dihantar oleh ayah dan ibu. Bukan niat abang-abang senior untuk melukakan hatiku. Bukan niat mereka untuk mempermainkanku. Ku memahami niat ikhlas dan suci mereka yakni semata-mata hendak mentarbiyah diriku yang serba kekurangan. Mereka berjaya mengubah secara langsung hidupku. Daripada seorang yang hanya mahukan kesenangan kepada seorang yang merindui kesusahan. Mereka telah mengubahku secara keseluruhan. Ku mula memahami anjakan paradigma yang dilakukan oleh abang-abang senior ke atas diriku. Ku kini bukan lagi seorang yang mudah menangis. Ku bukan lagi seorang yang takutkan tamrin. Ku bukan lagi sekadar anak-anak usrah yang mendengar usrah dari naqib. Ku telah menyedari istilah “Rela Dipimpin Untuk Memimpin”.

Ku juga memahami tujuan ku dihantar jauh dari keluarga. Ku memahami kesedihan ayah dan ibu tatkala berjauhan denganku. Tetapi dapat kurasakan ketabahan mereka yang secara tidak langsung membentukku dari jauh untuk menjadi seorang pemimpin kepada adik-adikku, pemimpin kepada keluarga dan seterusnya. Bukan kerana mereka benci padaku. Bukan juga kerana sengaja membiarkanku berjauhan. Ku mengerti akhirnya. Ku perlu mengenali dunia luar. Ku perlu menyelami kehidupan orang lain. Ku perlu belajar berkomunikasi. Bukan sahaja secara terus, malah secara dari hati ke hati. Dan akhirnya teknik komunikasi yang kedua tersebut menjadi salah satu dari kepakaranku. Ku mengaplikasikannya dalam mendidik adik-adik sebilik dibawah jagaannku. Ku mempelajari bagaimana memahami perasaan adik-adik yang mempunyai pemikiran yang mungkin lebih rendah dari kita dek kemudaan usianya. Selama setahun. Ku dapat merasakan kasih sayang antara kami amat erat. Menggantikan adik-adikku yang jauh nun di pertengahan Semenanjung.

Dan kini, ku hanya membilang minggu untuk menamatkan pengajianku di menara gading. Ku berterima kasih kepada ayah dan ibu kerana mendidikku secara berterusan. Ku berterima kasih kepada abang-abang senior kerana mengajarku erti kehidupan sebagai seorang lelaki, juga sebagai abang kepada adik-adik, juga sebagai anak kepada ayah dan ibu. Ku berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sama-sama mengharungi perjuangan ini. Perjuangan yang menjanjikan seribu satu masalah dan mehnah. Namun, semakin kuat mehnah, semakin erat ikatan antara kita. Semoga dengan sedikit sebanyak apa yang kuceritakan ini, dapat mengembalikan kenangan-kenangan terindah yang menyatukan kita semua.

Jazakallahu Khairann Katheera

Wednesday, July 25, 2007

ERTI MENOLAK POKOK

“Satu, dua, tiga, tolaaaak!!!. Satu, dua, tiga, tolaaaak!!!” begitu lebih kurang bunyinya ayat yang kami sebut beberapa tahun lepas sewaktu berprogram. Memang modul yang meminta para peserta menolak pokok ataupun bangunan sehingga tumbang, sering dilaksanakan oleh para pemodul dalam program peringkat kampus.

Dan , sepanjang ingatan aku sewaktu menjadi pelajar kampus dahulu, aku melalui modul ini dalam empat hingga ke lima kali tanpa memahami apa tujuannya kami berbuat demikian. Menolak pokok kelapa sawit di malam hari dengan harapan untuk menumbangkannya cukup membuatkan akalku tersungkur.

Aku cukup bosan apabila disuruh untuk menolak pokok sehingga tumbang dalam program-program kampus. Para pemodul tidak menerangkan dengan jelas kenapa kami disuruh menolak pokok ini. Nafas tidak cukup dan tersekat-sekat, badan bermandi peluh, urat saraf lenguh lumpuh dan bibir yang lemah akibat dipaksa untuk berzikir secara kuat sewaktu menolak pokok. Bingung. Kami bingung saat itu.

Husnu Al-Thiqah Billah

Namun, setelah aku pula diberikan suatu kesempatan untuk merangka modul bagi program meningkatkan komitmen dan daya juang ahli gerakan kampus, maka aku mulai berfikir dan mengkaji secara serius modul ini. Aku merujuk kembali abang-abang senior yang pernah mengaplikasikan modul ini ke atas kami dahulu.

Pada mulanya, aku telah berjanji pada diri sendiri dan juga pada semua sahabat-sahabat lain supaya kami membatalkan sahaja modul menolak pokok ini yang telah pun diamalkan sedari dahulu lagi. Bagi kami ianya useless and no meaning. Kami mahu memikirkan kaedah lain yang boleh membangunkan jiwa manusia pejuang tanpa perlu ada adegan menolak pokok.

Fikir punya fikir, kami akhirnya menemui satu titik sintesis dan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam program ini agar dapat melahirkan kesan yang positif dalam diri para peserta. Antaranya adalah kami perlu tanamkan perasaan husnu al-thiqah billah dalam jiwa AJK dan perserta program. Husnu al-thiqah billah bermaksud kita yakin dan percaya dengan cukup baik terhadap Allah. Apa jua yang kita lakukan mestilah memohon bantuan dan perlindungan daripada Allah S.W.T., Tuhan Sekelian Alam.

Tolak Pokok Balak

Sebenarnya telah menjadi budaya dan pemikiran songsang dalam diri kebanyakan pejuang Islam yang mana mereka sering meletakkan gerak kerja dan usaha mereka lebih tinggi daripada doa kepada Allah. Mereka teramat rajin, komited dan tidak kurangnya juga cekap-tangkas dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah. Tetapi mereka kurang berdoa, bersolat, munajat dan bersangka baik terhadap Allah S.W.T.

Lantas, dicadangkan agar diadakan semula modul menolak pokok itu. Dan, berkebetulan dalam program itu tiada pokok kelapa sawit untuk dijadikan bukti pentarbiahan kepada Allah tetapi sekeliling kami dipenuhi hutan tebal. Maka, pokok balaklah yang dijadikan mangsa modul malam itu. Mereka perlu menolak pokok dengan harapan ianya tumbang. Kami juga dahulunya disuruh dengan cara yang demikian untuk menguji sejauh mana kami pada saat itu menolak pokok dengan sekuatnya dan seiring dengan itu, hati, perkataan dan tindakan juga mengharap kepada bantuan Allah.

Pokok tidak pernah tumbang dalam mana-mana program pun kerana para peserta menolaknya hanya kerana disuruh oleh AJK dan ada juga antara mereka yang hanya berlakon ketika menolak pokok. Dan, ada juga yang menolak dengan sepenuh hati namun tidak yakin dengan bantuan dan pertolongan Allah. Tidak yakin ataupun tidak berdoa langsung pun pada Allah. Tiada husnu al thiqah billah dalam melaksanakan tugasan yang di amanahkan. Bagaimana aku tahu? Aku pun pernah jadi peserta dahulunya dan semua perasaan itu hadir bersama sewaktu menolak pokok.

Perkara yang sama juga berlaku di luar program iaitu sewaktu kita semua bergerak kerja untuk Islam. Kita rajin berusaha tetapi tiada hubungan doa dengan Allah S.W.T. Bagaimana teman-teman?

Oleh : Nazman (hanfeitsu)

Tuesday, July 24, 2007

Bertekad Untuk Menang



Merakyat perjuangan melalui fokus menjadi "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" adalah satu agenda yang paling banyak menarik perhatian dan minat saya. Fokus yang dicernakan dalam sidang muktamar baru-baru ini oleh YB Salahudin sememangnya suatu fokus yang patut diagendakan dalam gerakerja jemaah. Meliputi ruang lingkup dakwah beserta medan siasah, title "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" ini sebenarnya bukanlah suatu kerja yang mudah, bahkan ia menuntut lebih banyak komitmen.

Bercakap soal dakwah ini, saya tertarik untuk memetik sedikit kandungan buku "Jalan ke Hati" karangan al-Ustaz Abbas Assisi, "Para pendakwah hari ini perlu ada kepintaran dan ilmu pengetahuan yang tinggi untuk berhadapan dengan masyarakat manusia yang semakin hari semakin bijak. Cabaran sengit itu sepatutnya menjadi pendorong yang kuat kepada setiap individu muslim yang mahu menjalankan dakwah agar bunga-bunga keberhasilan dari dipetik dan dihiaskan di persada dunia. Walau apa cara sekalipun yang digunakan namun setiap usaha dakwah yang dilakukan itu tidak akan berjaya dengan sempurna jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan kepasrahan kepada Tuhan Yang Maha Esa"

Manakala kisah sahabat dalam membela Islam dan Nabi SAW pula boleh dilihat dalam persitiwa pengIslaman Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi SAW. Yang mana sewaktu beliau baru pulang dari berburu tiba-tiba ada orang memberitahunya: "Abu Jahal mengutuk anak saudaramu Muhammad semasa baginda sedang duduk di tepi Kaabah" Beliau terus pergi ke Kaabah lalu mencekup kepala Abu Jahal dan berkata:"Bagaimana kamu berani mengutuk Muhammad sedangkan aku berada di pihak agamanya?. Kemudian beliau pun berkata: "Aku masuk Islam"

Bertekad untuk menang memerlukan komitmen yang tinggi dan juga strategi yang ulung. Yang penting ialah kita terus bekerja dan bekerja untuk kemenangan Islam. Bekerja bukan sebarang kerja, tapi seperti yang disebut, bekerja dengan strategi yang ulung, kerana kita bertekad untuk menang. Yakinlah di akhirat kelak, Allah tidak akan menyoal mengapa kita tidak menang-menang, kerana urusan kemenangan itu semuanya milik Allah, tapi Allah akan bertanya mengapa kita tidak berjuang, mengapa kita tidak bekerja untuk mencapai kemenangan tersebut.

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu" (Muhammad:7)
Ini pula pesan yang cukup membekas daripada Al-Fadhil Ustaz Nasharuddin Mat Isa tatkala mengungkap ayat di atas dalam satu liqa' baru-baru ini. Ayat motivasi untuk para amilin dan murabitun supaya memahami maksud sebenar ayat ini di mana agama Allah ini tidak perlukan kita untuk menolongnya, kerana Allah yang memelihara agamanya...akan tetapi untuk kita sebagai hamba yang lemah ini ditolong Allah, maka wajiblah untuk kita terus menolong agama Allah...Wallahu A'lam

Moga Allah rahmati dan maqbulkan tekad kami untuk menang....

Ayuh Sahabiah, Siswi, Naqibah, Wirawati

Salahkah Jika Wanita Meminang & Menawar Diri Kepada Lelaki ?


Di dalam Islam kita sebagai muslim haruslah mengutamakan Al-Qur’an dan sunnah sebagai panduan dan bukan akal, bukan persekitaran atau pun adat.

Firman Allah swt :

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

Sekalipun dalam kaedah fiqhiyah menyebut “Al-A’dah Muhakamah” iaitu adat itu menjadi penghukum dan diambil kira dalam menentukan keputusan (lihat dalam Al-Wajiz fi Qawaid fiqhiyah m/s 100) namun sebenarnya pemahaman terhadap kaedah ini sering disalah erti oleh orang awam.

“Tidaklah kebanyakkan mereka itu mengikuti melainkan hanya berdasarkan semata-mata sangkaan dan tidaklah sangkaan mereka itu membawa mereka kepada kebenaran sedikit pun” (Yunus : 36).

Dimaksudkan adat sebagai diambil kira dalam hukum dan keputusan ialah apabila tiada dalil dan pertunjuk yang jelas dalam sesuatu perkara dari Al-Qur’an dan sunnah dan tidak wujud riwayat dari para sahabat dan salaf soleh. Selain itu terjadi adat sebagai pertimbangan hanya dalam perkara furu’ yang berbentuk kaedah pelaksanaan bukan dasar atau pegangan.

Misalnya dalam ibadah korban, jika pelaksanaan ibadah tersebut dilakukan di Malaysia maka adat terpakai dengan melakukan korban mengunakan binatang yang mudah didapati dan biasa dibuat korban misalnya lembu atau kambing bukan unta atau kibasy yang hanya terdapat di Negara arab.

Begitulah juga adat terpakai dalam penakrifan sesuatu perkara menurut sesuatu kaum misalnya orang yang bersumpah nazar tidak mahu memakan daging lalu dia memakan ayam kerana menurut kebiasaan daging merujuk kepada lembu, kerbau dan ayam tidak dikira sebagai daging demikianlah contoh pelaksanaan adat.

Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Al-An’am : 116).

Adapun dalam hal ibadah dan perkara dasar Islam seperti nikah dan perkahwinan yang merupakan sunnah dan ketetapan syariat maka hendaklah kita merujuk kepada Al-Qur’an dan sunnah selagi terdapat pertunjuk dan panduan dari keduanya.

Sebagaimana sabda baginda rasulullah :

" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha no.898 dan Hakim dalam Mustadrak no.63).

Sesungguhnya di dalam Islam disyariatkan kepada seorang wanita untuk menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh dan beragama apabila dirinya mendapati lelaki tersebut benar akhlaknya dan benar peribadinya menurut syariat Islam (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 107 Jilid 3).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan” (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).

Sesungguhnya hadith di atas tidaklah hanya mengkhususkan kepada baginda rasul sahaja bahkan ianya menjadi contoh teladan kepada semua wanita muslimah dan dibolehkan mereka menawarkan diri mereka kepada semua lelaki soleh muslim yang mukmin kerana apa yang terjadi kepada rasul selagi tidak dikhususkan maka ianya merupakan perbuatan sunnah yang umum.

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

Adapun menjawab ayat al-Qur’an yang menyebut kekhususan hanya untuk nabi seperti :

“Dan perempuan mukminah yang menghadiahkan dirinya kepada rasul…..hanya khusus untuk kamu dan bukan untuk orang yang beriman yang lain ” (Al-Ahzab : 50).

Dimaksudkan pengkhususan di sini ialah dalam masalah maskahwin iaitu dikhususkan untuk rasulullah bernikah dengan perempuan yang menghadiahkan dirinya kepada baginda nabi tanpa perlu baginda membayar maskahwin sedangkan bagi umat Islam yang lain diwajibkan membayar maskahwin namun untuk nabi diberi pengecualian (lihat Tafsir Al-Qur’anul Azim oleh Ibn Katsir ra m/s 124 Jilid 3).

Sebagai kesimpulan adalah menjadi sunat dan galakkan kepada wanita muslimah bagi menawarkan diri mereka kepada lelaki yang soleh dan beragama jika benar lelaki tersebut dilihat dapat membimbing diri mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar.



Malu itu sebahagian dari iman seperti yang disebut dalam hadith Ibu Umar ra bahawa baginda rasul menyebut : “Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36 , Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah).

Begitu juga dalam hadith yang lain baginda mengatakan : “Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).

Sungguhpun wanita Islam yang muslimah dan solehah itu akan mempunyai malu dan sebagai perempuan, sifat malu itu merupakan perhiasan namun tidaklah patut malu itu menahan dari tercapainya kebaikan dan terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.

“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48).

Bagi mereka yang merasa malu dan segan menawarkan diri secara berdepan mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat .

Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada rasulullah dengan menyampaikan pesanan khadijah ra :

“Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam m/s 122 Jilid 1).

Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra ? Wanita pertama Islam, serikandi utama dan mulia yang disebut dalam hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya :

Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan : Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata : “Hantarkanlah sebahagian daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari : Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah :

“ Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya” (hadith sahih riwayat Muslim no. 134 Jilid 7 dalam kitab Al-Minhaj).

Sesungguhnya Ummul Mukminah Khadijah ra yang kini di jannah merupakan wanita pertama dan mulia yang menawarkan dirinya kepada baginda demi mencari kebaikan dan kebajikan.

“ Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” (Surah Al-An’am : 38).

Teori Yang Tidak Benar


Masih ku ingat dengan jelas kata-kata nuqoba' ku sewaktu menjadi naqib kami di kampus dahulu, " Kita perlu bina individu muslim dahulu, kemudian baitul muslim, dan setelah itu semua keluarga-keluarga muslim ini bersatu menjadi mujtama' (masyarakat) muslim. Kemudian kita wujudkan daulah islamiah dan akhirnya apabila semua negara-negara Islam bersatu, kita akan tubuhkan semula khalifah Islamiah"

Walaupun sudah 5 tahun berlalu dari saat itu, namun wajah mereka yang tidak jemu-jemu mentarbiah kami masih segar diingatan. Pada waktu itu, aku berada pada tahun kedua pengajian di kampus dan baru berjinak-jinak dengan aktiviti usrah di kampus. Ku rindukan saat itu.

Individu Muslim-Baitul Muslim-Mujtama’ Muslim-Daulah Islamiah-Khalifah Islamiah

Ini teori yang kita semua dalam harakah Islamiah fahami dalam mewujudkan semula sistem Khalifah Islamiah yang telahpun hancur musnah pada tanggal 1924 masehi. Sama ada sewaktu aku mengikuti usrah, teori ini amat masyhur sekali.


Apa yang pastinya adalah, bermula dengan marhalah pertama iaitu dengan pembinaan individu muslim, suatu bentuk penegasan perlu dilakukan. Membina individu muslim bukan bermakna kita hanya berjaya membawa diri kita ataupun mad’u kita bersama-sama mengitima’kan (menggabungkan) diri bersama jemaah Islam dan melakukan semua gerak kerjanya semata-mata. Akan tetapi, negara Islam perlulah terlebih dahulu dibina dengan kukuh di dalam hati kita dan sahabat-sahabat seperjuangan.

Tiada hebatnya bagi seorang pejuang Islam yang sibuk ke hulu ke hilir, bergolok gadai berjuang dan sebagainya jika Islam tidak subur di hati mereka sendiri. Negara Islam dengan segala bentuk syariatnya, keindahan akhlaknya, dan kemurnian budinya tidak terbina di hati.

Bermakna, suburkan dahulu Islam di hati dan dalam masa yang sama berjuang bersama-sama dalam gerakan Islam. Berjuang dalam jemaah sama seperti menunggang basikal, jika kita menaikinya, maka kita perlu mengayuh. Jika tidak kita akan terjatuh. Begitu juga apabila bekerja bersama jemaah Islam. Sekali kita melangkah menyertai perjuangan suci ini, maka kita perlu “mengayuh” iaitu bergerak kerja, jika tidak kita akan tercicir di jalan dakwah.


Marhalah Kedua Sedikit Bermasalah

Baitul Muslim menjadi peringkat kedua yang perlu dilalui oleh pejuang Islam. Malahan ramai yang tidak sabar-sabar untuk melaluinya. Aku tidak pasti sama ada mereka merasa seronok dan excited untuk melaluinya atas kesedaran bahawa ianya adalah marhalah perjuangan Islam kita ataupun hanya semata-mata berasaskan nafsu homo ludens sahaja sama seperti orang lain yang tidak berfikrah sebagai pejuang.

Namun, apa yang pastinya adalah ramai pejuang yang menjadi kendur dan lemah semangat juangnya setelah mendirikan baitul muslim. Jika sebelum ini, ramai amilin yang tercicir setelah menamatkan pengajian di kampus, maka fenomena tercicir daripada medan dakwah setelah berumahtangga menambahkan lagi kegusaran kita semua.

Entah apa sebabnya sehinggakan ramai yang berkahwin sesama ahli jemaah yang hebat daya juangnya di kampus dahulu pun, mulai menghilang setelah berumahtangga. Ya, mungkin tidak adil untuk orang bujang sepertiku mengulas mengenai perkara ini. Namun, ianya adalah fakta yang perlu difikirkan.

Sepotong ayat ini mungkin berguna untuk membuatkan kita berfikir sejenak;

Surat At Taubah - Ayat 24 :

Katakanlah: "jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari ber-jihad di jalan-Nya , maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan NYA". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Bagaimana Mahu Menerbitkan Masyarakat Muslim?

Selalunya, sahabat-sahabat yang baru berkahwin ini akan secara perlahan-lahan mengurangkan momentum dalam gerak kerja. Mungkin kerana mereka telah memikul tanggungjawab yang lebih besar saat itu, maka masa dan tenaga untuk jemaah akan berkurangan.

Mereka perlu menanggung makan-minum, perumahan, belanja harian, anak-anak dan sebagainya. Mereka memerlukan masa untuk menstabilkan kembali hidup mereka dan menyesuaikan keadaan hidup baru ini dengan tuntutan dakwah dan gerak kerja Islam. Perkara ini normal dan perlu kita semua fahami bahawa ianya adalah fitrah bagi insan yang mulai berumahtangga.

Persoalannya, berapa lama perlu diambil masa supaya kita kembali stabil? Berapa lama perlu kita habiskan masa supaya kita boleh kembali memperjuangkan agama Islam dengan sepenuh hati?

Permasalahannya adalah ramai yang mengambil masa terlalu lama untuk mengadaptasikan keadaan hidup baru mereka dengan gerak kerja Islam.
Sehinggakan ada yang terus menghilang tanpa khabar berita setelah berkahwin. Kita semakin kehilangan amilin.

Lantas, bagaimana untuk mewujudkan mujtama’ muslim jika ramai antara pejuang kita yang menghilang setelah menubuhkan baitul muslim?

Tidak semua begitu

Ya, memang benar bahawa tidak semua pejuang Islam bermasalah setelah menubuhkan baitul muslim. Malahan ramai yang berjuang dan berkorban dengan lebih hebat setelah berumahtangga kerana mereka mulai memiliki sayap kiri dan tulang belakang yang kuat untuk membantu mereka, dan itulah isteri.

Cumanya, bilangan yang ‘tersesat’ setelah berumahtanga tidak kurang banyaknya. Lantas, perlu dicari formula dan cara untuk mengembalikan semula mereka yang tersesat itu ke pangkal jalan dan matlamat asal pernikahan mereka. Juga, suatu bentuk pencegahan perlu dilakukan agar persoalan ini tidak akan berulang.

Bagaimana ingin menggunakan teori individu muslim--khalifah Islamiah ini jika di marhalah kedua pun sudah ramai yang tersungkur???? Jika beginilah sifirnya, maka teori ini tidak akan terpakai untuk kita.....

Da'ie dan Warna Diri



ANDA PARA DAEI ! APA WARNA DIRI ANDA?

Oleh : Ahmad Asyraf

“Saya tak reti la nak ‘masuk’ dengan budak kelas saya, diorang ni payah skit nak dakwahkan, ade ke patut kata saya ni mat skema”.Rungut seorang daei di sebuah kampus.

“Pening saya,ade ke saya di katakan emosional,pada hal saya rasa saya ok je, entahlah sahabat2 saya ni,tak paham betul!” Bentak pendakwah muda di satu institusi tinggi.

Begitulah serba sedikit rencah dalam dairi seorang pendakwah,rungutan mula muncul apabila berdepan dengan kerencaman sikap manusia yang terkadang kala menaikkan kemarahan.Namun,bagi pendakwah itulah bayaran yang perlu dibayar apabila terjun dalam medan pengislahan umat kini. Manusia rencam dan complicated …

Secara umumnya, manusia boleh dibahagikan mengikut warna diri yang berbeza. Pelajaran yang saya kutip dalam pengajian ilmu Color Vibration Therapy (CVT) membahagikan warna diri kepada empat bahagian utama iaitu Putih ,Merah Jambu ,Hijau dan Biru. Setiap manusia secara azalinya telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan warna dirinya yang tersendiri dan ekslusif.Dan warna tersebut diterjemahkan dengan sifat semulajadi individu tersebut.


Warna putih melambangkan Spiritual atau sifat kerohanian, manakala merah jambu (pink) melambangkan Emotional. Hijau pula melambangkan mental dan biru melambangkan fizikal. Jika di lihat dari sudut seerah Nabawiyyah keempat2 warna ini diwakilkan melalui empat khulafa’ arrasyidin dizaman Nubuwwah.

Putih dinisbahkan kepada Saidina Abu Bakar r.a , merah jambu dinisbahkan kepada Saidina Umar alkhattab r.a, manakala hijau dinisbahkan Saidina Uthman Ibn Affan r.a dan biru mewakili warna Saidina Ali r.a. Kita maklum bahawa keempat sahabat terutama Nabi SAW ini mempunyai karakteristik yang berbeza dan masing-masing menampakkan competitive advantages yang tersendiri. Malahan, kisah mereka juga dapat menonjolkan sifat dan sikap peribadi mereka sebagai qudwah hasanah kepada umat Islam.

Dalam dakwah kegagalan mengenali diri sendiri sebagai pendakwah dan sasaran (mad’u) akan menatijahkan mekanisme dan pendekatan yang kurang efektif. Kerana itu Dr Abdul karim Zaidan dalam buku Usuul adda’wah menekankan tiga arkanuddakwah ini di fahami dan diperkemasi oleh para daei.Kenali diri dan mad’u anda! Begitulah mungkin penekanan yang hendak disebutkan oleh Dr Kareem Zaidan.

Dengan memahami warna diri dan mad’u anda akan mencari titik keserasian atau paling tidak membina titik homofili bersama mad’u. Bahkan ianya tidak terungkai dari tiga penekanan dalam institusi usrah iaitu TAARUF (kenal),TAFAHUM (faham) dan TAKAFUL (Bantu). Bagaimana nak faham kalau tidak kenal, dan bagaimana nak tolong kalau tidak memahami?. Natijah memahami sifat seseorang akan menyebabkan kita matang dalam melayani kerenah dan mampu mengawal sifat negatifnya dengan memberikan rangsangan optimistic dalam minda para mad’u tentang kesyumulan manhaj Islam.

Namun,bagi para daei sifat yang selayaknya perlu disediakan dalam diri, bahkan keempat-empat warna itu sesuai digabungjalinkan dan dipraktikan mengikut masa dan tempatnya. Ada masanya emosi perlu disertakan, mental perlu diseimbangkan , ruhiyyah perlu diperteguhkan dan tenaga fizikal perlu diperkuatkan. Penggunaannya perlu sesuai dan sepadan dengan keperluan semasa, kerana itu daei perlu faham waqi’. Stephen R.Covey juga menyebut dalam karya masyhur: 7 Habits The Most Effective Person tentang sifat orang yang hebat antaranya “Seek to be understand then to be understood” (Baca: Cuba memahami sebelum mahu difahami).Dan itulah sifat yang perlu ada bagi daei!

Mengenali warna diri bermakna kita berusaha mengenali sifat dan sikap semulajadi serta sifat dominant yang ada dalam diri seseorang yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali. Ia sedikit sebanyak memberikan kita hint untuk mendekati sasaran dengan lebih efektif dengan memahami geraklaku dan tatakerja si mad’u.Dan itulah petanda awal kecemerlangan daei. Mengenali mad’u dengan betul ! Bahkan kita perlu mengenali kerenah dan perangai pelbagai lapisan masyarakat. Hayatilah Buku Thariqquda’wah : Baina Asaleh wal inhiraf ( Jalan dakwah antara keaslian dan penyelewengan) karangan Ust Mustafa Masyhur, juga kitab Aafaat Ala Thariq (Wabak sepanjang Jalan) karangan Dr Assayed Muhammad Noh dalam memahami gelagat (behaviour) dalam dakwah. Anda tentu akan mendapat sesuatu.

Ingatlah pesan Imam Hasan Al-Banna : Jadilah kamu umpama pepohon buah-buahan. Ia sering dilempar manusia barangan tiada berharga.Namun, diakhirnya dia (baca: pohon buah) itu akan menghasilkan buah yang akan memberi manfaat kepada makhluk. Apapun, doa saya kepada semua daei, teruskan tugas anda mengislah umat agar ia menjadi saham yang boleh dipersembahkan kepada Allah swt di akhirat kelak. Hidup ini sekali didunia maka nikmatilah ia dengan nikmat perjuangan Islam ! Ayuh kenali diri dan mad’u anda!


Rujukan :
1. Usuul Dakwah 1&2 (Dr Abdul Karim Zaidan)
2. Memperingati 100 tahun Hasan Al-Banna (Riduan Mohd Nor)
3. Jalan Dakwah Antara keaslian dan penyelewengan (Mustafa Masyhur)
4. Wabak sepanjang Jalan (DR Sayed Muhamad Noh)

Pemimpin Sejati Lahir Daripada Kekuatan Peribadi Sendiri


Sebelum kedatangan Islam di jazirah Arab, Kaabah wujud sebagai suatu medan untuk penggiat sastera Arab mengungkapkan kehebatan syair mereka. Syair Arab itu amat kaya dengan pemikiran, selain daripada ketinggian nilai dan mutu bahasa.

Salah satu syair Arab jahiliyyah yang termasyhur dan masih diwarisi setelah kedatangan Islam, ialah sepotong syair oleh penyair terkenal, iaitu Imra’ al-Qais. Sajak itu berbunyi:

Laisa al-fata man yaquulu kaana abi, wa lakin al-fata man yauulu haa ana za! (“Tidaklah dinamakan pemuda, sekiranya seseorang lelaki itu berbangga dengan keturunannya. Tetapi, lelaki sejati itu dinilai apabila dia berkata, ‘inilah aku!’).

Mafhum daripada syair ini ialah janganlah sesekali pemuda berbangga dengan kekayaan, kehebatan dan kegagahan nenek moyang. Tapi, mestilah berbanggalah dengan kekayaan, kehebatan dan kegagahan diri sendiri.

Memang wujud sikap sebegini dalam kalangan pemuda Arab. Mereka berbangga dengan keturunan serta mengagungkan kepahlawanan bapa dan nenek moyang dalam bani-bani dan kabilah mereka.

Imra’ al-Qais membidas sikap buruk ini melalui syairnya. Beliau melihat sikap berbangga itu mesti dinisbahkan kepada jasa dan bakti pemuda itu sendiri ke atas kaumnya. Mereka tidak lagi boleh berbangga terhadap jasa bakti bapa mereka yang telah menaikkan nama kaum dan kabilah mereka sendiri.

Pemuda Arab ini ditanya, “Apa yang disebutkan itu adalah jasa bakti bapa kalian. Tapi di manakah bakti yang kalian tumpahkan ke atas kaum sendiri yang boleh dibanggakan?”

Soalan ini jarang-jarang dapat dijawab oleh anak-anak muda. Penyakit ini sebenarnya ada pada setiap orang tanpa mengira kaum apa sekalipun.

Tahap paling kronik di dalam sebuah kabilah itu ialah apabila seorang pemuda yang tidak berkualiti, atau tiada kekuatan sahsiah tapi diangkat sebagai ketua, hanya kerana bapanya adalah pimpinan ternama di dalam kaum tadi.

Pemimpin sejati bagi sesuatu kaum adalah pimpinan yang teruji pemikirannya. Dia boleh menjawab persoalan umatnya. Mereka mampu menjawab permasalahan ekonomi, politik, dan lain-lain masalah yang melingkari kaum mereka.

Dia memiliki kekuatan peribadi, sahsiah terpuji. Ideanya dicatatkan, sebab hasil renungan pemikiran dan analisis kehidupan kaumnya telah dibahaskannya dengan lebih mendalam.

Apabila seseorang pemuda yang tidak berkualiti, diangkat sebagai pemimpin kaum hanya bermodalkan nama bapanya sebagai pemimpin, maka tunggulah saat kehancuran bangsa. Ini kerana, kerosakan bangsa bermula daripada kebejatan pemimpin, bukan rakyatnya.

Bagi pemuda yang memiliki jurai keturunan yang baik, dan kebetulan memiliki kekuatan pemikiran, peribadi yang baik, sudah tentulah hal ini menjadi lebih baik. Nabi Sulaiman a.s misalnya menaiki takhta sebagai raja bukanlah semata-mata baginda anak raja Daud.

Tetapi sebelum itu lagi Sulaiman telah membuktikan kepintarannya dalam menyelesaikan masalah yang tak dapat dirungkaikan oleh bapanya sendiri. Nabi Daud diangkat sebagai sebagai raja kerana baginda berhasil menumbangkan Jalut.

Daud ketika usia mudanya yang telah berjasa dalam perang, lalu beliau diangkat sebagai raja. Sulaiman a.s diangkat sebagai raja apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak ditemukan jawapannya oleh bapanya, Daud. Mereka tidak menumpang nama, jasa bakti bapanya demi melayakkan diri sebagai pemimpin bangsa.

Dalam kepimpinan alam Melayu, politik istana dan siasah antara bangsawan adalah suatu hal yang boleh kita ambil contoh juga. Contohnya Tun Abdul Razak yang digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan’. Beliau naik dengan sendirinya melalui usaha-usaha dan jasa bakti ke atas rakyatnya sendiri. Tetapi, adakah nilai ini mengalir ke atas anaknya sendiri?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyusun program yang membahaskan jasa-jasa ayahnya. Daripada suatu sudut, Najib seperti berbangga diri dengan nama bapanya. Adakah akhlak ini selaras dengan sikap pemuda seperti yang telah digariskan oleh penyair Arab jahiliyyah Imra’ al-Qais tersebut?

Rakyat atau generasi muda seperti penulis ini tertanya-tanya tentang sumbangan Najib ke atas bangsa Malaysia dan rakyat di negeri ini. Apakah sumbangan beliau sebagai Menteri Pertahanan sebagai contohnya? Adakah dengan pembelian kapal selam?

Menurut bacaan saya, orang Melayu kemungkinan besarnya adalah bangsa yang pertama membina kapal selam sebelum kaum-kaum lain mempunyai teknologi ini. Dalam Sejarah Melayu, disebutkan mengenai Raja Suran yang mencipta sejenis pesawat untuk meninjau sebuah kerajaan di bawah laut.

Namun, tahap pemikiran Melayu zaman kini hanya sekadar membeli kapal selam dengan bayaran jumlah komisyen jutaan ringgit. Ertinya, kementerian ini tidak banyak membuah hasil dan pulangan yang banyak kepada khazanah negara.

Lihat juga kegagalan program PLKN. Ia suatu program ad-hoc yang memisahkan ibu-ibu muda daripada anak-anak kecil yang masih menyusu. Pada saya, Akta Latihan Khidmat Negara (ALKN) persis perundangan Fir’aun dan Namrud yang gentar kepada Musa serta Ibrahim yang masih kecil.

Titah perintah Fir’aun dan Namrud untuk membunuh anak kecil inilah yang memisahkan Musa dan Ibrahim daripada ibu mereka ketika kecil. Musa dihanyutkan di Sungai Nil dan Ibrahim disorokkan di sebuah gua. Akhirnya, mereka membesar sebagai pimpinan agung.

Agak keterlaluan jika kita menyamakan Menteri Pertahanan dengan Fir’aun. Tetapi, saya rasa analogi ini memang wujud persamaannya. Kekuatan Fir’aun adalah pada tenteranya apabila sosok itu ingin membunuh Bani Israel beramai-ramai di Lautan Merah. Ingat, Najib adalah Menteri Pertahanan.

Ketika Najib membuat undang-undang ALKN yang memisahkan ibu-ibu muda daripada anak-anak yang masih menyusu, Fir’aun juga membunuh bayi-bayi kecil Bani Israel. Dan jangan dilupakan bahawa Fir’aun memiliki isteri; Asiah yang bersifat penyayang kepada anak-anak. Asiah menyelamatkan Musa dalam istana daripada cengkaman Fir’aun.

Isteri Najib bersifat penyayang sehingga wujud program anak-anak dengan slogan ‘Setiap Anak Permata Negara’. Sikap ini ada pada Asiah, isteri Fir’aun yang penyayang dan berlawanan dengan sikap suaminya.

Maka, lengkaplah putaran sirah yang diwakili dua watak yang sama dalam masa berbeza. Analogi ini tentunya mengundang kemarahan pihak-pihak yang tersebut di atas. Saya pun tertanya-tanya, kenapakah pimpinan negara selalu menjadi mangsa kritikan maut dengan penulisan rakyatnya sendiri? Adakah sudah hilang hormat mereka terhadap pemimpin?

Jawapan yang bermain dan berlegar di batu jemala saya cuma satu. Iaitu, mereka itu anak muda yang bukannya pemimpin sejati. Mereka diangkat sebagai pemimpin hanya kerana bermodal nama bapanya dan menumpang kemasyhuran nenek moyangnya.

Maka, bagaimana mungkin kepemimpinan jenis ini akan dihormati rakyatnya sendiri?

Empat Martabat Mahasiswa Dalam Misi Perjuangan

Ada empat jenis mahasiswa yang boleh dikategorikan berdasarkan nilai-nilai keberanian, kecerdikan, ketakutan dan kurang ilmu. Sebab itu, ada empat saf perjuangan yang mesti diisi oleh keempat-empat jenis mahasiswa tersebut.

Kita tentu tertanya-tanya, kenapa kepimpinan mahasiswa kurang menyerlah dengan idea tersendiri dan segar? Salah satu puncanya, ialah kerana ada pimpinan pelajar tertentu yang sepatutnya berada di saf pertama, tetapi telah dipilih untuk berada di saf belakang.

Ada pimpinan pelajar yang sepatutnya berada di saf ketiga, tetapi diangkat untuk berada di saf pertama. Apabila hal ini terjadi, wujudlah hal yang dinamakan gejala gerakan lesu. Antara mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini ialah majlis syura kampus.

Kebiasaannya syura kampus terdiri daripada mas’ul dalam kalangan pensyarah, termasuk pimpinan pelajar terdahulu yang bakal memutuskan, siapakah pimpinan baru yang bakal menduduki saf kepimpinan di masa akan datang.

Pemilihan saf pimpinan yang tidak tepat, kebanyakannya berakar daripada penyakit hati yang tidak bersih. Misalnya, pimpinan terdahulu telah berpecah dan masing-masing telah ada calon mereka yang tersendiri yang akan memihak kepada polisi mereka nanti dalam kampus.

Mas’ul pula, ada yang tidak mengenal pimpinan baru yang bakal menggantikan saf lama. Mereka lazimnya tidak mempedulikan faktor-faktor di atas sebagai pertimbangan; berani, cerdik, sifat penakut dan kurang pengetahuan tatkala membuat pemilihan dalam syura.

Setelah pemilihan, ada di antara pensyarah mas’ul yang berjumpa pimpinan baru. Mereka menasihatkan pelajar agar tidak terlalu berani, supaya tidak terjebak dengan Auku. Kalau mas’ul sendiri sudah takut, sudah pasti mereka tidak membantu mana-mana pelajar yang akan terhukum dengan Auku di universiti.

“Nantilah, biar enta sudah lulus universiti, enta buat apa-apa yang patut. Dalam universiti bahaya, mereka ada Auku,” itu yang sering disebutkan oleh kalangan pensyarah sendiri.

Jika fenomena ini masih berterusan, kita menemui masalah yang tidak akan selesai untuk selamanya. Mas’ul serta pimpinan pelajar lama memilih yang kurang berani untuk makin ditakutkan-takutkan dengan bahaya Auku, bukannya mereka ikut membantu. Ini berlaku pada sesetengah universiti seperti yang saya difahamkan, termasuk pengalaman saya sendiri.

Apabila siswa itu menyedari bahawa mereka tidak akan dibantu pensyarah, maka lumpuh pergerakan dan semangat mereka. Kecuali bagi mereka yang faham dan tidak pedulikan rintangan walaupun tidak dibantu mas’ul dan tidak didukung perjuangannya oleh jemaah.

Kembali kepada perbincangan asal. Siapa kalangan pelajar itu? Juga tentang jumlah saf.

Kelompok pertama, mahasiswa yang cerdik dan berani. Mereka inilah sepatutnya yang menjadi pimpinan di saf pertama. Mereka ini tahu bagaimana mahu menjawab dengan teratur, pemikiran dan hujahnya tersusun. Tidak ramai pelajar yang mampu menjawab dengan ikhlas, berani dan bertanggungjawab.

Kelompok kedua, mahasiswa yang cerdik tapi takut. Mereka ini pantas diletakkan dalam saf perjuangan kedua. Mereka ini sedar ada masalah rakyat yang perlu dibereskan, tetapi untuk berbicara mengenainya mereka jadi takut. Penawarnya ialah iman yang diyakini.

Ketiga, mahasiswa kurang ilmu dan berani. Walaupun berani, hal itu tidaklah meletakkan mereka di saf kedepan. Ini kerana perjuangan ini pengisiannya adalah ilmu. Penawarnya adalah meluaskan bacaan serta diskusi bersama kaum yang pelbagai aliran jalur pemikiran.

Keempat, mahasiswa kurang ilmu dan takut. Kelompok ini perlu diletakkan di saf perjuangan belakang sekali-saf keempat. Mereka tidak boleh menjadi pemimpin. Mereka ini pengikut biasa. Penawarnya, diskusi berpanjangan dan iman kepercayaan yang diyakini.

Di antara masalah pimpinan pelajar ialah hampir semuanya ingin memiliki pengikut yang ramai, mengejar kemasyhuran nama di kampus. Dengan itu nama mereka melonjak sekali gus mendapat tempat di hati rakyat.

Tapi, realitinya tidak ramai yang sudi dipenjarakan, dibuang universiti, walaupun mereka meyakini bahawa idealisme mereka telah diyakini benar dengan diperteguhkan oleh kata-kata yang benar seperti demokrasi, kebebasan bersuara, kebebasan media dan lain-lainnya.

Sebenarnya, ada tiga kata keramat yang harus tersemat dalam jiwa mereka apabila pelajar itu mahu menempuh jalan ini. Pertamanya, pastikan kata-kata mereka ‘betul’. Keduanya, ‘benar’ dan ketiganya, ‘baik’. Jika ketiga-tiganya sudah hadir dalam pemikiran, maka idea itu boleh diapungkan kepada penguasa IPT dan penggubal dasar negara tanpa perlu takut.

Malangnya masih ramai yang sedar bahawa mereka telah berada di pihak yang benar, tapi bersikap berdiam diri khasnya dalam kampus. Malah, golongan ini mungkin paling ramai dan bersikap menakut-nakutkan kalangan pelajar dan pensyarah yang berani.

Kalaulah mereka penakut dan mengambil sikap menolong pensyarah dan pelajar yang berani, demi sesungguhnya hal ini tentulah mendatangkan manfaat yang besar juga akhirnya. Apa yang tidak diperlukan ialah, mereka yang takut, dan penakutnya itu menakutkan yang berani.

“Tengok apa dah jadi pada Said Zahari. Oleh kerana dia enggan mengalah, akhirnya dia terhumban 17 tahun di penjara. Masanya rugi begitu saja. Kalau dia akur, dia boleh habiskan masanya dalam kewartawanan semula,” pujuk seorang teman ke atas temannya agar kembali menjadi penakut, secara tidak disedarinya.

Kita berkata, Saidina Bilal r.a boleh menipu, bahawa dia kembali kepada dunia kufur kalau beliau tidak tahan ujian pada saat tubuhnya tertimpa batu besar oleh Mua’wiyah. Dan, beliau tidak bersalah jika dia mengucapkan bahawa dia kembali kufur walhal hatinya beriman. Nabi tidak marah dan Tuhan tidak murka jika Bilal menyatakan kekufurannya jika dia ditindas.

Namun, apa yang Bilal lakukan pada saat itu ialah beliau menentang sistem perhambaan, mencabar sistem jahiliyyah amalan tradisi warisan penguasa yang zalim. Inilah yang akan dilakukan oleh mereka yang berani dan tidak takut mati. Salut kepada Said Zahari!

Menjawab hujan rakan tadi tentang kerugian 17 tahun merengkok dalam penjara, maka kita perlu kembali kepada surah al-Asr yang menyatakan bahawa hanya yang beriman, beramal soleh dan berdakwah menentang kezaliman akan untung dan tidak pernah rugi. Orang kufur dan kaum penzalim itu akan sentiasa berada dalam kerugian.

Said untung dua perkara di penjara. Pertama, madrasah penjara mengajarnya bahasa Cina. Ini untung dunia. Sebagai Muslim, Said diberi pahala sabar kerana istiqamah pertahan kebenaran kerana dipenjarakan penguasa yang zalim selama 17 tahun. Ini bahagian keuntungan akhirat berdasarkan surah al-Asr. Untung ini tidak diperolehi oleh kalangan Non-Muslim.

Melihat keuntungan Pak Said ini, kita ingin sebut sekali lagi, sebagai yang pernah dipuisikan Usman Awang; “Salut kepada Said Zahari, salut kepada mereka yang berani!”

HEP ingin tunjuk kuasa dalam isu Stupid Debate dan Forum Palestin

Oleh Ali Bukhari Amir


Pada malam ketika saya menulis surat Demokrasi Universiti Sudah Mati kepada Harakah edisi cetak & Harakahdaily, Ketua Penolong Pendaftar Nazru Ismail dan bekas TNC HEP USM Datuk Professor Dr. Jamaludin Mohaidin tidak pernah tahu amalan saya malam itu.

Amalan saya setiap kali menulis atau sebelum mengarang, ialah saya pohon kepadaNya agar tulisan ini mampu membuka hati dan fikiran khalayak untuk membuat perubahan di samping memohon supaya hati dibersihkan daripada riyak, ujub, sum’ah dan segalanya.

Jadi … alkisahnya, selepas saya menaip surat ringkas tersebut di bilik Berita Kampus itu, saya keluar dari bilik berita untuk mengendurkan urat saraf yang kuat berselirat dalam tubuh. Tiba-tiba, saya terasa Tuhan perhatikan saya daripada langit. Lalu, saya berdoa …

“Tuhan, aku mohon surat ini menambat perhatian HEP. Demi kebesaranMu, gerakkanlah hati mereka untuk menahanku di bawah Auku …” setelah doa ringkas, saya terus pulang ke desasiswa Indah Kembara.

Saya tahu, tak ada jalan lain lagi untuk bersemuka secara lelaki budiman melainkan saya mesti mencipta ruang ‘chaos’ atau membuat onar dan huru-hara, membangkitkan geram, mencabar sekali gus menampar ego kedua-dua pegawai HEP tersebut.

Saya yakin benar, bahawa Allah mendengar doa saya. Setelah itu, setiap kali selesai solat fardhu dan sunat, doa-doa itulah yang selalu saya wiridkan. Saya terus menunggu …

Satu hari, saya terima panggilan dari Jabatan Keselamatan. Ketua Pengawal Keselamatan telah meminta saya menemuinya. Rupa-rupanya, ia adalah berkenaan surat itu. Di atas meja beliau ada dua fail kuning bertajuk ‘Ibnuamir’ dan ‘SPF–Student Progresive Front’.

Encik Norizan sebelum menyerahkan surat yang tersiar di Harakahdaily itu, beliau minta saya mengesahkan sama ada ia benar-benar tulisan saya. Setelah membacanya, saya telah mengesahkan bahawa tulisan itu dan nama samaran ibnuamir adalah saya sendiri.

Kalau tidak silap, saya menggunakan nama penuh dan bukannya nama samaran. Harakah dan Harakahdaily mungkin mahu menyelamatkan saya, lalu mereka menggunakan nama samaran. Apa-apa pun, saya ucapkan jutaan terima kasih kerana menyiarkan surat itu.

Ahmad Lutfi Othman pernah menghubungi saya sebanyak dua kali mengenai isu ini. Dia juga pernah bertanya, “Kenapa saudara mengaku? Adakah saudara dipaksa mengaku?”

Malah, ramai juga yang hairan kenapa saya begitu mudah mengaku. Adakah saya ditekan sehingga dipaksa mengaku? Soalan rakan-rakan ini seperti memperlihatkan sikap mereka yang suka baling batu sembunyi tangan.

Saya bukan sekadar baling batu, malah tindakan ini bagaikan pengebom berani mati. Kita akan masuk dalam bilik siasatan dan dipaksa agar tidak mendedahkan isi siasatan kepada awam. Mana boleh! Tidakkah HEP tahu bahawa saya telah berjanji dengan Tuhan untuk ‘mengebom’ HEP pada malam saya menulis surat tersebut?

“Kenapa awak tidak boleh diam saja?” sambil tangan kanan Encik Nazru memberi isyarat ‘zip mulut’ di bibirnya. Dia amat risau dengan tindakan pelajar yang memberi kenyataan media. Beliau terpaksa menanggung risiko ini kerana terpaksa berdepan dengan saya.

Dalam realiti USM pada ketika itu, suasana ketakutan begitu mencengkam. Lalu suasana inilah yang menyebabkan HEP berasa sentiasa selamat apabila mereka menangkap siswa.

Lalu, saya berwirid: “Kalau HEP sudah berani menahan saya, ertinya mereka gali lubang kubur mereka sendiri!” Saya lihat, ‘wirid Melayu’ ini memang membakar semangat serta menumbuhkan kekuatan jiwa di samping wirid yang dibekalkan ‘guru-guru tersembunyi’.

Kepada Ketua Penolong Pendaftar, inilah jawapan ke atas soalan tuan sejak 2005. Soalan tuan: “Kenapa anda tidak boleh diam saja? Kenapa mahu timbulkan polemik?” Jawapan: “Ini kerana, saya menulis dengan niat menjebak HEP, khasnya dua pegawai atasannya!”

Sebab itu saya mengaku saya yang menulis dan sebab itu saya enggan melarikan diri dan sebab itulah saya menghubungi semua media dan akhbar-akhbar. Itu saja. Mungkin yang ada dalam fikiran HEP sejak dulu, kini dan selamanya, pelajar takut untuk mendedahkan masalah dalaman universiti dengan memakai nama samaran.

Kepada kedua-dua mereka yang selalu memantau penulisan saya hingga kini, saya ingin tuan-tuan berdua tahu bahawa saya telah mengikuti banyak kisah pimpinan pelajar yang diugut. Semua kisah ini meresahkan saya, kerana kebanyakan mereka mudah menyerah kalah dan menyerah lehernya untuk disembelih. Langsung tidak melawan.

Jadi, saya mahu lihat sejauhmana HEP boleh mengugut. Itulah antara tujuan kita menulis selama ini, iaitu dengan cara menjebak tuan-tuan berdua … Selama ini kita suka meratah pelajar yang rebung usia. Kini, rebung sudah tumbuh sebagai buluh. Hanya buluh punya ‘buku’ dan ‘ruas’. Hari ini, buluh itu berkata: “Kini, bertemu buku dengan ruasnya.”

Mungkin juga ada benarnya pepatah orang-orang tua: “Kalau mahu melentur buluh, mesti bermula dari zaman rebungnya.” Di dalam konteks HEP–Umno, Auku bagaikan perkakas guna melentur rebung-rebung dalam kalangan pelajar. Tapi, kali ini mereka cuma tersilap pilih. Sampai di luar universiti pun buluh itu masih melibas tangkas dengan angkuhnya!

Maaf, kerana kedengaran angkuh. Saya menulis dengan penuh kegeraman, garangan serta berbekalkan api dendam yang marak hingga merebak di segenap penjuru hati. Syukurlah, saya berjaya lolos daripada kepungan ujian ini dengan bantuan Allah. Ketika menulis ini, saya tidak tahu masih wujudkah pengebom berani mati?

Dengan jiwa pengebom berani mati, saya berbekalkan bom hujah dan peledak fakta yang telah dirantai di akal saya. Dalam bilik siasatan itulah hujah KPP berhasil ditumbangkan dengan Tuhan sebagai sumber ilham. Selepas siasatan, Malaysiakini, terus hubungi saya. Tidak sampai 24 jam, portal berita itu telah menyiarkan semua bom-bom fakta itu.

Pegawai HEP cukup susah hati apabila mendapat tahu, bahawa kita tidak mustahil akan mendedahkan semua isi perbincangan itu kepada wartawan dan media. Mereka berpeluh walaupun bilik itu berhawa dingin. Mereka gentar imej dan reputasi mereka merudum.

Walaupun ketika soal siasat mereka kelihatan tenang dan lancar bertanyakan soalan, enak mengunyah karipap berulamkan air teh dan Nescafe, (ni yang saya geram-pegawai ini tak semawa makan, minum walhal semua itu dibeli dengan PTPTN!), tetapi selepas siasatan meleleh peluh mereka bila saya sebutkan, kemungkinan saya tidak boleh berdiam diri.

Sentiasa ingat! HEP bagaikan Israel yang takut kepada pengebom berani mati. Israel suka kepada rundingan olok-olok, kemudiannya mencetuskan api sengketa antara Hamas serta Fatah. Jadi, Saya fikir, dalam universiti, kita perlu lebih ramai pengebom berani mati!

HEP perlu tahu bahawa saya berjanji dengan Tuhan untuk perjuangkan demokrasi. Fatwa Yusuf al-Qaradawi mengenai demokrasi telah pun saya tekuni dan saya bersetuju dengan al-Qaraqawi bahawa demokrasi adalah ruh serta semangat syura.

Ertinya membela demokrasi adalah termasuk dalam perjuangan membela salah satu sendi siasah Islam. Menjadi tugas pendakwah kampus atau pengebom ini untuk jelaskan ke atas pegawai HEP, alasan apa kita memerangi mereka. Beri penerangan hingga HEP faham.

Hidup membela demokrasi adalah satu kefardhuan dan jihad. Mati bagi mempertahankan demokrasi bernilai syahid.

Kepada rakan-rakan saya jelaskan – pengakuan dibuat dengan mudah tanpa paksaan dari Jabatan Keselamatan, kerana telah lama saya berhajat untuk berdepan dengan kedua-dua pihak atasan HEP; sasaran saya itu. Jika saya tidak mengaku, saya risau peluang berdebat dengan mereka akan luput.

Berhubung sikap saya mengaku menulis di Harakah ini, Lutfi menulis di dalam salah satu tulisannya sebagai berikut lebih kurang: “Jika beliau tidak mengaku bahawa penulisan itu adalah tulisannya, beliau sebetulnya boleh selamat dengan mudah. Tetapi sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab, beliau telah memilih untuk mengaku.”

Sampai setakat pembacaan ini, saya harap sidang pembaca, mahasiswa dan pelayar tidak lihat coretan ini seperti sikap membanggakan diri. Saya sebetulnya tidak suka berbangga. Tetapi, tujuan utama saya menulis ini sebagai dorongan kepada adik-adik mahasiswa dan untuk memberi respon ke atas dua peristiwa yang mengecewakan saya secara peribadi.

Iaitu, pembatalan demonstrasi ke atas bantahan ‘stupid debate’ di UM serta permbatalan Forum Palestin di UKM. Saya yakin, kedua-dua pimpinan HEP di UM dan UKM sangat gembira dengan sikap yang diambil oleh kalangan pelajar dan pensyarah di universiti ini.

Mereka berjaya membuktikan bahawa kuasa mereka masih teguh dan Auku itu masih lagi ampuh. Saya sekadar ingin bertanya, kalau mereka tegar melaksanakan demonstrasi aman itu dan masih meneruskan Forum Palestin tersebut, agak-agaknya apakah lagi yang boleh dilakukan oleh HEP? Sejauhmana sangat HEP boleh bertindak dengan Auku itu?

Tidakkah kita boleh lanjutkan demonstrasi dan forum tersebut? Dan kalau HEP tetap juga mengganggu, memanggil orang-orang tertentu dengan kononnya mahu teruskan siasatan, maka ertinya HEP sanggup menanggung risiko malu. Polemik akan makin berpanjangan.

P – O – L – E – M – I – K…Inilah yang kita mahukan, dan inilah yang HEP cuba elakkan termasuk para pegawai HEP seperti kes saya dulu. HEP amat takut dengan polemik yang boleh mendatangkan kerugian reputasi sekali gus mencederakan imej mereka sendiri.

Macam-macam hal dapat dilakukan. Kita boleh cetuskan ‘chaos’. Tindakan HEP batalkan Forum Palestin boleh ditafsir sebagai pro-Yahudi, pro Zionis, pro Israel dan tidak hormat kepada Malaysia dan Perdana Menteri sebagai Pengerusi OIC. Ingatlah, OIC ditubuhkan untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Yahudi Zionis.

Kepada HEP yang membatalkan demo aman sebagai bantahan ke atas Stupid Debate itu, kita boleh alunkan polemik yang lebih besar – HEP ghairah suburkan amalan seks bebas di dalam universiti. Kalau ada 10 blog yang menyerang HEP dengan cara ini, apakah kita yakin Idealis Mahasiswa mampu melawan arus gelombang dan badai polemik ini?

Tambahan pula dalam isu forum Palestin yang dibatalkan itu, saya dapat rasakan ‘chaos’ dan polemik itu akan lebih besar dan memihak kepada kita. HEP tiada jiwa besar kerana gagalkan forum gara-gara panelisnya. Pada kita, sesiapa pun boleh berbicara hal Palestin.

Adakah ini cerminan minda kelas pertama? Adakah sikap ini mewakili pemikiran hadhari dan bertamadun tinggi? Banyak lagi penghinaan demi penghinaan boleh dikecam ke atas pemikiran HEP ini. Tapi, semua ini boleh dilaksanakan jika kita bersatu untuk timbulkan gegaran ‘chaos’ dan polemik yang memihak kepada kita.

Kalau kita bertahan, alangkah baiknya. Biar sampai Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Mohamed campurtangan. Jika boleh, biarlah ditahan dan kes itu diketahui PM. Tapi, ramaikah yang mahu dan mampu pergi bertindak sejauh itu?

Kita mesti berazam menjadikan HEP berasa menyesal kerana menangkap kita. Inilah satu pengajaran dan pengiktibaran supaya mereka tidak terlalu angkuh, biadap dan kurang ajar kepada pelajar dan pensyarah lagi hendaknya.

Tetapi, yang kerap saya dengar adalah suara-suara agamawan yang menyeru ke arah taat kepada pemerintah. Atau, ada seruan jihad yang bergema dalam usrah sahaja. Jihad yang terbaik adalah ucapan adil ke atas penguasa yang zalim, demikianlah kata ustaz-ustaz itu.

Tapi, laungan jihad dalam usrah tadi terputus alunan gemanya di luar usrah. Mereka pula bungkam seribu bahasa. Dahinya sujud di atas sejadah, hatinya sujud kepada pemerintah!

Bagaimanapun, saya memuji sikap berani pelajar yang bertanya dengan Dr Adham Baba. Tetapi, kita boleh memalukan mereka ini dengan cara yang lebih baik lagi. Tidak adakah antara anda yang menyimpan fail video rakaman ucapan beliau melalui telefon bimbit?

Jika ada, sila serahkan kepada media-media alternatif. Sentiasa bersedia untuk memantau ucapan-ucapan menteri di universiti. Buat rakaman, aturkan orang tertentu untuk bertanya dan rakamkan segalanya. Demikian kalau melawan, lengkap dengan senjata blog, telefon bimbit dan segala kemudahan. Biar orang tahu apa yang berlaku di universiti anda.

Saya berharap, Harakah edisi cetak dapat membuka semula ruangan kampus yang pernah mereka mulakan dahulu. Kini, ruangan itu tidak wujud lagi. Harakah Daily juga mungkin dapat mewujudkan ruangan khas mengenai kampus juga.

Biarlah pensyarah, pelajar dan pengebom berani mati ini dapat menyerang pegawai HEP melalui ruangan ini.

Saya berharap, kedua-dua kes di UKM dan UM ini menjadi pengiktibaran kepada pelajar dan pensyarah supaya lebih tegar dan berani mendepani seribu satu macam ancaman serta tribulasi dalam universiti.

Sepertinya, dalam kes ‘Stupid Debate’ dan Forum Palestin ini, semakin mengesahkanlah bahawa gabungan Auku – HEP telah berhasil merobohkan benteng ‘kebebasan bersuara’ dalam kalangan mahasiswa dan ‘kebebasan akademik’ dalam kalangan pensyarahnya.

Walhal, gandingan Auku–HEP bukanlah kuat sangat. Ingatlah, hanya gandingan Taming Sari–Hang Tuah yang berhasil menumbangkan Hang Jebat. Kombinasi Auku–HEP bukan kuat sangat seperti gandingan Taming Sari – Hang Tuah.

Hanyalah mereka yang terlalu lemah akan mudah rebah dan terpedaya dengan kombinasi rapuh tersebut. Kepada hulubalang kampus, janganlah menjatuhkan maruah kita di depan ‘hulumangkuk’ Auku dan ‘mangkuk hayun’ HEP.

Mahasiswa Aset Peradaban Negara

Oleh : Mior Isfandy Mior Azizan merupakan Presiden, Persatuan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)

Saya menulis artikel ringkas ini kerana beberapa sebab. Pertama, saya menulis atas dasar ingin memetik suis kesedaran dalam diri saya dan juga saya ingin seluruh mahasiswa khususnya Mahasiswa Pengajian Islam turut sama menghayati ruh artikel ini. Kedua, saya menulis artikel ini kerana saya ingin merasai bahang kewujudan mahasiswa yang menuntut di bumi Malaysia. Ketiga, saya ingin menyeru kepada insan yang bergelar mahasiswa seharusnya menjadi jurubicara dan prime mover kepada masyarakat majmuk di negara kita.


Tradisi menuntut ilmu di menara gading bukanlah suatu yang harus dibanggakan sekiranya mahasiswa yang berada di dalamnya tidak mampu menyumbang kepada peradaban manusia dan negara. Saya melihat sikap diri saya dan segelintir mahasiswa yang tidak lagi menghargai dan menilai apakah erti ilmu yang sebenarnya. Niat menuntut ilmu hanya sekadar mendapat segulung ijazah. Namun, aplikasinya cukup menyedihkan. Saya tidak menyalahkan sistem peperiksaan setiap semester, mungkin kerana adanya peperiksaan itu, barulah mahasiswa sedar apa yang dipelajarinya selama ini. Mungkin kerana adanya peperiksaan itu, barulah mahasiswa akan sentiasa hadir ke kuliah dan menghantar course worknya. Inilah doktrin yang didakyahkan oleh beberapa pihak untuk melihat kelesuan pemikiran dan penghayatan terhadap nilai ilmu. Hakikatnya, tuntutan ilmu bukan hanya disempurnakan di atas kertas peperiksaan.

Saya merasa amat sedih sekiranya ilmu itu hanya dicari dengan hanya menghafal setiap butiran kalimah di dalam kitab-kitab turath dan buku teks rujukan tanpa mengamalkannya. Saya merasa amat sedih sekiranya kita sebagai mahasiswa sudah tidak mempraktikkan budaya menganalisa, membaca zuruf sosio-politik masyarakat dan mengislamikasikan setiap tindakan atau perkara yang dilakukan. Saya masih lagi ingat pesanan daripada salah seorang pakar analisis di negara kita. Beliau mengatakan, mahasiswa harus mempunyai tiga elemen sebagai nilai tambah dalam diri mereka iaitu ilmu, akhlak atau syakhsiyyah dan sikap enterprizing.

Apa yang dikatakan dengan enterprizing? Ia adalah sikap membumikan jatidiri dan nilai mahasiswa bersama masyarakat. Mahasiswa sewajarnya melakukan engagement di dalam masyarakat. Sekiranya kita memerhatikan keadaan masyarakat Malaysia pada hari ini, rata-rata pihak mengeluh dan bimbang memikirkan prinsip agama yang sudah dipinggirkan dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh terlalu menundingkan kesemua jari jemari kita menyalahkan mereka, tetapi kita harus berfikir sejenak, apakah sumbangan kita dalam usaha membantu dan membimbing mereka ke arah jalan yang sepatutnya? Jangan terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sehingga mengabaikan tanggungjawab membina masyarakat dan negara. Amanah ini sewajarnya dipikul oleh seluruh mahasiswa khususnya Mahasiswa Pengajian Islam kerana halatuju negara, kesuburan Islam dan moral masyarakat terbeban di atas pundak kita satu hari nanti.

Seterusnya, mahasiswa di Malaysia ini mestilah terkehadapan, bukan hanya di menara gading, tetapi turun bersama dengan masyarakat. Kita mengharapkan terutamanya kepada pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat memberikan laluan dan galakan kepada mahasiswa untuk sentiasa menyumbangkan bakti kepada agama, masyarakat dan negara. Bukan niat kita untuk menyingkap sejarah mahasiswa pada zaman 70-an yang kononnya menimbulkan huru hara kepada negara tetapi kita perlu membuktikan bahawa negara kita pada hari ini memerlukan sumbangan idea, tenaga dan masa daripada mahasiswa untuk menjadi penggerak kepada masyarakat.

Saya merasa terpukul untuk menyeru Mahasiswa Pengajian Islam kerana saya optimis bahawa mereka akan menjadi “somebody” dalam masyarakat nanti bukannya “anybody”. Oleh itu, bermula pada saat ini seluruh Mahasiswa Pengajian Islam di Malaysia seharusnya berfikir secara kritis, inovatif, idealistik dan praktikal. Ilmu yang dipelajari dari warisan Rasulullah SAW itu bukan untuk dijadikan muzium dalam diri tetapi untuk dikongsi dan dirasai oleh seluruh masyarakat Muslim mahupun non-Muslim.

Wallahu ‘alam.