Monday, August 27, 2007

Mahasiswa patut adu masalah kepada Canselor, Raja-raja Melayu

Oleh : Ahmad Albab (Harakahdaily)

Sekiranya mahasiswa sedar dan mengerti maksud sebenar ’Student Power’ atau kuasa mahasiswa, sudah tentu mereka akan menggunakan sepenuh kemampuan yang mereka miliki untuk membebaskan diri dan bangsa dari sebarang kezaliman dan ketidakadilan yang menimpa kelompok mereka hari ini.


Mahasiswa sudah tentu perlu mengumpul sebanyak mungkin ‘Support System’ yang bisa mendorong kejayaan perjuangan mereka.

Apakah belum sampai masanya lagi untuk mahasiswa mengadap dan mengadu hal kepada Majlis Raja-raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong? Majoriti mereka adalah canselor-canselor di universiti seluruh Malaysia.

Mana tahu mereka akan lebih memahami dan mengerti nasib yang sedang menimpa mahasiswa. Mana tahu mereka ini memiliki sifat kebapaan yang lebih terserlah berbanding mana-mana pegawai pengurusan tertinggi universiti. Mana tahu mereka akan memberi pembelaan dan simpati yang mendalam ke atas nasib ’anak-anak yatim’ yang menghuni menara gading ini.

Walaupun undang-undang rimba Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menyekat dan memasung kebebasan mahasiswa, namun harapan kepada Majlis Raja-raja Melayu tidak boleh dipandang enteng dan diremehkan.

Keperihatan dan kepedulian Duli-duli Yang Teramat Mulia Sultan seperti Raja Nazrin Shah baru-baru ini terhadap pelbagai isu semasa rakyat telah mengejutkan banyak pihak.

Bukankah jawatan Canselor merupakan tahta tertinggi di IPTA? Adakah suatu yang mustahil bagi Majlis Raja-raja Melayu untuk terlibat sebagai ‘Support System’ yang berpengaruh kepada mahasiswa suatu hari nanti?

Adakah wajar demonstrasi aman mahasiswa selepas ini akan menghala ke istana pula? Hanya mahasiswa yang akan menentukannya.

L Campurtangan Umno sudah melampau

Campurtangan dan penjajahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Umno dan Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TTNC HEP) ke atas mahasiswa sudah melampaui campurtangan dan penjajahan British ke atas rakyat di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Bukti mudah, British tidak pernah menyekat rakyat ketika itu untuk berdemonstrasi malah ’rapat umum’ dibenarkan.

Kesabaran anak-anak muda ada had dan batasnya. Makin diasak, makin memberontak. Walaupun ugutan dan amaran dari KPT untuk mengambil tindakan keras ke atas mahasiswa yang berdemonstarasi namun itu semua tidak dipedulikan lagi.

Alang-alang mandi biar basah! Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!

Baru-baru ini, mahasiswa secara nekad dan berani turun ke lapangan mengadakan demonstrasi aman di KPT dan Suhakam. Inilah keberanian yang membanggakan para pejuang islam, demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Suhakam memang berniat baik, cuba membantu, menjadi ’bapa angkat’ yang bertanggungjawab kepada mahasiswa. Namun mereka sendiri mengaku tidak berdaya membela mahasiswa. Pentadbiran kuku besi KPT sukar ditembusi.

Bayangkan semenjak tahun 2005 lagi, aduan demi aduan dipohon dari mahasiswa terutama menuntut Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bersih dan adil, namun hasilnya belum cukup memuaskan. Suhakam dilarang masuk ke dalam kampus untuk berperanan sebagai pemantau PRK. Taring Suhakam tidaklah setajam mana.

Penjelasan Dato’ Siva Subramaniam yang mewakili Suhakam bahawa pihak universiti tidak akan membenarkan parti Umno camputangan sepanjang berlangsungnya PRK adalah satu sandiwara dan janji palsu dari Umno dan pihak universiti. Sudah tentu sandiwara yang entah kali ke berapa ini akan menjadi bahan lelucon sesama mahasiswa.

”Sejak bila Umno boleh dipercayai bila berjanji dan sejak bila pula pihak universiti mula berani menyanggah arahan dari Umno?” Hujah salah seorang pimpinan mahasiswa. Bukti-bukti kukuh aktiviti-aktiviti dan pergerakan Umno di IPTA mutakhir ini menunjukkan penglibatan Umno dalam memenangkan calon Aspirasi Umno bukan satu rahsia lagi.

”Hapuskan mahasiswa yang tidak menyokong Umno!”

Sudah hampir tiga tahun berlalu dan begitulah sahaja kemampuan dan keterbatasan Suhakam, mahasiswa sebenarnya masih berpaut di dahan yang rapuh. Suhakam bukan lagi tempat mengadu yang berkesan. Namun tidak salah sekiranya mahasiswa meletakkan Suhakam sebagai salah satu rangkaian ’Support System’ bagi mengasak KPT dan Umno. Hubungan baik wajar diteruskan.

Tetapi Suhakam bukanlah satu-satunya tempat terakhir untuk menaikkan semangat dan momentum mahasiswa. Jika bukan Suhakam yang pedulikan mahasiswa, siapa lagi yang hendak diharapkan? Mahasiswa sebenarnya dibiar sendirian.

Hendak harapkan TTNC HEP diangkat sebagai ‘ayah kandung’ dan membela nasib mahasiswa? Jawabnya, jauh panggang dari api. Sejarah hubungan TTNC HEP dan mahasiswa akan dikenang tidak lebih dari ’haruan makan anak!’

”Apalah sangat sumbangan dan didikan yang telah diberi oleh TTNC HEP kepada anak-anak mahasiswa? Mahasiswa tidak lebih sekadar diternak bukan dididik. ’Nafkah’ PTPTN yang ’dialongkan’ kepada kita itu pun silap haribulan akan di akhiri dengan penjara!” Ungkap salah seorang mahsiswa dari Universiti Malaya.

Umum sudah mengetahui, TTNC HEP lebih mementingkan kuasa dan jawatan dari menjaga kebajikan mahasiswa. Sebagai kakitangan kerajaan bertaraf profesional dan berintegriti, mereka sempat melakukan kerja part time sebagai ’pelacur kelas atasan’ kepada Umno dan budak-budak hingusan putera dan dan puteri Umno.

Misi dan tugas utama yang diarahkan Umno kepada TTNC HEP mudah sahaja: ”Hapuskan mahasiswa yang tidak menyokong Umno!” Mereka lebih rela bersengkang mata hingga jauh malam mengabaikan tugas hakiki sebagai TTNC HEP. Inilah penjajahan paling hina. Menjajah anak bangsa sendiri dari kebebasan dan kemerdekaan.

TTNC HEP perlu ingat, seganas-ganas Razali Agus mantan TTNC HEP Universiti Malaya menjilat Umno, akhirnya dihumban terperosok di Kolej swasta UNISEL juga.

”Mungkin itulah ’hadiah lumayan’ kepadanya yang bekerja keras siang dan malam membantu memenangkan calon MIC semasa pilihan raya kecil di Ijok baru-baru ini. Kebetulan pulak Kolej swasta UNISEL berada di kawasan DUN Ijok.” Sindir seorang bekas TTNC HEP yang pernah terlibat menyokong MIC dalam pilihanraya kecil Ijok itu.

Mahasiswa perlu bangkit seperti harimau luka

Mungkinkah selepas ini Duli-duli Yang Teramat Mulia Sultan dan Yang Dipertuan Agong akan berada di sisi membela dan bisa menjadi ’ayah’ yang penyayang kepada para mahasiswa? Dan sekiranya Duli Yang Teramat Mulia Sultan dan Yang dipertuan Agung pun tidak juga ambil peduli nasib mahasiswa hari ini.

Percayalah, wahai para mahasiswa! Kamu semua tiada pilihan lain melainkan bangkit seperti harimau luka yang bakal sembuh dengan sendiri tanpa mengharapkan penawar dan ihsan dari mana-mana pihak!

Bukankah Rasulullah saw juga adalah anak yatim piatu? Hidupnya sendirian namun baginda berjaya membuka lembaran sejarah perjuangan membebaskan manusia dari penjajahan sesama manusia kepada penyembahan hanya kepada Allah yang satu. Perjuangan yang tiada tolok bandingnya.


Perjuangan ini di tangan kamu! Di tangan kamu sahaja!

Lawan tetap lawan! Allah tetap bersamamu!

PENTING : Asak program hiburan untuk matikan DAYA JUANG MAHASISWA

Kerajaan BN sengaja memperbanyakkan program hiburan di kampus-kampus bagi mematikan semangat dan daya juang mahasiswa, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia mengulas program Konsert 8TV Youth Tour yang dirangka untuk seluruh IPTA dan ia bermula di Universiti Teknologi Petronas, sempena program prapesta konvo, bermula pada 12 tengahari hingga 7 malam, pada 22 Ogos lalu.

Sebelum ini program Gegar U yang disokong kuat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga diisi dengan program hiburan selama 50 jam tanpa henti, sebagai simbolik kepada perayaan 50 tahun kemerdekaan.

Malah, menjadi fenomena biasa di kampus-kampus apabila program konsert hiburan menjadi agenda tetap dalam hampir setiap majlis yang dianjurkan, termasuk pesta-pesta konvokesyen.

Sedangkan program yang mencabar minda dan daya intelektual mahasiswa begitu sukar untuk diluluskan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).

"Program hiburan secara keterlaluan ini ibarat sisa toksid yang hanya melemahkan lagi kewibawaan dan keperibadian mahasiswa," ujar Ustaz Idris.

"Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamad kecewa kerana ramai mahasiswa tidak mempunyai pengetahuan umum tetapi pada masa sama kementeriannya meneruskan penganjuran program budaya sisa toksid yang tidak membangunkan minda anak muda kita," tambahnya lagi.

Bagi Ahmad Lutfi Othman, bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sesi 1985/86, kemunculan program konsert dan hiburan melampau di kampus-kampus kini bak cendawan tumbuh selepas hujan memang sengaja dirancang oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi menumpulkan kepekaan mahasiswa terhadap isu-isu di sekitar mereka.

"Apa pun, mahasiswa yang prihatin tidak boleh mengalah. Setiap cabaran harus didepani dengan serius dan kreatif. Golongan mahasiswa awal 70-an, yang pernah menggegarkan negara, turut dibuai program hiburan, malah mungkin lebih dahsyat lagi, tetapi mereka tetap sensitif dengan isu-isu masyarakat, problem negara malah krisis yang melanda dunia," kata Lutfi.

"Beberapa aksi protes mahasiswa kini, misalnya terhadap proses pilihan raya kampus yang dijalankan secara berat sebelah, di KPT, Suhakam dan UKM baru-baru ini, menunjukkan masih ramai yang berani," tambah Lutfi, yang juga merupakan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.

Tuesday, August 21, 2007

Bahtera Kasih

"Perkukuhkan bahteramu,kerana samudera ini amat dalam. Perbanyakkanlah bekalanmu kerana perjalanan ini amat panjang.Ikhlaskanlah amalanmu kerana pencatatmu sungguh amat teliti."


Nasihat Rasulullah kepada Abu Dzar al-Ghifari diatas boleh kita jadikan kunci pembuka suatu amalan.
Berhasilnya amalan seorang hamba di sisi Allah SWT diasaskan oleh syarat yang ikhlas dan sesuai dengan syari'at. Rasulullah saw. dengan sifat fatanahnya telah melantunkan sebuah nasihat indah agar umatnya memperhatikan masalah ini.
Jika diambil perumpamaan bahawa rumah tangga adalah seperti sebuah bahtera.
Maka, pernikahan memerlukan bekalan untuk mempersiapkan diri memasuki gerbangnya dan berjalan dalam keagungan nilainya. Ia akan berjalan sekian lama, dengan doa diberkati perjalanannya hingga ke akhirhayat. Peribadi Muslim mesti menyedari bahawa pembentukan keluarga Muslim adalah langkah yang harus ditempuhinya dalam rangka untuk mewujudkan generasi Muslim yang bertaqwa.

"Perkukuhkan Bahteramu...."

Sebaik sahaja akad nikah sah dilafazkan, bermulalah babak baru kehidupan sepasang hamba. Dengan menaiki bahtera rumah tangga yang mereka siapkan, pasangan baru tersebut harus mengharungi samudera kehidupan dengan segala alunan ombaknya.Keselamatan dan kestabilan bahtera ini amat bergantung kepada kewaspadaan setiap penumpangnya - "Apa yang ia lakukan dan inginkan."
Hadis riwayat Bukhari dan Tirmidzi di bawah ini memberikan gambaran bagaimana seharusnya hidup bersama dalam sebuah bahtera,

"Perumpamaan orang-orang yang menjaga batas-batas Allah dengan mereka yang melanggarnya, bagaikan satu kaum yang menaiki sebuah bahtera. Sebahagian mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah. Mereka yang di bawah jika ingin air, (terpaksa) melewatiorang-orang yang di atas, lalu mereka berkata: 'Seandainya kita lubangi (bahtera ini) untuk mendapatkan air, tentu kita tidak lagi mengganggu orang-orang yang di atas.' Jika orang-orang yang di atas membiarkan keinginan mereka yang di bawah, tentu semua akan binasa. Jika mereka menghalanginya, mereka akan selamat dan selamatlah semuanya."

Perumpamaan kehidupan rumah tangga dengan sebuah bahtera ini sungguh indah dan unik.Sememangnya ia saling tidak tumpah seperti perjalanan bahtera yang mengharungi lautan luas, terombang ambing dipermainkan ombak.
Semua gerakan dan goncangan pasti dialaminya. Sehingga bahtera itu kadang kala mereng ke kanan dan ke kiri. Ada kalanya ia berlayar di permukaan laut yang tenang,kadang-kadang dihempas gelombang yang ganas. Oleh itu, sejak awal rumah tangga dibina lagi haruslah berusaha untuk mempersiap dan memperkukuhkan setiap sudut bahteranya. Hal ini dapat ditempuh dengan selalu menjaga langkahagar tidak menyimpang dari tujuan asasinya. Serta selalu menjaga keutuhan dan kesejahteraan keluarga.

Menurut Abu Hani, tolok ukur keutuhan dan kesejahteraan keluarga bukanlah semata-mata terletak pada aspek fizikal dan material. Misalnya, kesihatan jasmani, tempat tinggal, makanan, pakaian, status sosial dan intelektualiti. Tetapi kekuatannya terletak pada keterikatan anggota keluarga berpegang teguh dengan akidah, ibadah, akhlak dan pergaulan Islam. Sedemikian hingga identiti Islam menguasai warna kehidupan keluarga tersebut secara utuh. Malah seluruh aspek kehidupannya, baik dalam masyarakat kecil mahupun besar, lahir mahu pun batin sentiasa beridentitikan warna Islam.Inilah unsur paling penting dalam menjamin keutuhan dan kesejahteraan keluarga Muslim, insya Allah.

Tuntunan Islam diamalkan dalam adat kebiasaan seharian: makan, minum, kelengkapan keluarga, pakaian, hubungan sesama ahli keluarga hinggalah hubungan kemasyarakatan. Seluruh aspek hidupnya selama dua puluh empat jam tiada yang luput dari bimbingan Islam.

"Perbanyakkan Bekalanmu...."

Seperti amalan yang lain, menegakkan rumah tangga juga memerlukan bekalan. Ilmu untuk bekalan mental dan harta untuk persiapan fizikal. Para calon suami dan calon isteri wajib mempersiapkan apa yang mereka cita-citakan. Walaupun masalah jodoh terletak pada kehendak Allah SWT, namun ia bukan bererti kita mengabaikan faktor usaha. Sehingga ketika jodoh datang kita tidak kelam kabut. Sebagaimana yang telah dibincangkan terdahulu, hidup berkeluarga adalah satu perjalanan panjang menuju Allah. Ia hanyalah langkah yang tiada bererti kalau fungsinya tidak kita tegakkan.

Mereka yang memasuki gerbang kehidupan berumah tangga dengan bekalan yang minimum atau tanpa bekalan sama sekali akanmenemui banyak kesulitan. Bagi calon suami yang telah merasakan bolehmembiayai hidupnya, ia juga mesti mempunyai pendapatan untuk menyara calonisteri dan anak-anaknya. Bagi mereka yang siap, hal ini bukan menjadi bebanyang memberatkan. Ukurannya bukanlah sedikit atau banyaknya pendapatan,tetapi nilai usaha dan keberkatan yang ada di dalamnya.

"Dan nikahkanlah orang-orang yang sendiriandi antaramu dan orang-orang yang layak (nikah) dari hamba sahayamu yanglelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengankurnianya. Dan Allah Maha Luas PemberianNya lagi Maha Mengetahui." (QSan-Nuur: 32).

Perasaan takut untuk menikah yang berlebihan hanya akan menimbulkan keraguan danbisikan syaitan. Apabila serius berusaha nescaya pertolongan Allah akan tiba.Hanya Allahlah tempat kita berharap.

Kalau tidak ingin menyesal nanti, para calonisteri dan ibu pula mesti bersedia dalambanyak hal. Dalam konsep tarbiyah fanniyah (pendidikan keterampilan), seorang Muslimah perlu menguasai pelbagai keterampilan untuk menyempurnakankewajipannya dalam keluarga yang ingin dibina. Ilmu syar'i kehidupan rumahtangga, memasak, melipat dan menggosok pakaian, mengemas rumah, menguruskewangan, menghias diri, kesihatan sampai mengelola perpustakaan keluarga dan pendidikan anak.

Kesemuanya adalah serangkaian pengetahuan yang sangat diperlukan.
Pelbagaihal di luar dugaan terungkap dari pengalaman mereka yang sudah berkeluarga.Malah, muslimah yang dahulunya bersedia jasmani dan rohani untuk menikah punmerasa canggung dalam membereskan pekerjaan barunya. Pekerjaan rumah tanggayang tidak kunjung selesai
, ternyata memerlukan skala prioriti juga. Belum sempat lagi menstabilkan emosinya, datang tuntutan untuk beradaptasi denganorang lain yang sekarang menjadi suaminya.

Secarasunatullah, setiap orang menginginkan pasangan yang 'serba boleh'.
Tetapi,renungkanlah- Adakah kita juga telah mengembangkan kemampuan diri agar kewajipan dalam keluarga itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin nanti.

"Ikhlaskan Amalanmu kerana Pencatatmu sangatTeliti.."

Langkah awal yang harus disedari dalam pembentukan keluarga Muslim adalah meluruskanniat, agar ianya semata-mata untuk mengharapkan redha Allah swt. Keikhlasan ini harus sentiasa dijaga sepanjang perjalanan bahtera rumah tangga.

Dasar bangunan keluarga Muslim adalah ketaqwaan kepada Allah. Oleh itu, dalam memilih calon isteri, seorang calon suami sebaik-baiknya memilih yang selaras dengan arahan Rasulullah saw. Seorang isteri dipilih kerana agamanya, bukan kerana kecantikan, harta atauketurunannya.

Sementara landasan kesepakatan seorang iste
ri beserta keluarganya terhadap calon suami adalah kerana ia berakhlak, beragama, dan jujur.

Oleh yang demikian, sejak awal lagi sebuah keluarga Muslim telah dilandasi dengan dasar taqwa, sehingga nilai-nilai Rabbani dan tata cara Islam akan menjadi pengarah dan pengendali langkah keluarga itu.

Sejak dari meminang, bertunang,akad nikah, memasuki rumah tangga, sampai kehidupan seterusnya.

Jika nilai taqwa telah wujud di tengah keluarga, maka kebahagiaan keluarga yangsebenarnya akan wujud pula.

Taqwa adalah tumbuhnya rasa muraqabatullah (pengawasan Allah),mengutamakan redhaNya, menjauhi kebencianNya, serta iltizam (commit) kepada pengarahan kitabNya serta sunahRasulNya.

SeorangMuslim yang bertaqwa yakin bahawa berkeluarga adalah ibadah, untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sehingga ia selalu baik dalam menjalankan tugas kewajipannya terhadap isteri, rumahtangga dan anak-anaknya.

Demikian pula Muslimah yang taqwa memandang pernikahannya sebagai ibadah. Sehingga ia berupaya menggapai redhaNyadengan menjalankan tugas kewajipannya terhadap suami, rumah tangga, dananak-anaknya dengan baik. Rahmat, kasih sayang dan kebahagiaan bersuamiisteri hanyalah bagi mereka yang mendasarkan kehidupan keluarganya kepada tujuan beribadah semata-mata kerana Allah SWT.

MEMBEDAH PERISTIWA "17 AUKU" SECARA AKADEMIA


Fakta dan Peristiwa Sejarah

Sejarah Gerakan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sebenarnya menarik. Salah satu peristiwa menarik tersebut ialah pengenaan AUKU ke atas 17 aktivis mahasiswa Universiti disebabkan pelbagai pertuduhan. Peristiwa ini berlaku pada 8 Disember 2005 di Tribunal Tatatertib Universiti, Pejabat HEPA UM.

Hakikinya, 18 mahasiswa yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Mereka yang dimaksudkan adalah (1)Muhammad Hanif Baderun (YDP PMIUM); (2)Mior Iskandar Mior Azizan (Naib YDP PMIUM); (3)Mohd Nazree Mohd Yunus (Exco MPMUM); (4)Mohd Hafiz Habil (Setiusaha PMIUM); (5)Mohd Nasa’e Ismail (YDP KISDAR); (6)Mohd Khider Mohd Yusof; (7)Mohd Asyof Zaki Yaacob; (8)Mohd Syukri Daud; (9)Mohd Dzul Kairi Mohd Noor; (10)Sheikh Umar Bagharib; (11)Mohd Noor Saiful Azmi Mohd Noor; (12)Mohd Raqi Shafien; (13)Mohd Radzi Mohd Zawawi; (14)Mohd Shahir Mohd Shah; (15)Asiah Alkharib Shah; (16)Mohd Bukhori Othman; (17)Abdul Hafiz Din; dan (18)Zainulfaqar Yaacob.

Jika dilihat pada senarai pasti OKT adalah 18 aktivis mahasiswa. Ini kerana Muhammad Haniff Baderun hanya dikenakan show cause letter atas pertuduhan mengeluarkan perutusan YDP PMIUM Sempena 100 tahun Universiti Malaya tanpa kebenaran HEPA.

Beliau sendiri pada waktu perbicaraan tidak hadir kerana masih di Syria atas urusan akademik. Oleh itu, peristiwa ini dikenal sebagai isu “17 AUKU”.

Refleks pada akar sejarah ini telah membawa pada perlancaran demontrasi aman oleh lebih 200 mahasiswa di depan perkarangan bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

Kondisi romantis tersebut mendpat simpatisme banyak pihak termasuk media-media alternatif seperti Malaysiakini, Harakahdaily dan beberapa akhbar berbahasa Cina.


Dalam Sejarah ada “sebab-musabab”

Dalam disiplin pensejarahan, salah satu aliran penulisan sejarah adalah secara objektif dengan tidak hanya memaparkan satu-satu sejarah secara kaku. Laras persembahan sejarah tersebut mengambil kira sebab-musabab yang melatari satu-satu peristiwa sejarah tersebut.

Sebab dan musabab sendiri mestilah atas landasan sumber sejarah sama ada premier atau sekunder; tidak atas imaginasif dan dorongan perasaan sejarawan.

Laras penulisan ini paling awal dikenal pasti oleh sejarawan Leopold von Ranke (1795-1886) melalui karya beliau yang berjudul Histories of the Latin and Germanic Nation 1494-1514. Sangat menarik untuk dibaca.

Dalam bacaan peribadi saya, penulisan Ranke ini secara objektif dengan tidak mengambil kira unsur “God-Centered” dan “takdir sejarah”. Disiplin ini, mungkin disebabkan oleh latar belakang tempuhan pengalaman masyarakat Eropah (termasuk Ranke) itu sendiri pada Zaman Gelap (Dark Age).

Implikasinya, berlaku penolakan unsur anti-empire ke atas persembahan sejarah. Walau bagaimanapun, terdapat bebeapa perkara yang baik yang bleh diteladani oleh sejarawan moden. Antaranya, pengungkapan sejarah dalam rupa sahih dan anti-imaginatif.

Dengan erti kata muda, satu-satu peristiwa sejarah seharusnya dalam rupa ungkapan, “as it actually happened”.


Sebab-Musabab I

Berbalik pada akar peristiwa, 17 mahasiswa ini dituduh dengan pelbagai pertuduhan di bawah tatacara AUKU.

Salah satu subjek pertuduhan tersebut ialah menyambut freshes Universiti di sekitar perhentian bus (termasuk KLIA) di sekitar Lembah Klang tanpa kebenaran HEPA.

Acara menyambut freshes ini merupakan program tradisi PMIUM dan menjadi antara sebab PMIUM mudah dihargai oleh masyarakat kampus.

Atas tindakan menyambut freshes secara sukarela pada hari pendaftaran Universiti, seramai 6 orang aktivis mahasiswa diheret ke Tribunal AUKU. Mereka yang dimaksudkan ialah (1)Mohd Nazree Mohd Yunus; (2)Mohd Asyrof Zaki Yaacob; (3)Mohd Syukri Daud; (4)Aisyah Alkarib Shah; (5)Mohd Bukhori Othman; dan (6)Abdul Hafiz Din.


Sebab-Musabab II

Subjek pertuduhan lain ialah perlancaran demontrasi aman di depan Parlimen Malaysia pada 21 September 2005. Terapat beberapa isu yang memaksa mahasiswa mahu bersemuka dengan Shafie Saleh di Parlimen.

Pertama, keengganan Shafie Salleh bertemu mahasiswa walaupun sudah lebih 3 kali janji temu dibuat antara mahasiswa melalui SMM dengan pihak KPT demi membincangkan isu pencabulan demokrasi kampus, hak asasi mahasiswa dan sebagainya.

Kedua “isu Karim kene pukul oleh Pegawai HEPA UM” yang langsung tidak mendapat perhatian pihak berwajib. Di Universiti Malaya, isu “karim” dan beberapa isu lain telah digerakkan secara rasmi oleh PMIUM.

Antaranya, PMIUM melalui Sdr. Hafiz Habil, Ketua Unit Undang-Undang telah cuba membuat beberapa janji temu dengan NC dan TNC HEPA, namun langsung tidak diendahkan oleh pentadbiran Universiti.

Kondisi ini, membawa PMIUM atas koliasi SMM dan GAMIS menggunakan saluran rasmi di luar kampus termasuk pintu mahkamah sivil, SUHAKAM, BPA termasuk Parlimen Malaysia.

OKT yang dituduh bersalah dalam Demontrasi Parlimen ini adalah (1)Mohd Hafiz Habil; (2)Mior Iskandar Mior Azizan; (3)Mohd Nasa’e Ismail; (4)Mohd Khider Mohd Yusof; (5)Mohd Dzul Khairi Mohd Noor; (6)Sheikh Umar Bagharib; (7)Mohd Noor Syaiful Azmi; (8)Mohd Raqi Shafien; (9)Mohd Radhi Mohd Zawawi; dan (10)Mohd Shahir Mohd Shah.


Sebab-Musabab III

Ketiga, pertuduhan mengkasari pegawai HEPA (En. Kalam Azad) yang akhirnya mengakibatkan Zainulfaqar Yaacob diheret ke Tribunal AUKU.

Sebab-musabab peristiwa tersebut sangat rumit. Rumit kerana dalam sisiplin sejarah, salah satu dilemma sejarawan dalam melakukan penulisan sejarah; yang mana seharusnya diutamakan - “peristiwa penting” ataupun “kepentingan peristiwa”.

Lanjutan aduan peribadi Karim dipukul oleh En. Mahaghanapaty a/l Dass, Zainulfaqar Yaacob dengan ditemani Mohd Rahmad Sani telah pergi bertemu En. Maha di pejabat beliau (di bangunan HEPA) secara rasmi.

Kebetulan, En. Kalam Azad turut berada di sana.

Inisiatif bertemu tersebut ditafsirkan sebagai mengkasari HEPA hatta Zainulfaqar diheret ke Tribunal AUKU.


Adakah HEPA melepaskan 17 mahasiswa?

Penulisan salah seorang saksi sejarah. Penulis adalah orang pertama dibicarakan (atas permintaan peribadi penulis).

Dalam perbicaraan tersebut, terdapat beberapa perkara dituntut oleh penulis kepada PBT (Pihak Berkuasa Tatatertib). Pertama, surat Deligation of Power semua anggota PBT yang diketuai oleh En. Wirakarnain Sani.

Tuntutan ini bertitik tolak pada keraguan penulis terhadap kredibiliti mereka dan penulis berhak menuntut hak dalam perbicaraan. Asas gagal perbicaraan tersebut bukan pada tuntutan penulis tersebut, tetapi HEPA sendiri tidak ikut prosedur AUKU secara profesional dan jujur.

Selain itu, penulis menuntut (1)special witness; (2)personal observers; (3)witness; (4)Representer dan sebagainya sebagaimana yang terdapat dalam peruntukan AUKU sendiri. Kesemua tuntutan ini, terangkum dalam Preliminary Objection (PO) oleh penulis.

PBT enggan menunaikan hak-hak perbicaraan di atas kerana takut dilihat conflict of interest atau bias dalam lunas-lunas perbicaraan oleh pihak-pihak di atas.

Penulis juga telah mendesak jatuhan hukuman segera daripada PBT sama ada (1)dibuang Universiti; (2)digantung pengajian; (3)denda tidak melebihi RM200; (4)diberi amaran keras; atau mana-mana hukuman secara kolektif dengan syarat PBT mesti mengeluarkan Tribunal Report secara rasmi.

Penulisan menyatakan secara rasmi dalam proses perbicaraan dan ada dalam rekod tribunal secara rasmi - sumber primier.

Ini adalah kerana Penulis berniat membuat judicial review di Mahkamah Sivil di luar. Tribunal Report ini masih relaven selama 6 tahun. Perkara ini, yang paling ditakuti pihak Universiti khususnya NC, TNC HEPA, PBT dan saksi tuduh yang terlibat dalam konspirasi ke atas 17 mahasiswa melalui penyalahgunaan AUKU 1971 (Pindaan 1975).

Implikasinya, perbicaraan kesemua OKT ditangguhkan secara lisan dan tergesa-gesa oleh PBT dan Universiti.


Hubungan “peristiwa penting” dan “kepentingan peristiwa”

“Bingkai Peristiwa” di atas ini dikenali sebagai “kepentingan peristiwa” dan memberi jawapan kepada “peristiwa penting”. “Peristiwa penting” di sini adalah tiada jatuhan hukum AUKU ke atas 17 aktivis mahasiswa UM tersebut bukan kerana simpatisme Universiti, tetapi disebabkan Universiti takut mengambil risiko jika OKT mengambil jalan mahkamah sivil di luar kampus yang jauh lebih mencabar dan adil.

Asas persembahan sejarah oleh penulis adalah pertuduhan tersebut suatu “ciptaan”, bukan suatu “kenyataan”.

Pertuduhan yang palsu, mustahil dapat dibuktikan secara absah sama ada dalam disiplin sejarah atau perbicaraan mahkamah.
Ini kerana, disiplin sejarah dan lunas perbicaraan adalah sesuatu yang adil dan sahih

Wednesday, August 15, 2007

Kepimpinan bukan bermula di kampus, Kamarudin sangkal Naib Canselor UM

Pendirian Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Dato' Dr Rafiah Salim bahawa melahirkan kepimpinan bukanlah bermula di kampus disangkal oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Menurut Kamarudin, kenyataan Rafiah itu kurang tepat kerana kebanyakan kepimpinan negara yang ada hari ini adalah lahir dari suasana kampus yang benar-benar terbuka dan bebas satu masa dahulu.

Meskipun melahirkan kepimpinan tidak semestinya dari kalangan mereka yang berdemonstrasi dan berpidato tetapi suasana penyuburan demokrasi di kampus adalah faktor penting menuju ke arah pembinaan insan bernama pemimpin, katanya.

Beliau berkata demikian semalam ketika mengulas pandangan Dr Rafiah berhubung isu kebebasan kampus setelah NC UM itu dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berpendirian melahirkan pemimpin bukanlah bermula di kampus sahaja.

Rafiah dilaporkan sebagai berkata, ada kepimpinan hari ini adalah di kalangan mereka yang bukan warga kampus.

Sambil tidak menafikan bahawa ada kempimpinan yang bukan lahir di kampus tetapi beliau meletakkan bahawa ramai di kalangan kepimpinan negara hari ini termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah mereka yang pernah mengalami proses kepemimpinan di kampus.

Untuk menyatakan bahawa keterbukaan kampus bukan faktor kepada penyuburan demokrasi yang melahirkan kepimpinan ianya adalah salah, katanya.

Jika dahulu ruang demokrasi di kampus dibuka seluasnya kepada mahasiswa dan ahli akademik untuk berforum, berpidato dan mengkritik kerajaan semata-mata untuk melihat proses melahirkan kepimpinan terus berjalan, katanya.

Malangnya kini demokrasi kampus ditutup oleh pentadbirnya dengan campur tangan oleh parti kerajaan yang memerintah sekaligus melahirkan mahasiswa yang tidak berpengetahuan luas termasuk soal politik, ekonomi dan keadaan semasa, katanya.

Justeru itu sebagai Naib Canselor yang baik, Dr Rafiah perlu mengamalkan urus tadbir universiti dengan baik seperti mana saranan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah dalam satu program di UM baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Raja Dr Nazrin bertitah, semua pihak perlu menetapkan minda dan pandangan mengenai tadbir urus baik sekiranya mahu sistem itu direalisasikan di Malaysia.

Baginda bertitah, dengan pemahaman umum bahawa tadbir urus baik merupakan proses yang cekap, berkesan dan beretika, maka proses perubahan ke arah sistem itu yang telah pun bermula boleh dipercepatkan.

Untuk berbuat demikian, titah baginda, ketelusan dan keterbukaan perlu wujud dengan menggalakkan aliran maklumat yang bebas serta mudah diperolehi agar masyarakat boleh membuat keputusan yang bijak dan mengurangkan kejadian salah guna kuasa.

Oleh itu, titah baginda lagi, negara ini perlu terus bergerak ke arah sistem tadbir urus yang semakin terbuka.

Menurutnya, pembasmian kerenah dan prosedur birokrasi boleh membantu mengurangkan kos ekonomi yang tinggi dan menghalang sebarang peluang bagi bayaran haram.

"Bilangan perundangan, permit dan lesen mesti dikurangkan. Proses tender perlu dijadikan lebih berdaya saing dan telus. Pembekal maklumat perlu dilindungi daripada tindak balas mereka yang diadu.

"Langkah-langkah ini boleh membantu mengurangkan peluang bagi rasuah," titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ‘Cabaran-Cabaran Pendemokrasian dan Tadbir Urus Baik dalam Sektor Awam Malaysia’ di Universiti Malaya 13 Ogos lalu.

Persidangan dua hari anjuran Universiti Malaya (UM) dan Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) itu turut dihadiri Naib Canselor UM, Rafiah Salim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub.

Raja Nazrin Shah bertitah, tadbir urus baik turut memerlukan sifat bertanggungjawab oleh mereka yang memegang kuasa.

Titahnya, walaupun pegawai awam perlu diberikan kuasa yang secukupnya untuk menyalurkan tadbir urus yang baik, namun perlu ada halangan yang berkesan ke atas kuasa itu agar kepentingan awam dipenuhi, bukan 'kepentingan khas'.

"Kepentingan kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa yang rasmi antara cabang kerajaan yang berlainan tidak boleh diketepikan," titahnya.

Baginda bertitah, tadbir urus baik turut melibatkan penyertaan awam yang aktif dan berleluasa kerana masyarakat kini semakin berpendidikan, canggih dan lengkap.

Titah Raja Nazrin Shah, masyarakat kini mengalu-alukan dan menghargai kerajaan yang mudah didekati serta boleh dirunding, kerajaan yang memberi petunjuk dan bukannya mengarah.

"Oleh itu, adalah logik bagi gesaan ke arah tadbir urus baik diiringi gesaan bagi pendemokrasian yang lebih hebat kerana mereka berhubung kait walaupun berbeza dari segi konsep," titahnya.

Demokrasi, titah baginda, memberikan saluran kepada pelbagai pihak memberi suara mengenai cara mereka mahu ditadbir, iaitu kerajaan dengan keizinan.

"Proses pendemokrasian juga perlu mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Penyertaan mereka perlu digalakkan ke tahap mereka membantu institusi kuasa untuk berfungsi dengan lebih baik," titah Raja Nazrin Shah


Dari : Harakahdaily

Monday, August 6, 2007

DIRIKU INGIN MERDEKA

Oleh : Abu Bakhtiar

Derapan kaki kian terasa,
Nun di sana terbaris perkasa,
Tentera berderap menunjukkan kuasa,
Kuasa dan kekuatan pertahanan negara.

Terkesima sementara bila terbaca,
Keluhan dari rakyat yang merdeka,
Tidak lain tidak suara hanyalah pena,
Menujah dakwat merembeskan duka.

Mengapa masih ada yang berduka,
Mengapa masih ada yang menderita,
Terpalit sudah erti merdeka,
Di jiwa rakyat yang gundah gulana.

Sedang pemimpin membunyikan suara,
Melantang agenda permatangan negara,
Namun mereka hanya berseloka,
Tanpa melihat rakyat jelata.

Inikah yang dikatakan merdeka,
Inikah yang dikatakan berjaya,
Inikah yang dikatakan kuasa,
Inikah yang dikatakan bahagia.

Tiada makna di jiwa merdeka,
Tiada kekuatan menongkah kuasa,
Jika tersingkap sebuah gerila,
Pasti parah jiwa merana.

Bukan takut bukan meronta,
Hanya cebisan hati cuba berkata,
Apalah makna jiwa merdeka,
AUKU, ISA, OSA masih berkuasa.

Makin dipuja makin di lupa,
Inilah dia pemimpin kita,
Sesal kemudian tidak berguna,
Mengapa tidak diubah seawalnya.

Jiwa merdeka jiwa bahagia,
Tidak akan sesekali hidup terpenjara,
Tidak sesekali berundur bicara.
Fakta dan hujah menjadi kuasa.

Mengapa tidak diubah sahaja,
Pemerintahan kini sudah terlalu lama,
Bukan susah dalam mencuba,
Hanya gerakan hati perlu dijana.

Sampai masanya untuk merdeka,
Merdeka jiwa merdeka minda,
Sudah sampai masa untuk bermula,
Pastikan kebatilan lenyap tanpa nyawa.

Bukan laungan tanpa makna,
Laungan dari jiwa merdeka,
Tidak sesekali kita teruja,
Laungan ALLAHUAKBAR kan terus bergema.



"Boleh didapati di dalam akhbar PENJANA keluaran

CABARAN REMAJA ISLAM


Perancangan komunis

-Memberi galakan dan kebebasan kepada penulis-penulis untuk hentam Islam
-Memutuskan ikatan agama di antara bangsa-bangsa Islam (suburkan perkauman)
-Menggunakan Islam untuk hancurkan Islam
-Menyebarkan fahaman teori Darwinisme - manusia berasal dari beruk
-Menyebarkan fahaman teori Frued - tumpuan semua kehidupan manusia adalah seks
-Agama candu masyarakat
-China dan Rusia telah membunuh seramai 26 juta penduduk Islam Turkistan Yugoslavia, 1 juta penduduk Islam telah dibunuh

Perancangan salibiah
(gerakan hancurkan islam)


-Cuti hari Jumaat ditukarkan kepada hari Ahad
-Turki, laungan azan wajib dalam bahasa Turki
-Gladstone, "Selagimana al-Quran dihayati oleh orang Islam, maka Eropah tidak akan berjaya selama-lamanya."
-Pemerintah Perancis di Algeria, "Kita mesti hapuskan al-Quran baru kita berjaya."
-Zeumer (bapa segala paderi sedunia tahun 1935), "Tugas Kristianisasi bukanlah memasukkan Islam ke dalam Kristian tetapi cukup sekadar menjauhkan mereka dari Tuhan mereka."
-Lowrence Brown (paderi), "Kita mesti pastikan umat Islam berpecah-belah supaya mereka sentiasa lemah."
-Menyuburkan slogan hak kebebasan wanita, persamaan taraf lelaki dan wanita dan menentang pemakaian menutup aurat
-Mendidik anak-anak perempuan dengan budaya Barat
-Menanamkan keyakinan bahawa bahasa Arab itu susah dan sukar, akhirnya umat Islam benci dan tidak faham akan al-Quran
-Menyebarkan propaganda bahawa Islam itu penceroboh dan pengganas
-Menonjolkan wanita Barat moden dan wanita Islam mundur
-Menonjolkan kebaikan Kristian melalui bantuan kemanusiaan di Negara-negara Islam
-Dr. Abdul Wadud esy-Syalabi (Universiti al-Azhar), "Pendakwah Kristian di seluruh dunia Islam seramai hampir 500 ribu orang."

Perancangan yahudi

-Pecahbelahkan dunia Islam, cetuskan peperangan
-Rosakkan aqidah dan runtuhkan akhlak
-Membina dan melebarkan Negara Israel (ISRAELRAYA)
-Bina kekuatan ekonomi Yahudi sedunia ( 1 % daripada hasil rokok dunia disumbangkan kepada Israel. Dengan itu, Israel akan menerima 1 bilion - mungkin secara bulanan )
-Menawarkan bantuan kewangan dan pangkat kepada anak-anak Islam untuk merosakkan remaja Islam – melalui konsert, filem dan sebagainya
-Menggalakkan pesta-pesta hiburan tanpa sempadan antara lelaki dan perempuan
-Suburkan pergaulan bebas – awalnya 'Rakan Study', akhirnya.....
-Tubuhkan sesuatu yang berkonsepkan 'BEBAS DARI IKATAN KETAUHIDAN' (Skin-Head dan sebagainya)
-Serang budaya Islam dengan budaya Barat

AYUH!! SEDAR DIRI!!!...

Dunia mutakhir kini jelas menzahirkan mega cabaran yang melampau tidak kira dalam populasi aspek yang pelbagai. Namun, sesuatu perkara yang paling jelas telah melanda umat Islam zaman kini dan TIDAK ramai yang mengetahui dan menyedarinya iaitu Perang Minda. Musuh-musuh Islam Laknatullahi `alaihim telah mula memasang strategi untuk menjatuhkan Islam menggunakan pengaruh minda telah pun bermula berkurun lamanya. Begitu besar peranan yang wajib dimainkan remaja Islam masa kini. Sedarkah enta? Bayangkan, seorang ketua paderi sedunia tahun 1935, Zeumer, telah menyatakan:

"Tugas Kristianisasi bukanlah memasukkan orang Islam ke dalam Kristian tetapi cukup sekadar menjauhkan kehidupan mereka dari Tuhan mereka."

Ini adalah kata-kata seorang ketua paderi dunia tahun 1935 yang menyatakan kerisauannya apabila umat Islam berpegang teguh dengan al-Quran. Umat Islam zaman dahulu menjadi mapan dalam setiap aspek bersusurgalurkan pegangan yang teguh kepada al-Quran. Namun, dapatkah enta tafsirkan sikap umat Islam zaman kini?? Majoriti aktiviti sehariannya dipenuhi dosa dan noda, tidak ubah seperti stail kehidupan orang Barat yang sentiasa bermandikan lautan kemaksiatan dan kemungkaran. Entum merupakan golongan terpelajar, tidak memerlukan syarah yang panjang untuk memahaminya.

Kita singkap kembali sejarah kegemilangan Islami. Kehidupan muslimin dahulu gemilang bukan hanya kerana dianugerahi ilmu yang bergunung-gunung sahaja, bahkan ilmu-ilmu tersebut semakin direnangi dan diselami sedalam-dalamnya. Kemudian, dikongsi bersama dengan muslimin yang lain bagi menghilangkan kejahilan mereka sesama sendiri.

Namun begitu, bagaimanakah hakikat masyarakat Islam zaman kini? Amat ramai golongan yang berjaya melepasi menara gading dengan cemerlang, tetapi tidak ramai yang membantu mencurahkan ilmu mereka kepada yang lain demi kemaslahatan masyarakat Islam. Walaubagaimanapun, golongan yang kurang berpendidikan pula tidak boleh hanya mengharap kepada golongan berpendidikan. Sebaliknya, mereka wajib membina kekuatan fikir mereka. Bagaimana?? Kekuatan fikir ini hanya boleh dibina dengan amalan membaca.

Slogan-slogan yang menginginkan masyarakat sentiasa mengamalkan amalan membaca telah bertebaran di serata pelusuk dunia, cuma pengaplikasiannya sahaja yang masih di tahap minimum. Penguasaan ilmu ini termasuklah ilmu duniawi dan ukhrawi. Hal ini kerana Islam menggalakkan pengikutnya mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Berikut merupakan antara peranan yang wajib dimainkan oleh remaja Islam masa kini dalam menempuhi mega cabaran yang melanda gelanggang dunia keIslaman kini:

-Penguasaan ilmu (fardhu 'ain dan fardhu kifayah)
-Bina kekuatan fikir dengan membaca
-Kuasai bahasa al-Quran dan mentadabburnya (meneliti dan menghayati)
-Bina keharmonian dan kemurnian akhlak (tuturkata, adab pergaulan, pemakanan, pemakaian dan sebagainya)
-Sibukkan diri dnegan gerakan-gerakan, persatuan-persatuan Islam
-Kembali cintakan ibadah
-Dampingi golongan alim
-Sentiasa mendirikan solat jama'ah
-Jernihkan aqidah dari perkara khurafat

Segala nasihat mahupun teguran terdaya dilakukan, namun ikhtiar dan mujahadah dalam melaksanakannya adalah bergantung kepada sejauh mana kesedaran kita dalam memainkan peranan sebagai remaja Islam. Muhasabahlah… kajilah semula amalan kita terdahulu. Adakah kita pernah menyumbang kepada kebangkitan Islami? Seraplah kembali ilmu di sekeliling selagi masih bersinar untuk dipusatkan di sistem pemusatan idea untuk diterjemahkan. Dengan itu, berlakulah suatu aliran pemusingan minda dalam diri seorang mukmin untuk menyumbangkan sumbangan yang amat berguna dalam pembangunan kegemilangan Islam.


HONESTLY FROM:
MUHAMMAD FAKHRUDDIN AR-RAZI BNU MISNI
SPECIAL DEDICATE TO ALL YOUTH OF ISLAM

Pilihan Raya Kampus : Aspirasi Mahasiswa vs Aspirasi Umno

Jika disingkap sedikit sejarah lama, gelanggang Pilihanraya Kampus (PRK) 2006 telah dibuka tirainya apabila sebuah akhbar tabloid KOSMO telah mengumumkan “Kabinet Majlis Perwakilan Pelajar Dibubar!” di muka hadapannya.

Pihak media memainkan peranan untuk menyuntik kembali ruh PRK dengan memainkan beberapa sentimen pelabelan terhadap mahasiswa termasuklah akhbar 'Mahasiswa Api Perjuangan' siri 32/2006 yang melaporkan, Aspirasi : 18, Pembangkang :0!!

Universiti merupakan satu platform penjanaan minda yang bebas, pembinaan daya intelektual, pembentukan jatidiri kepimpinan dan sebagai satu garapan untuk melahirkan negarawan yang disegani satu hari nanti.

Jangan manipulasikan PRK

Justeru, PRK dilihat sebagai satu latihan kepimpinan dan sendi demokrasi yang tidak harus dijadikan sebagai alat manipulasi pihak-pihaktertentu sehingga mencacatkan konsep asas pilihan raya tersebut.

Perjalanan PRK beberapa siri yang lalu jelas menguburkan prinsip demokrasi yang murni.

Pada tahun ini, komuniti mahasiswa juga dapat merasakan suasana kegentingan apabila semester ini merupakan semester PRK. Suasananya yang agak rancak jika dibandingkan pada setahun dua yang lalu apabila tahun ini juga bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke12.

Sudah pasti aktivis-aktivis mahasiswa berpencak di gelanggang yang hampir sama cuma aktor-aktor politik yang berbeza. Jika teorinya, parti Umno inginkan keselesaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke12, sudah pasti PRK juga menjadi satu tumpuan yang penting untuk mengukur kekuatan sokongan kepada mereka.

Pertembungan agresif

Pertembungan pada kali ini agak agresif. Jika dulu hanya parti-parti mahasiswa yang bertanding, tapi pada kali ini mungkin tidak. Pertama, pihak pentadbiran tidak membenarkan bertanding di atas tiket pakatan atau parti.

Kedua, sebab aspirasi mahasiswa akan bersabung nyawa dengan aspirasi Umno. Bukan hanya mahasiswa Umno (proksi Umno di kampus), tapi bapak-bapak pentadbiran universiti juga secara terang-terangan mengikut kiblat dan petunjuk Umno untuk memenangkan balaci-balaci Umno di kampus.

Siapa yang mahu bertanggungjawab sekiranya aspirasi mahasiswa mendedahkan beberapa siri komplot persidangan di antara Timbalan-Timbalan Naib Cancelor IPTA dan pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar bersama pemuda mahupun puteri Umno untuk menjatuhkan dan menyekat kemaraan aspirasi mahasiswa di universiti masing-masing?

Balaci tahu bila PRK

Siapa juga yang sudi untuk menjawab persoalan ini sekiranya 'balaci-balaci' ini terlebih dahulu mengetahui tarikh PRK 2007 kerana mereka telah bersidang bersama wakil Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan seluruh jentera aspirasi Umno di seluruh IPTA? Ini secara jelas dan zahir.

Apa lagi yang terselindung disebalik fail-fail merah dan akaun simpanan?Ini bukan soal menghidupkan dan memurnikan demokrasi lagi, tapi iasoal kredibiliti dan maruah parti Umno, TNC dan HEP.

Kalaulah ini medan permainannya, pemain-pemain juga sudah tahu siapa yang akan menang dan kalah, apakah nama bagi permainan ini? PRK yang sepatutnya dijadikan platform penajaman skil kepimpinan akhirnya menjadi taruhan nafsu parti tertentu.

Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mencabar pihak-pihak yang berautoriti untuk menghapuskan sistem-sistem yang tidak masuk akal dan janggal untuk berhadapan dengan PRK 2007.

Suruhanjaya PRK mestilah bersih dari campur tangan Timbalan Naib Cancelor dan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang nyata diragui ketelusannya dalam mengurus tadbir pentadbirannya.

Hapuskan sistem yang menghalang

Gamis juga berharap sistem yang diguna pakai di UIAM sejak dua tahun yang lalu iaitu sistem 'public speaking' dan sesi temu duga kepada bakalcalon juga mestilah dihapuskan.

Pihak Gamis merasakan bahawa PRK merupakan satu-satunya kaedah yang terbaik untuk memanifestasikan keluhuran akademik dan disiplin mahasiswa untuk mempamerkan bakat kepimpinan disamping menonjolkan sikap negarawan yang disegani

Oleh : Ahmad Fawwaz Abdul Aziz

Saturday, August 4, 2007

“STUPID DEBATE” UNTUK PERWARIS KERAJAAN

Sikap pentadbiran Universiti Malaya (UM) terutamanya pihak Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Kediaman Ke-12 yang tidak prihatin jelas merupakan punca yang menyebabkan imej universiti tertua itu gagal dipertahankan sebagai universiti perdana yang berprestij.

Malah mahasiswa dimanipulasi dan dinodai dengan ganas dibawah AUKU dan akhirnya melahirkan generasi mahasiswa yang tidak menggunakan akal dalam segenap tindak tanduk mereka.

Dalam keadaan aktiviti pembangunan sahsiah dan kepimpinan pergerakan mahasiswa yang disekat, pihak pentadbiran universiti seolah-olah membebaskan mahasiswa dengan aktiviti yang langsung tidak mencerminkan mereka sebagai penuntut menara gading.

Menurut 'mama terguris', beliau dimaklumkan anak perempuannya yang merupakan mahasiswi baru di UM telah mengikuti satu program yang dinamakan 'Stupid Debate' yang diadakan di Kolej Kediaman ke-12 sempena Minggu Interaksi pelajar-pelajar baru.

'Stupid Debate' yang dikendalikan oleh Pembantu Mahasiswa dijalankan secara terbuka di kafe kolej berkenaan dengan membincangkan pelbagai topik hangat yang dirasakan beliau sebagai tidak sesuai iaitu, 'memakai seluar pendek atau kain lebih baik untuk turun ke kafetaria' , 'lelaki badan berbulu lebih baik daripada yang memiliki badan yang tidak berbulu?' dan banyak lagi.

Adakah ini yang dikatakan persediaan kepada pembentukan tahap pemikiran seorang mahasiswa baru ? Adakah dengan tahap pemikiran dan tindakan seperti ini mampu melahirkan mahasiswa yang mampu menggegar dan menerajui negara. Pemikiran para mahasiswa seperti ini bukan sahaja menjatuhkan generasi mahasiswa di UM akan datang malah sekaligus akan menjatuhkan identiti UM sebagai pusat pengajian tinggi tertua di Malaysia.

Tidak hairanlah jika insititusi pengajian tinggi gagal melahirkan produk yang berkualiti untuk menjadi modal insan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

Semuanya itu adalah retorik sebagai bukti kegagalan sistem pendidikan kita pada hari ini yang tidak mendidik insan menjadi manusia yang sebenar apatah lagi untuk menjadi pewaris kepimpinan negara.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Berikut adalah teks penuh surat pembaca tersebut.

Wajarkah bincang seks keterlaluan di universiti?

KEPULANGAN anak-anak ke kampung halaman selepas minggu pertama di universiti merupakan satu kepulangan yang amat bermakna buat keluarga bagi saya seorang ibu.

Bahkan, kami sekeluarga meraikan kepulangan anak perempuan kami dengan keluar makan di sebuah restoran terkemuka di daerah kami.

Namun sebagai seorang ibu, saya benar-benar terkejut apabila anak gadis saya yang merupakan seorang graduan di universiti bertanyakan soalan yang berbunyi, “Mak, mana yang lebih bagus, seks sebelum makan atau seks selepas makan?” Hancur luluh hati saya apabila seorang gadis desa yang merantau ke ibu kota bertanyakan soalan yang sebegitu jelik dan mengaibkan.

Apabila ditanya, anak saya juga mengaku bahawa topik-topik perbincangan sebegitu sudah menjadi suatu kebiasaan di sana.

Air mata saya hampir menitis apabila dia menyatakan bahawa ada satu program yang dinamakan Stupid Debate telah diadakan di kolej kediamannya sempena Minggu Interaksi, Kolej Kediaman ke-12 secara terbuka di kafe kolej berkenaan.

Banyak lagi topik ‘hangat’ yang telah dibincangkan selain tajuk itu, sehingga kita tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku di universiti kita sekarang?

Adakah anak-anak kita diajar untuk menjadi tidak senonoh dengan perkara-perkara yang sebegitu keji?

Tambah memilukan lagi, menurut anak saya, malam berikutnya, ada tayangan perdana yang menayangkan beberapa filem dari malam hingga ke subuh.

Bagi saya, perbincangan tentang pendidikan seks ini relevan bagi masa sekarang lantaran banyaknya gangguan seksual berlaku khususnya terhadap golongan wanita.

Namun yang pastinya diskusi ini dibincangkan dalam bentuk ilmiah yang diberi oleh mereka yang pakar dan profesional. Ini memberi impak dan kesan yang baik kepada remaja masa kini.

Saya juga tidak menyalahkan remaja yang ingin berseronok tetapi alangkah baiknya jika keseronokan itu dikawal dan tidak berlebihan agar budaya ketimuran kita terpelihara.

Sebenarnya, menjadi tanggungjawab pentadbiran kolej atau universiti untuk melihat pengisian yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung agar sejajar dengan misi dan visi universiti.

Kita bukan sahaja ingin melihat anak kita bijak dalam akademiknya bahkan kita mahukan budaya intelektual diwujudkan khususnya di institusi pengajian tinggi.

Untuk makluman, suami saya juga merupakan bekas graduan di universiti yang sama namun katanya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang dia menuntut di situ.

Apa yang kami mahukan adalah penjelasan daripada pihak pentadbiran kolej atau universiti. Kami selaku ibu bapa benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku sebenarnya.

Kami tidak mahu anak-anak kami nanti menjadi sampah masyarakat keluaran universiti-universiti tempatan.

Pada pandangan saya, perkara sebegini bukan sahaja berlaku di Universiti Malaya sahaja, ia pasti berlaku di universiti lain.

Kepada ibu bapa, tanyalah kepada anak-anak anda sendiri apakah sebenarnya yang telah mereka lalui sepanjang di universiti, saya yakin dan pasti bahawa anda akan sependapat dengan saya kerana setiap ibu bapa mahukan anak-anak mereka menjadi manusia yang sebenar-benar manusia.

Tak perlu untuk kita bertegang urat untuk menyelesaikan perkara ini, cuma cuba fikirkan apa yang akan anda rasa apabila anak anda adalah salah seorang daripada mereka yang terlibat dengan ‘kejadian’ yang saya kemukakan.

Mungkin ramai yang sukar untuk percaya, namun terpulanglah, tepuk dada, tanya selera.

– MAMA TERGURIS,Johor