Showing posts with label Dunia Da'ie. Show all posts
Showing posts with label Dunia Da'ie. Show all posts

Sunday, October 7, 2007

Khas Untuk Yang Mengamalkan Budaya Samseng




Samseng, samseng, samseng, samseng
ini bukan zaman samseng
bukan zaman samseng samseng*
tiada tempat untuk samseng
ini bukan cara samseng

Sudah banyak yang ku lihat di depan mata
pecah botol pecah gelas pecah kaca pecah kepala
cara berkuasa siapa gagah siapa perkasa siapa lagi ramai anggota
mana tempat?
bila masa?
kita jumpa
satu lawan satu
engkau dengan aku
buka butang buka baju
gedebak gedebik gedebuk
kita tunggu siapa yang akan jatuh dahulu

Yang menang akan jadi abang besar
tak perlu gusar
kiri kanan sentiasa ada orang jaga
bila berjalan kepak mula dibuka
jaga jaga jangan cuba merenung mata
amaran untuk semua

dunia ini dia yang punya

Dan didepan mu berbaris peluang-peluang
tapi tidak mahu pun engkau rebutkan
Berderet-deret sasaran
namun tidak satu peluru pun engkau lepaskan
kerana engkau hanya asyik berjuang
Entah untuk apa dan demi siapa engkau juangkan

Keberanianmu itu adalah
himpunan puluhan anggota bengong
yang sibuk melaungkan suku-suku pantun
serta cogankata kosong

Keberanianmu itu adalah
tubuh-tubuh kaku terdalam* bergelimpangan
di simpang-simpang jalan yang telah engkau tewaskan

Keberanianmu itu adalah wajah-wajah kamu
yang berbinkan dan berbintikan
si anu dan si polan
terpampang di muka suratdepan
ruang2 surat* dipasung kaki dan tangan

Keberanianmu itu adalah anak2 bangsaku
dalam satu ikatan berkongsi kandang
bergelar si banduan

Apa yang kan kau dapat
hanya sorakan kuat
naikkan semangat
setelah bertempur hebat
engkaulah tuah engkaulah jebat
tiada siapa yang akan berani dekat
sampai bila kau nak jadi raja membabi buta
bukalah mata satu hari kau pasti akan jatuh takhta
kehabisan bisa baru kau sedar
mana pergi tuah
mana hilang jebat
mana kata semangat
mana kiri kanan gua
mana kata bersatu
mana isi dan kuku
mana sehidup semati
mana pergi
argh!! semua janji

Bukan aku hendak mengata
tapi sudah nyata
semakin bermaharajalela
semakin berleluasa
satu demi satu
bangsa ku menjadi layu
gugur di medang perang
ciptaan saudara saudara ku
bagaimana hendakku jelaskan
pada generasi baru
dunia maju tapi bukan kita nombor satu
dunia serba canggih tapi kita masih menagih
dunia pesat membangun tapi kita masih mengelamun
salah siapa
lain makan nangka
lain kena getah
lain cari cerita
lain jadi mangsa
kerana nila setitik
rosak semua susu sebelanga

DAKWAH: BAHAYA FUTUR


KAEDAH MERAWAT KELESUAN AKIBAT FUTUR

1. Menjauhi maksiat dan keburukan serta punca-punca yang boleh membawa ke arah perlakuannya kerana sebagaimana ibadah boleh menghindarkan diri daripada maksiat, malaikat juga boleh menjauhkan seseorang daripada amal-amal kebajikan.

2. Istiqamah dengan amalan-amalan harian bagi meningkatkan kekuatan rohani dan jasmani. Hanya dengan persiapan rohani dan persediaan jasmani sajalah dapat mengharungi liku-liku perjuangan menegakkan islam yang penuh dengan ranjau dan halangan.

3. Menjaga waktu-waktu yang utama dan menghidupkan amalan ketaatan. Sebagai contoh, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, solat dhuha, membaca zikir dan doa pada waktu-waktu yang tertentu.

4. Menjaga diri daripada bersikap melampau dan terlalu menyusahkan diri dalam urusan agama Allah iaitu dengan bersikap sederhana serta menjaga amalan-amalan kebiasaan mengikut sunnah.melakukan amalan yang sedikit tetapi istiqamah adalah lebih baik daripada melakukan banyak amalan tetapi tidak kekal.

5. Menggabungkan diri dengan jemaah Islam dan meninggalkan uzlah. Hanya dengan menyertai jemaah seseorang itu dapat meningkatkan diri dan tidak mudah tertipu oleh tipu daya syaitan.

6. Mengenali cabaran-cabaran di jalan dakwah.dengan mengenal pasti halangan dan mehnah yang bakal ditempuhi akan menyiapkan para petugas Islam agar tidak mudah berputus asa dan hilang semangat.

7. Bersikap teliti dan melaksanakan kerja secara sistematik. Kerja-kerja yang tidak berperancangan dan dilakukan secara sembrono akan menemui jalan buntu.

8. Selalu bergaul dengan orang yang salih dan banyak melakukan amal soleh.

9. Memberi hak-hak tubuh badan dan jasmani seperti rehat dan penjagaan yang sebaiknya.

10. Memberi ruang pada jiwa untuk menikmati perkara-perkara yang harus seperti bergurau, bermain dan berekreasi.

11. Selalu membaca buku sirah nabi dan sejarah orang-orang yang soleh. Ini kerana buku-buku tersebut mengandungi pelbagai teladan bagi setiap muslim.

12. Sentiasa mengingati mati dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti azab kubur dan hari kebangkitan.

13. Sentiasa membayangkan nikmat syurga dan azab neraka. Ini akan memantapkan lagi iman dan menguatkan semangat untuk memikul amanah Allah.

14. Selalu menghadiri majlis ilmu. Ini kerana ia akan mengembalikan kerajinan pendengar untuk melakukan kerja-kerja Islam.

15. Memahami tasawur Islam dengan mengamalkan kesyumulan agama itu sendiri. Ini akan mengelakkan pemahaman yang cetek terhadap Islam.

16. Sering memuhasabah diri. Insyallah ia akan cepat menyedarkan kita daripada kealpaan.

PENUTUP

Kelesuan petugas-petugas Islam kini adalah akibat tidak memahami bahaya membiasakan diri dengan sifat malas sehingga terdedah kepada pelbagai penyakit seperti futur. Syaitan akan segera mengambil kesempatan untuk melalaikan umat Islam sehingga jauh daripada janji kemenangan (nusrah) yang dijanjikan oleh Allah.

Yahudi tak alah selagi Subuh tak seperti Jumaat


MELIHAT kepada kekuatan yang ada pada Israel dan sokongan kukuh Amerika yang tidak berbelah bagi di belakangnya, tidak nampak umatIslam mampu menewaskannya seperti yang pernah dilakukan Sultan Salahuddin al-Ayubi dulu. Dan bersatulah Islam seluruh belaka, berdemonstrasilah hinggaberatus ribu di mana-mana saja di dunia, dalam keadaan yang ada, tiada terdaya dan tiada nampak tanda-tanda Yahudi Israel dapat dikalahkan danBaitul Maqdis dapat dibebaskan. Yahudi tahu semua ini. Justeru, apabila menyerang Lubnan yang Islamnya separuh-separuh saja, ia tidak pedulu langsung segala sanggahan dunia Islam dan PBB kerana masing-masing tidak sanggup berbuat apa-apa. Ia sedia mengadakan gencatan senjata, bukan kerana ia takut kepada tindakan balas umat Islam dan dunia, tetapi ia berhenti sekejap keranaia penat. Apabila penatnya reda, maka ia akan berbuat apa-apa saja. Yahudi tahu bila ia boleh dikalahkan oleh Islam dan apa senjata yang boleh mengalahkannya.

Iman dan jihad

Yahudi tahu senjata besar umat Islam ialah iman dan jihad. Senjata itu ada pada pada sebilangan kecil umat Islam sekali pun bilangan umat Islam dunia melebihi satu bilion orang. Yang ramai itu adalah sepertibuih di permukaan laut, seperti yang baginda s.a.w. pernah sebutkan. Apabila iman itu menjadi sifat yang dimiliki oleh umat seluruhnya, maka Yahudi tahu ia tidak akan boleh bermaharajalela lagi.

Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak. Tetapi sejumlah besar umat Islam di mana-mana juga di dunia sudah memenuhi masjid-masjid setiap Jumaat. Melihat kepada perhimpunan solat Jumaat yang ada sekarang, Yahudi sudah cukup berwaspada. Jika bilangan yang menunaikan solat itu bertambah, maka ia bertambah bimbang meskipun ia belum boleh menggugat dan menewaskannya. Tetapi apabila umat Islam yang turun solat Jumaat itu juga turun solat Subuh berjamaah setiap pagi, maka ia adalah tanda permulaan bahawa Yahudi boleh dan dapat dikalahkan dalam waktu terdekat. Apa yang orang Islam buat sekarang ialah semuanya turun ke masjid dan surau bersolat Subuh berjamaah setiap pagi. Jangan ada lagi yang solat di rumah. Sama ada ada niat untuk memerangi Yahudi atau tidak, semuanya mengambil tanggungjawab dan kesedaran untuk solat Subuh berjamaah seperti solat Jumaat dulu. Niat solat Subuh itu kerana Allah dan membesarkan Allah, maka dengan sendirinya martabat iman masing-masing akan meningkat dan akan meningkat iman umat itu pada keseluruhannya.

Wednesday, September 5, 2007

Tika dan Ketika

Assalamualaikum.

Jika kau merasa lelah dan tak berdaya da
ri usaha yang

seperti sia-sia... Allah tahu betapa keras engkau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama dan hatimu masih
terasa pedih.. Allah sudah menghitung airmatamu.

Jika kau fikir bahwa hidupmu sedang menunggu sesuatu
dan waktu terasa berlalu begitu saja... Allah sedang menunggu
bersama-samamu.

Ketika kau merasa sendirian dan teman-tem
anmu terlalu sibuk untuk
menelefon dirimu... Allah sentiasa berada di sampingmu.

Ketika kau fikir bahwa kau sudah berusaha sesungguhnya dan
tidak tahu hendak berbuat apa lagi... Allah mempunyai jawapannya.

Ketika segalanya menjadi sesuatu yang tidak masuk akal dan kau merasa tertekan... Allah bersamamu untuk menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan... sebenarnya Allah
sedang berbisik kepadamu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kau merasa ingin mengucap
syukur... Allah telah pun memberkatimu.

Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kau dipenuhi
ketakjuban... Allah akan tersenyum kepadamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan
mimpi
untuk digenapi...Allah sudah membuka matamu dan memanggilmu dengan namamu.

Oleh itu ingatlah bahwa di manapun kau atau ke manapun kau
berada...Allah akan mengetahui dan senantiasa berada di sampingmu.

Thursday, July 26, 2007

Coretan Sebuah Permulaan Jalan Kehidupan

Assalamualaikum. Ceritera ini sekadar secoret bingkisan di celahan mehnah hidup yang pernah ku lalui.

Masih segar di dalam ingatan, ku dihantar jauh nun meninggalkan keluarga yang tersayang. Jauh di sebuah negeri yang dikenali dengan Negeri Tadahan Wahyu. Dijauhkan daripada keluarga yang sememangnya memberi seribu kepedihan. Hatiku ibarat dihiris-hiris. Seringkali ku tertanya sendirian, kenapa aku dihantar sebegini jauh. Adakah aku ada melakukan dosa yang besar kepada keluarga. Seribu satu jawapan bermain di minda kerdilku ini.

Setibanya aku di sebuah sekolah, dapat ku saksikan wajah-wajah sugul, mungkin mengalami situasi yang sama, dihantar oleh keluarga masing-masing. Masih teringat, terdapat sebuah papan besar yang agak daif bertulisan jawi. Ku cuba membacanya berdasarkan sedikit ilmu yang telah digarap oleh abah dan mama. “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum”. Ku yakin ini ialah sebuah sekolah agama kerana jarang dapat ku lihat tulisan seperi itu di sekolah-sekolah yang pernah ku duduki sebelum ini.

Ku ditempatkan di sebuah bilik yang terpaksa dikongsi bersama 19 orang pelajar lain. Sekali lagi ku tersentak, adakah ini tempat tidurku yang akan ku diami selama setahun. Tiada kipas, tiada itu, tiada ini. Serba serbi tidak kena dengan jiwaku. Ku inginkan katil tebalku. Ku inginkan kipas yang laju. Sememangnya berlainan dengan kehidupanku bersama keluarga sedari kecil sehingga berusia 12 tahun. Ku hanya memikirkan untuk bermain, belajar dan mengikut kemana sahaja ayah dan ibu pergi, samada mesyuarat atau kuliah. Apatah lagi jika mereka pergi melancong. Ku pasti tidak ketinggalan. Ku dijaga dan diasuh seperti kanak-kanak biasa yang lain. Ke sekolah kebangsaan dipagi hari, ke sekolah agama rakyat di petang hari. Namun kini tiada lagi. Ku memulakan kehidupan baru dengan serba serbi yang baru. Tempat penginapan yang baru, teman baru, dan abang baru yakni ketua bilikku.

Kesekian harinya, bermulalah kisah hidupku yang baru dimana ku mula diajar dan dididik mengenai asas-asas dalam akidah, akhlak, ibadah dan juga kepimpinan. Tidak lupa juga dengan pelajaran-pelajaran yg biasa seperti pelajar-pelajar lain. Cuma kami mendapat layanan khas dari abang-abang senior. Sekali lagi perkataan Usrah ku dengari. Kali ini lebih acap kali disebut-sebut oleh abang seniorku yang juga dikenali sebagai naqibku. Ku pernah dengar perkataan Usrah seawal ku berusia 6 tahun. Kerana ayahku juga merupakan naqib kepada sahabat-sahabatnya di kawasan taman perumahan. Tetapi disini dan di sekolah tercinta ini kami diajar secara intensif dimana kami terpaksa menghadam semuanya secara konsisten. Di sini juga aku diperkenalkan dengan tazkirah yang perlu didengar dan disalin tiga kali setiap hari, bacaan Al-Mathurat dan macam-macam lagi. Tidak ketinggalan juga pengalaman berqiyamulail secara beramai-ramai bersama teman-teman. Penah ku mempersoalkan, kenapa perlu ku salin tazkirah, bukankah hanya mendengar, ilmu akan datang dengan lebih jelas. Tanpa ku sedari, aku juga seorang yang mudah lupa seperti manusia biasa. Namun apakan daya, ku gagahkan diri menuruti apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh abang-abang naqib atau lebih dikenali sebagai ahli tanzim BADAR, Badan Dakwah dan Rohani.

Setelah kami didik dan diasuh dengan pelbagai ilmu-ilmu secara teori, kami terpaksa memperaktikkannya secara total. Bukan sahaja didalam kehidupan harian di sekolah, malah perlu kami praktikkan juga di dalam tamrin. Apa itu tamrin ?.Inilah pertama kali ku dperkenalkan dengan istilah tamrin. Apa itu tamrin sebenarnya ?, Ku tertanya sendirian. Melihat kepada peralatan yang hendak dibawa dikala ku mempersiapkan diri, ku sangkakan ia adalah sekadar perkelahan dan santai. Tetapi, sakaanku meleset sama sekali. Ia tidak seindah perkelahan. Lebih senang ku gelarkan sebagai kem tentera. Ingin sahaja ku memberontak. Kenapa setiap pergerakanku di kecam oleh abang-abang senior. Mungkin ada salah silapnya. Mungkin mereka sengaja. Masih segar diingatanku, ketika ku berusia 14 tahun. Di dalam sebuah tamrin, ku disoal mengenai rukun-rukun usrah. Ku gagal menjawab secara tepat kerana takutkan abang-abang senior yang garang. Menyebabkan ku bertukar turutan antara Takaful dan Tafahum. Satu kilasan tepat pada kakiku dirasai. Secara separuh sedar, ku sudah terbaring diatas tanah. Memang jika ku ikutkan hati ini, inginku meminta ayah dan ibu mengeluarkanku dari sekolah ini. Tempat yang ku rasakan tidak sesuai untuk mendidik bakal pimpinan negara. Padahal, ia hanya coretan hatiku yang serba kekurangan dari segi ilmu, tarbiyyah dan akhlak.

Tanpa kusedar, usiaku sudah menggapai usia 17 tahun. Aku diamanahkan untuk menjaga adik-adik Tingkatan Satu dimana aku ditaklifkan sebagai seorang Ketua Bilik. Bertapa ku merasakan amat sukar dalam mendidik mereka. Seringkali ku terfikir bagaimana ketabahan dan kepedihan abang-abang senior mendidikku. Ku mula memahami kenapa mereka kadangkala bertindak kasar. Ku juga mula memahami mengapa kami dipaksa menulis dan menyalin tazkirah yang disampaikan oleh Muzakkir. Juga ku memahami mengapa ku diterajang kerana tidak dapat menjawab soalan dengan tepat.

“Never Crash Under Pressure”. Ku mula memahami apa perkaitan ungkapan ini dengan segala yang ku lalui sebermula dari dihantar oleh ayah dan ibu. Bukan niat abang-abang senior untuk melukakan hatiku. Bukan niat mereka untuk mempermainkanku. Ku memahami niat ikhlas dan suci mereka yakni semata-mata hendak mentarbiyah diriku yang serba kekurangan. Mereka berjaya mengubah secara langsung hidupku. Daripada seorang yang hanya mahukan kesenangan kepada seorang yang merindui kesusahan. Mereka telah mengubahku secara keseluruhan. Ku mula memahami anjakan paradigma yang dilakukan oleh abang-abang senior ke atas diriku. Ku kini bukan lagi seorang yang mudah menangis. Ku bukan lagi seorang yang takutkan tamrin. Ku bukan lagi sekadar anak-anak usrah yang mendengar usrah dari naqib. Ku telah menyedari istilah “Rela Dipimpin Untuk Memimpin”.

Ku juga memahami tujuan ku dihantar jauh dari keluarga. Ku memahami kesedihan ayah dan ibu tatkala berjauhan denganku. Tetapi dapat kurasakan ketabahan mereka yang secara tidak langsung membentukku dari jauh untuk menjadi seorang pemimpin kepada adik-adikku, pemimpin kepada keluarga dan seterusnya. Bukan kerana mereka benci padaku. Bukan juga kerana sengaja membiarkanku berjauhan. Ku mengerti akhirnya. Ku perlu mengenali dunia luar. Ku perlu menyelami kehidupan orang lain. Ku perlu belajar berkomunikasi. Bukan sahaja secara terus, malah secara dari hati ke hati. Dan akhirnya teknik komunikasi yang kedua tersebut menjadi salah satu dari kepakaranku. Ku mengaplikasikannya dalam mendidik adik-adik sebilik dibawah jagaannku. Ku mempelajari bagaimana memahami perasaan adik-adik yang mempunyai pemikiran yang mungkin lebih rendah dari kita dek kemudaan usianya. Selama setahun. Ku dapat merasakan kasih sayang antara kami amat erat. Menggantikan adik-adikku yang jauh nun di pertengahan Semenanjung.

Dan kini, ku hanya membilang minggu untuk menamatkan pengajianku di menara gading. Ku berterima kasih kepada ayah dan ibu kerana mendidikku secara berterusan. Ku berterima kasih kepada abang-abang senior kerana mengajarku erti kehidupan sebagai seorang lelaki, juga sebagai abang kepada adik-adik, juga sebagai anak kepada ayah dan ibu. Ku berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sama-sama mengharungi perjuangan ini. Perjuangan yang menjanjikan seribu satu masalah dan mehnah. Namun, semakin kuat mehnah, semakin erat ikatan antara kita. Semoga dengan sedikit sebanyak apa yang kuceritakan ini, dapat mengembalikan kenangan-kenangan terindah yang menyatukan kita semua.

Jazakallahu Khairann Katheera

Wednesday, July 25, 2007

ERTI MENOLAK POKOK

“Satu, dua, tiga, tolaaaak!!!. Satu, dua, tiga, tolaaaak!!!” begitu lebih kurang bunyinya ayat yang kami sebut beberapa tahun lepas sewaktu berprogram. Memang modul yang meminta para peserta menolak pokok ataupun bangunan sehingga tumbang, sering dilaksanakan oleh para pemodul dalam program peringkat kampus.

Dan , sepanjang ingatan aku sewaktu menjadi pelajar kampus dahulu, aku melalui modul ini dalam empat hingga ke lima kali tanpa memahami apa tujuannya kami berbuat demikian. Menolak pokok kelapa sawit di malam hari dengan harapan untuk menumbangkannya cukup membuatkan akalku tersungkur.

Aku cukup bosan apabila disuruh untuk menolak pokok sehingga tumbang dalam program-program kampus. Para pemodul tidak menerangkan dengan jelas kenapa kami disuruh menolak pokok ini. Nafas tidak cukup dan tersekat-sekat, badan bermandi peluh, urat saraf lenguh lumpuh dan bibir yang lemah akibat dipaksa untuk berzikir secara kuat sewaktu menolak pokok. Bingung. Kami bingung saat itu.

Husnu Al-Thiqah Billah

Namun, setelah aku pula diberikan suatu kesempatan untuk merangka modul bagi program meningkatkan komitmen dan daya juang ahli gerakan kampus, maka aku mulai berfikir dan mengkaji secara serius modul ini. Aku merujuk kembali abang-abang senior yang pernah mengaplikasikan modul ini ke atas kami dahulu.

Pada mulanya, aku telah berjanji pada diri sendiri dan juga pada semua sahabat-sahabat lain supaya kami membatalkan sahaja modul menolak pokok ini yang telah pun diamalkan sedari dahulu lagi. Bagi kami ianya useless and no meaning. Kami mahu memikirkan kaedah lain yang boleh membangunkan jiwa manusia pejuang tanpa perlu ada adegan menolak pokok.

Fikir punya fikir, kami akhirnya menemui satu titik sintesis dan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam program ini agar dapat melahirkan kesan yang positif dalam diri para peserta. Antaranya adalah kami perlu tanamkan perasaan husnu al-thiqah billah dalam jiwa AJK dan perserta program. Husnu al-thiqah billah bermaksud kita yakin dan percaya dengan cukup baik terhadap Allah. Apa jua yang kita lakukan mestilah memohon bantuan dan perlindungan daripada Allah S.W.T., Tuhan Sekelian Alam.

Tolak Pokok Balak

Sebenarnya telah menjadi budaya dan pemikiran songsang dalam diri kebanyakan pejuang Islam yang mana mereka sering meletakkan gerak kerja dan usaha mereka lebih tinggi daripada doa kepada Allah. Mereka teramat rajin, komited dan tidak kurangnya juga cekap-tangkas dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah. Tetapi mereka kurang berdoa, bersolat, munajat dan bersangka baik terhadap Allah S.W.T.

Lantas, dicadangkan agar diadakan semula modul menolak pokok itu. Dan, berkebetulan dalam program itu tiada pokok kelapa sawit untuk dijadikan bukti pentarbiahan kepada Allah tetapi sekeliling kami dipenuhi hutan tebal. Maka, pokok balaklah yang dijadikan mangsa modul malam itu. Mereka perlu menolak pokok dengan harapan ianya tumbang. Kami juga dahulunya disuruh dengan cara yang demikian untuk menguji sejauh mana kami pada saat itu menolak pokok dengan sekuatnya dan seiring dengan itu, hati, perkataan dan tindakan juga mengharap kepada bantuan Allah.

Pokok tidak pernah tumbang dalam mana-mana program pun kerana para peserta menolaknya hanya kerana disuruh oleh AJK dan ada juga antara mereka yang hanya berlakon ketika menolak pokok. Dan, ada juga yang menolak dengan sepenuh hati namun tidak yakin dengan bantuan dan pertolongan Allah. Tidak yakin ataupun tidak berdoa langsung pun pada Allah. Tiada husnu al thiqah billah dalam melaksanakan tugasan yang di amanahkan. Bagaimana aku tahu? Aku pun pernah jadi peserta dahulunya dan semua perasaan itu hadir bersama sewaktu menolak pokok.

Perkara yang sama juga berlaku di luar program iaitu sewaktu kita semua bergerak kerja untuk Islam. Kita rajin berusaha tetapi tiada hubungan doa dengan Allah S.W.T. Bagaimana teman-teman?

Oleh : Nazman (hanfeitsu)

Tuesday, July 24, 2007

Da'ie dan Warna Diri



ANDA PARA DAEI ! APA WARNA DIRI ANDA?

Oleh : Ahmad Asyraf

“Saya tak reti la nak ‘masuk’ dengan budak kelas saya, diorang ni payah skit nak dakwahkan, ade ke patut kata saya ni mat skema”.Rungut seorang daei di sebuah kampus.

“Pening saya,ade ke saya di katakan emosional,pada hal saya rasa saya ok je, entahlah sahabat2 saya ni,tak paham betul!” Bentak pendakwah muda di satu institusi tinggi.

Begitulah serba sedikit rencah dalam dairi seorang pendakwah,rungutan mula muncul apabila berdepan dengan kerencaman sikap manusia yang terkadang kala menaikkan kemarahan.Namun,bagi pendakwah itulah bayaran yang perlu dibayar apabila terjun dalam medan pengislahan umat kini. Manusia rencam dan complicated …

Secara umumnya, manusia boleh dibahagikan mengikut warna diri yang berbeza. Pelajaran yang saya kutip dalam pengajian ilmu Color Vibration Therapy (CVT) membahagikan warna diri kepada empat bahagian utama iaitu Putih ,Merah Jambu ,Hijau dan Biru. Setiap manusia secara azalinya telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan warna dirinya yang tersendiri dan ekslusif.Dan warna tersebut diterjemahkan dengan sifat semulajadi individu tersebut.


Warna putih melambangkan Spiritual atau sifat kerohanian, manakala merah jambu (pink) melambangkan Emotional. Hijau pula melambangkan mental dan biru melambangkan fizikal. Jika di lihat dari sudut seerah Nabawiyyah keempat2 warna ini diwakilkan melalui empat khulafa’ arrasyidin dizaman Nubuwwah.

Putih dinisbahkan kepada Saidina Abu Bakar r.a , merah jambu dinisbahkan kepada Saidina Umar alkhattab r.a, manakala hijau dinisbahkan Saidina Uthman Ibn Affan r.a dan biru mewakili warna Saidina Ali r.a. Kita maklum bahawa keempat sahabat terutama Nabi SAW ini mempunyai karakteristik yang berbeza dan masing-masing menampakkan competitive advantages yang tersendiri. Malahan, kisah mereka juga dapat menonjolkan sifat dan sikap peribadi mereka sebagai qudwah hasanah kepada umat Islam.

Dalam dakwah kegagalan mengenali diri sendiri sebagai pendakwah dan sasaran (mad’u) akan menatijahkan mekanisme dan pendekatan yang kurang efektif. Kerana itu Dr Abdul karim Zaidan dalam buku Usuul adda’wah menekankan tiga arkanuddakwah ini di fahami dan diperkemasi oleh para daei.Kenali diri dan mad’u anda! Begitulah mungkin penekanan yang hendak disebutkan oleh Dr Kareem Zaidan.

Dengan memahami warna diri dan mad’u anda akan mencari titik keserasian atau paling tidak membina titik homofili bersama mad’u. Bahkan ianya tidak terungkai dari tiga penekanan dalam institusi usrah iaitu TAARUF (kenal),TAFAHUM (faham) dan TAKAFUL (Bantu). Bagaimana nak faham kalau tidak kenal, dan bagaimana nak tolong kalau tidak memahami?. Natijah memahami sifat seseorang akan menyebabkan kita matang dalam melayani kerenah dan mampu mengawal sifat negatifnya dengan memberikan rangsangan optimistic dalam minda para mad’u tentang kesyumulan manhaj Islam.

Namun,bagi para daei sifat yang selayaknya perlu disediakan dalam diri, bahkan keempat-empat warna itu sesuai digabungjalinkan dan dipraktikan mengikut masa dan tempatnya. Ada masanya emosi perlu disertakan, mental perlu diseimbangkan , ruhiyyah perlu diperteguhkan dan tenaga fizikal perlu diperkuatkan. Penggunaannya perlu sesuai dan sepadan dengan keperluan semasa, kerana itu daei perlu faham waqi’. Stephen R.Covey juga menyebut dalam karya masyhur: 7 Habits The Most Effective Person tentang sifat orang yang hebat antaranya “Seek to be understand then to be understood” (Baca: Cuba memahami sebelum mahu difahami).Dan itulah sifat yang perlu ada bagi daei!

Mengenali warna diri bermakna kita berusaha mengenali sifat dan sikap semulajadi serta sifat dominant yang ada dalam diri seseorang yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali. Ia sedikit sebanyak memberikan kita hint untuk mendekati sasaran dengan lebih efektif dengan memahami geraklaku dan tatakerja si mad’u.Dan itulah petanda awal kecemerlangan daei. Mengenali mad’u dengan betul ! Bahkan kita perlu mengenali kerenah dan perangai pelbagai lapisan masyarakat. Hayatilah Buku Thariqquda’wah : Baina Asaleh wal inhiraf ( Jalan dakwah antara keaslian dan penyelewengan) karangan Ust Mustafa Masyhur, juga kitab Aafaat Ala Thariq (Wabak sepanjang Jalan) karangan Dr Assayed Muhammad Noh dalam memahami gelagat (behaviour) dalam dakwah. Anda tentu akan mendapat sesuatu.

Ingatlah pesan Imam Hasan Al-Banna : Jadilah kamu umpama pepohon buah-buahan. Ia sering dilempar manusia barangan tiada berharga.Namun, diakhirnya dia (baca: pohon buah) itu akan menghasilkan buah yang akan memberi manfaat kepada makhluk. Apapun, doa saya kepada semua daei, teruskan tugas anda mengislah umat agar ia menjadi saham yang boleh dipersembahkan kepada Allah swt di akhirat kelak. Hidup ini sekali didunia maka nikmatilah ia dengan nikmat perjuangan Islam ! Ayuh kenali diri dan mad’u anda!


Rujukan :
1. Usuul Dakwah 1&2 (Dr Abdul Karim Zaidan)
2. Memperingati 100 tahun Hasan Al-Banna (Riduan Mohd Nor)
3. Jalan Dakwah Antara keaslian dan penyelewengan (Mustafa Masyhur)
4. Wabak sepanjang Jalan (DR Sayed Muhamad Noh)

Pemimpin Sejati Lahir Daripada Kekuatan Peribadi Sendiri


Sebelum kedatangan Islam di jazirah Arab, Kaabah wujud sebagai suatu medan untuk penggiat sastera Arab mengungkapkan kehebatan syair mereka. Syair Arab itu amat kaya dengan pemikiran, selain daripada ketinggian nilai dan mutu bahasa.

Salah satu syair Arab jahiliyyah yang termasyhur dan masih diwarisi setelah kedatangan Islam, ialah sepotong syair oleh penyair terkenal, iaitu Imra’ al-Qais. Sajak itu berbunyi:

Laisa al-fata man yaquulu kaana abi, wa lakin al-fata man yauulu haa ana za! (“Tidaklah dinamakan pemuda, sekiranya seseorang lelaki itu berbangga dengan keturunannya. Tetapi, lelaki sejati itu dinilai apabila dia berkata, ‘inilah aku!’).

Mafhum daripada syair ini ialah janganlah sesekali pemuda berbangga dengan kekayaan, kehebatan dan kegagahan nenek moyang. Tapi, mestilah berbanggalah dengan kekayaan, kehebatan dan kegagahan diri sendiri.

Memang wujud sikap sebegini dalam kalangan pemuda Arab. Mereka berbangga dengan keturunan serta mengagungkan kepahlawanan bapa dan nenek moyang dalam bani-bani dan kabilah mereka.

Imra’ al-Qais membidas sikap buruk ini melalui syairnya. Beliau melihat sikap berbangga itu mesti dinisbahkan kepada jasa dan bakti pemuda itu sendiri ke atas kaumnya. Mereka tidak lagi boleh berbangga terhadap jasa bakti bapa mereka yang telah menaikkan nama kaum dan kabilah mereka sendiri.

Pemuda Arab ini ditanya, “Apa yang disebutkan itu adalah jasa bakti bapa kalian. Tapi di manakah bakti yang kalian tumpahkan ke atas kaum sendiri yang boleh dibanggakan?”

Soalan ini jarang-jarang dapat dijawab oleh anak-anak muda. Penyakit ini sebenarnya ada pada setiap orang tanpa mengira kaum apa sekalipun.

Tahap paling kronik di dalam sebuah kabilah itu ialah apabila seorang pemuda yang tidak berkualiti, atau tiada kekuatan sahsiah tapi diangkat sebagai ketua, hanya kerana bapanya adalah pimpinan ternama di dalam kaum tadi.

Pemimpin sejati bagi sesuatu kaum adalah pimpinan yang teruji pemikirannya. Dia boleh menjawab persoalan umatnya. Mereka mampu menjawab permasalahan ekonomi, politik, dan lain-lain masalah yang melingkari kaum mereka.

Dia memiliki kekuatan peribadi, sahsiah terpuji. Ideanya dicatatkan, sebab hasil renungan pemikiran dan analisis kehidupan kaumnya telah dibahaskannya dengan lebih mendalam.

Apabila seseorang pemuda yang tidak berkualiti, diangkat sebagai pemimpin kaum hanya bermodalkan nama bapanya sebagai pemimpin, maka tunggulah saat kehancuran bangsa. Ini kerana, kerosakan bangsa bermula daripada kebejatan pemimpin, bukan rakyatnya.

Bagi pemuda yang memiliki jurai keturunan yang baik, dan kebetulan memiliki kekuatan pemikiran, peribadi yang baik, sudah tentulah hal ini menjadi lebih baik. Nabi Sulaiman a.s misalnya menaiki takhta sebagai raja bukanlah semata-mata baginda anak raja Daud.

Tetapi sebelum itu lagi Sulaiman telah membuktikan kepintarannya dalam menyelesaikan masalah yang tak dapat dirungkaikan oleh bapanya sendiri. Nabi Daud diangkat sebagai sebagai raja kerana baginda berhasil menumbangkan Jalut.

Daud ketika usia mudanya yang telah berjasa dalam perang, lalu beliau diangkat sebagai raja. Sulaiman a.s diangkat sebagai raja apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak ditemukan jawapannya oleh bapanya, Daud. Mereka tidak menumpang nama, jasa bakti bapanya demi melayakkan diri sebagai pemimpin bangsa.

Dalam kepimpinan alam Melayu, politik istana dan siasah antara bangsawan adalah suatu hal yang boleh kita ambil contoh juga. Contohnya Tun Abdul Razak yang digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan’. Beliau naik dengan sendirinya melalui usaha-usaha dan jasa bakti ke atas rakyatnya sendiri. Tetapi, adakah nilai ini mengalir ke atas anaknya sendiri?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyusun program yang membahaskan jasa-jasa ayahnya. Daripada suatu sudut, Najib seperti berbangga diri dengan nama bapanya. Adakah akhlak ini selaras dengan sikap pemuda seperti yang telah digariskan oleh penyair Arab jahiliyyah Imra’ al-Qais tersebut?

Rakyat atau generasi muda seperti penulis ini tertanya-tanya tentang sumbangan Najib ke atas bangsa Malaysia dan rakyat di negeri ini. Apakah sumbangan beliau sebagai Menteri Pertahanan sebagai contohnya? Adakah dengan pembelian kapal selam?

Menurut bacaan saya, orang Melayu kemungkinan besarnya adalah bangsa yang pertama membina kapal selam sebelum kaum-kaum lain mempunyai teknologi ini. Dalam Sejarah Melayu, disebutkan mengenai Raja Suran yang mencipta sejenis pesawat untuk meninjau sebuah kerajaan di bawah laut.

Namun, tahap pemikiran Melayu zaman kini hanya sekadar membeli kapal selam dengan bayaran jumlah komisyen jutaan ringgit. Ertinya, kementerian ini tidak banyak membuah hasil dan pulangan yang banyak kepada khazanah negara.

Lihat juga kegagalan program PLKN. Ia suatu program ad-hoc yang memisahkan ibu-ibu muda daripada anak-anak kecil yang masih menyusu. Pada saya, Akta Latihan Khidmat Negara (ALKN) persis perundangan Fir’aun dan Namrud yang gentar kepada Musa serta Ibrahim yang masih kecil.

Titah perintah Fir’aun dan Namrud untuk membunuh anak kecil inilah yang memisahkan Musa dan Ibrahim daripada ibu mereka ketika kecil. Musa dihanyutkan di Sungai Nil dan Ibrahim disorokkan di sebuah gua. Akhirnya, mereka membesar sebagai pimpinan agung.

Agak keterlaluan jika kita menyamakan Menteri Pertahanan dengan Fir’aun. Tetapi, saya rasa analogi ini memang wujud persamaannya. Kekuatan Fir’aun adalah pada tenteranya apabila sosok itu ingin membunuh Bani Israel beramai-ramai di Lautan Merah. Ingat, Najib adalah Menteri Pertahanan.

Ketika Najib membuat undang-undang ALKN yang memisahkan ibu-ibu muda daripada anak-anak yang masih menyusu, Fir’aun juga membunuh bayi-bayi kecil Bani Israel. Dan jangan dilupakan bahawa Fir’aun memiliki isteri; Asiah yang bersifat penyayang kepada anak-anak. Asiah menyelamatkan Musa dalam istana daripada cengkaman Fir’aun.

Isteri Najib bersifat penyayang sehingga wujud program anak-anak dengan slogan ‘Setiap Anak Permata Negara’. Sikap ini ada pada Asiah, isteri Fir’aun yang penyayang dan berlawanan dengan sikap suaminya.

Maka, lengkaplah putaran sirah yang diwakili dua watak yang sama dalam masa berbeza. Analogi ini tentunya mengundang kemarahan pihak-pihak yang tersebut di atas. Saya pun tertanya-tanya, kenapakah pimpinan negara selalu menjadi mangsa kritikan maut dengan penulisan rakyatnya sendiri? Adakah sudah hilang hormat mereka terhadap pemimpin?

Jawapan yang bermain dan berlegar di batu jemala saya cuma satu. Iaitu, mereka itu anak muda yang bukannya pemimpin sejati. Mereka diangkat sebagai pemimpin hanya kerana bermodal nama bapanya dan menumpang kemasyhuran nenek moyangnya.

Maka, bagaimana mungkin kepemimpinan jenis ini akan dihormati rakyatnya sendiri?