Friday, September 7, 2007

Tidak salah wanita meminang lelaki


Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Julai (Hrkh) - Tidak cukup sekadar mengukirkan nama isteri Rasulullah saw, Khadijah Al-Khuwailid pada pasar besar di sini, semalam peranan tokoh besar Islam itu turut diseminarkan.

Seminar anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri mendapat sambutan menggalakkan, di mana lebih 1,000 peserta menghadirinya, biar pun program itu pertama kali diadakan.

Ia diadakan hasil ilham Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan termasuk berkaitan sosial dan kekeluargaan, dakwah dan kemasyarakatan serta ekonomi dan keusahawanan.

Manakala dua peserta yang bernama Khadijah termasuk isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datin Khadijah Abdul Hamid menerima hadiah yang disampaikan isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Fattah Mahmood berkata, seminar berkenaan diadakan bertujuan memberi pendedahan sebenar kehidupan keluarga Rasulullah saw bersama Khadijah.

Menurutnya, Menteri Besar tidak mahu umat Islam hanya mengetahui nama Khadijah sebagai tokoh wanita terulung dunia, namun tidak tahu peranannya sebagai wanita, isteri dan ibu.

“Kerana itu kita anjurkan program ini untuk menyuntik ilmu khususnya berkaitan aspek sosial dan kekeluargaan serikandi Islam terulung tersebut,” katanya ketika merasmikan seminar terbabit.

Tiga panelis yang memperkatakan peranan Siti Khatijah iaitu anggota Dewan Negara, Senator Mumtaz Mohd Nawi, Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dr Johari Mat dan Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Fadhilat Ismail.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan peserta adakah sesuai di zaman ini golongan wanita merisik kaum lelaki seperti pernah dilakukan Khadijah, Dr Johari berkata, golongan wanita harus melengkapkan diri dengan ilmu.

“Amatlah malang sekali sekiranya kita tidak berilmu, berakhlak mulia ingin meminang imam atau mereka berakhlak mulia,” katanya.

Menurutnya tidak ada masalah sekiranya ingin meneruskan hasrat tersebut sekarang, namun harus memperlengkapkan diri sekiranya berhajatkan lelaki idaman itu.

Fadhilat mengingatkan golongan usahawan khususnya kontraktor supaya amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana dilakukan Rasulullah saw.

Katanya, Rasulullah saw begitu amanah sehingga seluruh masyarakat di zaman baginda begitu mempercayainya

No comments: