Monday, August 27, 2007

Mahasiswa patut adu masalah kepada Canselor, Raja-raja Melayu

Oleh : Ahmad Albab (Harakahdaily)

Sekiranya mahasiswa sedar dan mengerti maksud sebenar ’Student Power’ atau kuasa mahasiswa, sudah tentu mereka akan menggunakan sepenuh kemampuan yang mereka miliki untuk membebaskan diri dan bangsa dari sebarang kezaliman dan ketidakadilan yang menimpa kelompok mereka hari ini.


Mahasiswa sudah tentu perlu mengumpul sebanyak mungkin ‘Support System’ yang bisa mendorong kejayaan perjuangan mereka.

Apakah belum sampai masanya lagi untuk mahasiswa mengadap dan mengadu hal kepada Majlis Raja-raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong? Majoriti mereka adalah canselor-canselor di universiti seluruh Malaysia.

Mana tahu mereka akan lebih memahami dan mengerti nasib yang sedang menimpa mahasiswa. Mana tahu mereka ini memiliki sifat kebapaan yang lebih terserlah berbanding mana-mana pegawai pengurusan tertinggi universiti. Mana tahu mereka akan memberi pembelaan dan simpati yang mendalam ke atas nasib ’anak-anak yatim’ yang menghuni menara gading ini.

Walaupun undang-undang rimba Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menyekat dan memasung kebebasan mahasiswa, namun harapan kepada Majlis Raja-raja Melayu tidak boleh dipandang enteng dan diremehkan.

Keperihatan dan kepedulian Duli-duli Yang Teramat Mulia Sultan seperti Raja Nazrin Shah baru-baru ini terhadap pelbagai isu semasa rakyat telah mengejutkan banyak pihak.

Bukankah jawatan Canselor merupakan tahta tertinggi di IPTA? Adakah suatu yang mustahil bagi Majlis Raja-raja Melayu untuk terlibat sebagai ‘Support System’ yang berpengaruh kepada mahasiswa suatu hari nanti?

Adakah wajar demonstrasi aman mahasiswa selepas ini akan menghala ke istana pula? Hanya mahasiswa yang akan menentukannya.

L Campurtangan Umno sudah melampau

Campurtangan dan penjajahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Umno dan Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TTNC HEP) ke atas mahasiswa sudah melampaui campurtangan dan penjajahan British ke atas rakyat di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Bukti mudah, British tidak pernah menyekat rakyat ketika itu untuk berdemonstrasi malah ’rapat umum’ dibenarkan.

Kesabaran anak-anak muda ada had dan batasnya. Makin diasak, makin memberontak. Walaupun ugutan dan amaran dari KPT untuk mengambil tindakan keras ke atas mahasiswa yang berdemonstarasi namun itu semua tidak dipedulikan lagi.

Alang-alang mandi biar basah! Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!

Baru-baru ini, mahasiswa secara nekad dan berani turun ke lapangan mengadakan demonstrasi aman di KPT dan Suhakam. Inilah keberanian yang membanggakan para pejuang islam, demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Suhakam memang berniat baik, cuba membantu, menjadi ’bapa angkat’ yang bertanggungjawab kepada mahasiswa. Namun mereka sendiri mengaku tidak berdaya membela mahasiswa. Pentadbiran kuku besi KPT sukar ditembusi.

Bayangkan semenjak tahun 2005 lagi, aduan demi aduan dipohon dari mahasiswa terutama menuntut Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bersih dan adil, namun hasilnya belum cukup memuaskan. Suhakam dilarang masuk ke dalam kampus untuk berperanan sebagai pemantau PRK. Taring Suhakam tidaklah setajam mana.

Penjelasan Dato’ Siva Subramaniam yang mewakili Suhakam bahawa pihak universiti tidak akan membenarkan parti Umno camputangan sepanjang berlangsungnya PRK adalah satu sandiwara dan janji palsu dari Umno dan pihak universiti. Sudah tentu sandiwara yang entah kali ke berapa ini akan menjadi bahan lelucon sesama mahasiswa.

”Sejak bila Umno boleh dipercayai bila berjanji dan sejak bila pula pihak universiti mula berani menyanggah arahan dari Umno?” Hujah salah seorang pimpinan mahasiswa. Bukti-bukti kukuh aktiviti-aktiviti dan pergerakan Umno di IPTA mutakhir ini menunjukkan penglibatan Umno dalam memenangkan calon Aspirasi Umno bukan satu rahsia lagi.

”Hapuskan mahasiswa yang tidak menyokong Umno!”

Sudah hampir tiga tahun berlalu dan begitulah sahaja kemampuan dan keterbatasan Suhakam, mahasiswa sebenarnya masih berpaut di dahan yang rapuh. Suhakam bukan lagi tempat mengadu yang berkesan. Namun tidak salah sekiranya mahasiswa meletakkan Suhakam sebagai salah satu rangkaian ’Support System’ bagi mengasak KPT dan Umno. Hubungan baik wajar diteruskan.

Tetapi Suhakam bukanlah satu-satunya tempat terakhir untuk menaikkan semangat dan momentum mahasiswa. Jika bukan Suhakam yang pedulikan mahasiswa, siapa lagi yang hendak diharapkan? Mahasiswa sebenarnya dibiar sendirian.

Hendak harapkan TTNC HEP diangkat sebagai ‘ayah kandung’ dan membela nasib mahasiswa? Jawabnya, jauh panggang dari api. Sejarah hubungan TTNC HEP dan mahasiswa akan dikenang tidak lebih dari ’haruan makan anak!’

”Apalah sangat sumbangan dan didikan yang telah diberi oleh TTNC HEP kepada anak-anak mahasiswa? Mahasiswa tidak lebih sekadar diternak bukan dididik. ’Nafkah’ PTPTN yang ’dialongkan’ kepada kita itu pun silap haribulan akan di akhiri dengan penjara!” Ungkap salah seorang mahsiswa dari Universiti Malaya.

Umum sudah mengetahui, TTNC HEP lebih mementingkan kuasa dan jawatan dari menjaga kebajikan mahasiswa. Sebagai kakitangan kerajaan bertaraf profesional dan berintegriti, mereka sempat melakukan kerja part time sebagai ’pelacur kelas atasan’ kepada Umno dan budak-budak hingusan putera dan dan puteri Umno.

Misi dan tugas utama yang diarahkan Umno kepada TTNC HEP mudah sahaja: ”Hapuskan mahasiswa yang tidak menyokong Umno!” Mereka lebih rela bersengkang mata hingga jauh malam mengabaikan tugas hakiki sebagai TTNC HEP. Inilah penjajahan paling hina. Menjajah anak bangsa sendiri dari kebebasan dan kemerdekaan.

TTNC HEP perlu ingat, seganas-ganas Razali Agus mantan TTNC HEP Universiti Malaya menjilat Umno, akhirnya dihumban terperosok di Kolej swasta UNISEL juga.

”Mungkin itulah ’hadiah lumayan’ kepadanya yang bekerja keras siang dan malam membantu memenangkan calon MIC semasa pilihan raya kecil di Ijok baru-baru ini. Kebetulan pulak Kolej swasta UNISEL berada di kawasan DUN Ijok.” Sindir seorang bekas TTNC HEP yang pernah terlibat menyokong MIC dalam pilihanraya kecil Ijok itu.

Mahasiswa perlu bangkit seperti harimau luka

Mungkinkah selepas ini Duli-duli Yang Teramat Mulia Sultan dan Yang Dipertuan Agong akan berada di sisi membela dan bisa menjadi ’ayah’ yang penyayang kepada para mahasiswa? Dan sekiranya Duli Yang Teramat Mulia Sultan dan Yang dipertuan Agung pun tidak juga ambil peduli nasib mahasiswa hari ini.

Percayalah, wahai para mahasiswa! Kamu semua tiada pilihan lain melainkan bangkit seperti harimau luka yang bakal sembuh dengan sendiri tanpa mengharapkan penawar dan ihsan dari mana-mana pihak!

Bukankah Rasulullah saw juga adalah anak yatim piatu? Hidupnya sendirian namun baginda berjaya membuka lembaran sejarah perjuangan membebaskan manusia dari penjajahan sesama manusia kepada penyembahan hanya kepada Allah yang satu. Perjuangan yang tiada tolok bandingnya.


Perjuangan ini di tangan kamu! Di tangan kamu sahaja!

Lawan tetap lawan! Allah tetap bersamamu!

No comments: