Monday, August 6, 2007

Pilihan Raya Kampus : Aspirasi Mahasiswa vs Aspirasi Umno

Jika disingkap sedikit sejarah lama, gelanggang Pilihanraya Kampus (PRK) 2006 telah dibuka tirainya apabila sebuah akhbar tabloid KOSMO telah mengumumkan “Kabinet Majlis Perwakilan Pelajar Dibubar!” di muka hadapannya.

Pihak media memainkan peranan untuk menyuntik kembali ruh PRK dengan memainkan beberapa sentimen pelabelan terhadap mahasiswa termasuklah akhbar 'Mahasiswa Api Perjuangan' siri 32/2006 yang melaporkan, Aspirasi : 18, Pembangkang :0!!

Universiti merupakan satu platform penjanaan minda yang bebas, pembinaan daya intelektual, pembentukan jatidiri kepimpinan dan sebagai satu garapan untuk melahirkan negarawan yang disegani satu hari nanti.

Jangan manipulasikan PRK

Justeru, PRK dilihat sebagai satu latihan kepimpinan dan sendi demokrasi yang tidak harus dijadikan sebagai alat manipulasi pihak-pihaktertentu sehingga mencacatkan konsep asas pilihan raya tersebut.

Perjalanan PRK beberapa siri yang lalu jelas menguburkan prinsip demokrasi yang murni.

Pada tahun ini, komuniti mahasiswa juga dapat merasakan suasana kegentingan apabila semester ini merupakan semester PRK. Suasananya yang agak rancak jika dibandingkan pada setahun dua yang lalu apabila tahun ini juga bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke12.

Sudah pasti aktivis-aktivis mahasiswa berpencak di gelanggang yang hampir sama cuma aktor-aktor politik yang berbeza. Jika teorinya, parti Umno inginkan keselesaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke12, sudah pasti PRK juga menjadi satu tumpuan yang penting untuk mengukur kekuatan sokongan kepada mereka.

Pertembungan agresif

Pertembungan pada kali ini agak agresif. Jika dulu hanya parti-parti mahasiswa yang bertanding, tapi pada kali ini mungkin tidak. Pertama, pihak pentadbiran tidak membenarkan bertanding di atas tiket pakatan atau parti.

Kedua, sebab aspirasi mahasiswa akan bersabung nyawa dengan aspirasi Umno. Bukan hanya mahasiswa Umno (proksi Umno di kampus), tapi bapak-bapak pentadbiran universiti juga secara terang-terangan mengikut kiblat dan petunjuk Umno untuk memenangkan balaci-balaci Umno di kampus.

Siapa yang mahu bertanggungjawab sekiranya aspirasi mahasiswa mendedahkan beberapa siri komplot persidangan di antara Timbalan-Timbalan Naib Cancelor IPTA dan pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar bersama pemuda mahupun puteri Umno untuk menjatuhkan dan menyekat kemaraan aspirasi mahasiswa di universiti masing-masing?

Balaci tahu bila PRK

Siapa juga yang sudi untuk menjawab persoalan ini sekiranya 'balaci-balaci' ini terlebih dahulu mengetahui tarikh PRK 2007 kerana mereka telah bersidang bersama wakil Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan seluruh jentera aspirasi Umno di seluruh IPTA? Ini secara jelas dan zahir.

Apa lagi yang terselindung disebalik fail-fail merah dan akaun simpanan?Ini bukan soal menghidupkan dan memurnikan demokrasi lagi, tapi iasoal kredibiliti dan maruah parti Umno, TNC dan HEP.

Kalaulah ini medan permainannya, pemain-pemain juga sudah tahu siapa yang akan menang dan kalah, apakah nama bagi permainan ini? PRK yang sepatutnya dijadikan platform penajaman skil kepimpinan akhirnya menjadi taruhan nafsu parti tertentu.

Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mencabar pihak-pihak yang berautoriti untuk menghapuskan sistem-sistem yang tidak masuk akal dan janggal untuk berhadapan dengan PRK 2007.

Suruhanjaya PRK mestilah bersih dari campur tangan Timbalan Naib Cancelor dan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang nyata diragui ketelusannya dalam mengurus tadbir pentadbirannya.

Hapuskan sistem yang menghalang

Gamis juga berharap sistem yang diguna pakai di UIAM sejak dua tahun yang lalu iaitu sistem 'public speaking' dan sesi temu duga kepada bakalcalon juga mestilah dihapuskan.

Pihak Gamis merasakan bahawa PRK merupakan satu-satunya kaedah yang terbaik untuk memanifestasikan keluhuran akademik dan disiplin mahasiswa untuk mempamerkan bakat kepimpinan disamping menonjolkan sikap negarawan yang disegani

Oleh : Ahmad Fawwaz Abdul Aziz

No comments: