Monday, August 27, 2007

PENTING : Asak program hiburan untuk matikan DAYA JUANG MAHASISWA

Kerajaan BN sengaja memperbanyakkan program hiburan di kampus-kampus bagi mematikan semangat dan daya juang mahasiswa, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia mengulas program Konsert 8TV Youth Tour yang dirangka untuk seluruh IPTA dan ia bermula di Universiti Teknologi Petronas, sempena program prapesta konvo, bermula pada 12 tengahari hingga 7 malam, pada 22 Ogos lalu.

Sebelum ini program Gegar U yang disokong kuat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga diisi dengan program hiburan selama 50 jam tanpa henti, sebagai simbolik kepada perayaan 50 tahun kemerdekaan.

Malah, menjadi fenomena biasa di kampus-kampus apabila program konsert hiburan menjadi agenda tetap dalam hampir setiap majlis yang dianjurkan, termasuk pesta-pesta konvokesyen.

Sedangkan program yang mencabar minda dan daya intelektual mahasiswa begitu sukar untuk diluluskan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP).

"Program hiburan secara keterlaluan ini ibarat sisa toksid yang hanya melemahkan lagi kewibawaan dan keperibadian mahasiswa," ujar Ustaz Idris.

"Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamad kecewa kerana ramai mahasiswa tidak mempunyai pengetahuan umum tetapi pada masa sama kementeriannya meneruskan penganjuran program budaya sisa toksid yang tidak membangunkan minda anak muda kita," tambahnya lagi.

Bagi Ahmad Lutfi Othman, bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sesi 1985/86, kemunculan program konsert dan hiburan melampau di kampus-kampus kini bak cendawan tumbuh selepas hujan memang sengaja dirancang oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi menumpulkan kepekaan mahasiswa terhadap isu-isu di sekitar mereka.

"Apa pun, mahasiswa yang prihatin tidak boleh mengalah. Setiap cabaran harus didepani dengan serius dan kreatif. Golongan mahasiswa awal 70-an, yang pernah menggegarkan negara, turut dibuai program hiburan, malah mungkin lebih dahsyat lagi, tetapi mereka tetap sensitif dengan isu-isu masyarakat, problem negara malah krisis yang melanda dunia," kata Lutfi.

"Beberapa aksi protes mahasiswa kini, misalnya terhadap proses pilihan raya kampus yang dijalankan secara berat sebelah, di KPT, Suhakam dan UKM baru-baru ini, menunjukkan masih ramai yang berani," tambah Lutfi, yang juga merupakan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah.

No comments: