Tuesday, July 24, 2007

Bertekad Untuk Menang



Merakyat perjuangan melalui fokus menjadi "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" adalah satu agenda yang paling banyak menarik perhatian dan minat saya. Fokus yang dicernakan dalam sidang muktamar baru-baru ini oleh YB Salahudin sememangnya suatu fokus yang patut diagendakan dalam gerakerja jemaah. Meliputi ruang lingkup dakwah beserta medan siasah, title "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang" ini sebenarnya bukanlah suatu kerja yang mudah, bahkan ia menuntut lebih banyak komitmen.

Bercakap soal dakwah ini, saya tertarik untuk memetik sedikit kandungan buku "Jalan ke Hati" karangan al-Ustaz Abbas Assisi, "Para pendakwah hari ini perlu ada kepintaran dan ilmu pengetahuan yang tinggi untuk berhadapan dengan masyarakat manusia yang semakin hari semakin bijak. Cabaran sengit itu sepatutnya menjadi pendorong yang kuat kepada setiap individu muslim yang mahu menjalankan dakwah agar bunga-bunga keberhasilan dari dipetik dan dihiaskan di persada dunia. Walau apa cara sekalipun yang digunakan namun setiap usaha dakwah yang dilakukan itu tidak akan berjaya dengan sempurna jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan kepasrahan kepada Tuhan Yang Maha Esa"

Manakala kisah sahabat dalam membela Islam dan Nabi SAW pula boleh dilihat dalam persitiwa pengIslaman Hamzah bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi SAW. Yang mana sewaktu beliau baru pulang dari berburu tiba-tiba ada orang memberitahunya: "Abu Jahal mengutuk anak saudaramu Muhammad semasa baginda sedang duduk di tepi Kaabah" Beliau terus pergi ke Kaabah lalu mencekup kepala Abu Jahal dan berkata:"Bagaimana kamu berani mengutuk Muhammad sedangkan aku berada di pihak agamanya?. Kemudian beliau pun berkata: "Aku masuk Islam"

Bertekad untuk menang memerlukan komitmen yang tinggi dan juga strategi yang ulung. Yang penting ialah kita terus bekerja dan bekerja untuk kemenangan Islam. Bekerja bukan sebarang kerja, tapi seperti yang disebut, bekerja dengan strategi yang ulung, kerana kita bertekad untuk menang. Yakinlah di akhirat kelak, Allah tidak akan menyoal mengapa kita tidak menang-menang, kerana urusan kemenangan itu semuanya milik Allah, tapi Allah akan bertanya mengapa kita tidak berjuang, mengapa kita tidak bekerja untuk mencapai kemenangan tersebut.

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu" (Muhammad:7)
Ini pula pesan yang cukup membekas daripada Al-Fadhil Ustaz Nasharuddin Mat Isa tatkala mengungkap ayat di atas dalam satu liqa' baru-baru ini. Ayat motivasi untuk para amilin dan murabitun supaya memahami maksud sebenar ayat ini di mana agama Allah ini tidak perlukan kita untuk menolongnya, kerana Allah yang memelihara agamanya...akan tetapi untuk kita sebagai hamba yang lemah ini ditolong Allah, maka wajiblah untuk kita terus menolong agama Allah...Wallahu A'lam

Moga Allah rahmati dan maqbulkan tekad kami untuk menang....

No comments: