Tuesday, July 24, 2007

Teori Yang Tidak Benar


Masih ku ingat dengan jelas kata-kata nuqoba' ku sewaktu menjadi naqib kami di kampus dahulu, " Kita perlu bina individu muslim dahulu, kemudian baitul muslim, dan setelah itu semua keluarga-keluarga muslim ini bersatu menjadi mujtama' (masyarakat) muslim. Kemudian kita wujudkan daulah islamiah dan akhirnya apabila semua negara-negara Islam bersatu, kita akan tubuhkan semula khalifah Islamiah"

Walaupun sudah 5 tahun berlalu dari saat itu, namun wajah mereka yang tidak jemu-jemu mentarbiah kami masih segar diingatan. Pada waktu itu, aku berada pada tahun kedua pengajian di kampus dan baru berjinak-jinak dengan aktiviti usrah di kampus. Ku rindukan saat itu.

Individu Muslim-Baitul Muslim-Mujtama’ Muslim-Daulah Islamiah-Khalifah Islamiah

Ini teori yang kita semua dalam harakah Islamiah fahami dalam mewujudkan semula sistem Khalifah Islamiah yang telahpun hancur musnah pada tanggal 1924 masehi. Sama ada sewaktu aku mengikuti usrah, teori ini amat masyhur sekali.


Apa yang pastinya adalah, bermula dengan marhalah pertama iaitu dengan pembinaan individu muslim, suatu bentuk penegasan perlu dilakukan. Membina individu muslim bukan bermakna kita hanya berjaya membawa diri kita ataupun mad’u kita bersama-sama mengitima’kan (menggabungkan) diri bersama jemaah Islam dan melakukan semua gerak kerjanya semata-mata. Akan tetapi, negara Islam perlulah terlebih dahulu dibina dengan kukuh di dalam hati kita dan sahabat-sahabat seperjuangan.

Tiada hebatnya bagi seorang pejuang Islam yang sibuk ke hulu ke hilir, bergolok gadai berjuang dan sebagainya jika Islam tidak subur di hati mereka sendiri. Negara Islam dengan segala bentuk syariatnya, keindahan akhlaknya, dan kemurnian budinya tidak terbina di hati.

Bermakna, suburkan dahulu Islam di hati dan dalam masa yang sama berjuang bersama-sama dalam gerakan Islam. Berjuang dalam jemaah sama seperti menunggang basikal, jika kita menaikinya, maka kita perlu mengayuh. Jika tidak kita akan terjatuh. Begitu juga apabila bekerja bersama jemaah Islam. Sekali kita melangkah menyertai perjuangan suci ini, maka kita perlu “mengayuh” iaitu bergerak kerja, jika tidak kita akan tercicir di jalan dakwah.


Marhalah Kedua Sedikit Bermasalah

Baitul Muslim menjadi peringkat kedua yang perlu dilalui oleh pejuang Islam. Malahan ramai yang tidak sabar-sabar untuk melaluinya. Aku tidak pasti sama ada mereka merasa seronok dan excited untuk melaluinya atas kesedaran bahawa ianya adalah marhalah perjuangan Islam kita ataupun hanya semata-mata berasaskan nafsu homo ludens sahaja sama seperti orang lain yang tidak berfikrah sebagai pejuang.

Namun, apa yang pastinya adalah ramai pejuang yang menjadi kendur dan lemah semangat juangnya setelah mendirikan baitul muslim. Jika sebelum ini, ramai amilin yang tercicir setelah menamatkan pengajian di kampus, maka fenomena tercicir daripada medan dakwah setelah berumahtangga menambahkan lagi kegusaran kita semua.

Entah apa sebabnya sehinggakan ramai yang berkahwin sesama ahli jemaah yang hebat daya juangnya di kampus dahulu pun, mulai menghilang setelah berumahtangga. Ya, mungkin tidak adil untuk orang bujang sepertiku mengulas mengenai perkara ini. Namun, ianya adalah fakta yang perlu difikirkan.

Sepotong ayat ini mungkin berguna untuk membuatkan kita berfikir sejenak;

Surat At Taubah - Ayat 24 :

Katakanlah: "jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari ber-jihad di jalan-Nya , maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan NYA". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Bagaimana Mahu Menerbitkan Masyarakat Muslim?

Selalunya, sahabat-sahabat yang baru berkahwin ini akan secara perlahan-lahan mengurangkan momentum dalam gerak kerja. Mungkin kerana mereka telah memikul tanggungjawab yang lebih besar saat itu, maka masa dan tenaga untuk jemaah akan berkurangan.

Mereka perlu menanggung makan-minum, perumahan, belanja harian, anak-anak dan sebagainya. Mereka memerlukan masa untuk menstabilkan kembali hidup mereka dan menyesuaikan keadaan hidup baru ini dengan tuntutan dakwah dan gerak kerja Islam. Perkara ini normal dan perlu kita semua fahami bahawa ianya adalah fitrah bagi insan yang mulai berumahtangga.

Persoalannya, berapa lama perlu diambil masa supaya kita kembali stabil? Berapa lama perlu kita habiskan masa supaya kita boleh kembali memperjuangkan agama Islam dengan sepenuh hati?

Permasalahannya adalah ramai yang mengambil masa terlalu lama untuk mengadaptasikan keadaan hidup baru mereka dengan gerak kerja Islam.
Sehinggakan ada yang terus menghilang tanpa khabar berita setelah berkahwin. Kita semakin kehilangan amilin.

Lantas, bagaimana untuk mewujudkan mujtama’ muslim jika ramai antara pejuang kita yang menghilang setelah menubuhkan baitul muslim?

Tidak semua begitu

Ya, memang benar bahawa tidak semua pejuang Islam bermasalah setelah menubuhkan baitul muslim. Malahan ramai yang berjuang dan berkorban dengan lebih hebat setelah berumahtangga kerana mereka mulai memiliki sayap kiri dan tulang belakang yang kuat untuk membantu mereka, dan itulah isteri.

Cumanya, bilangan yang ‘tersesat’ setelah berumahtanga tidak kurang banyaknya. Lantas, perlu dicari formula dan cara untuk mengembalikan semula mereka yang tersesat itu ke pangkal jalan dan matlamat asal pernikahan mereka. Juga, suatu bentuk pencegahan perlu dilakukan agar persoalan ini tidak akan berulang.

Bagaimana ingin menggunakan teori individu muslim--khalifah Islamiah ini jika di marhalah kedua pun sudah ramai yang tersungkur???? Jika beginilah sifirnya, maka teori ini tidak akan terpakai untuk kita.....

No comments: