Saturday, July 28, 2007

Kolokium Kemerdekaan: Mahasiswa kesal UIA bersekongkol bersama Umno-BN


Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kesal dengan sikap pentadbiran universiti yang mencampurkan agenda politik kepartian dengan program universiti berkenaan.

Terbaru pihak We Unite For Islam (Wufi) melahirkan rasa kekesalan terhadap pihak pentadbiran UIAM di atas penganjuran program Kolokium Kemerdekaan Malaysia Ke-50 pada Sabtu 21hb Julai di Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM yang bertemakan ‘Cabaran Masa Depan’.

Menurut Jurucakap Wufi, Ahmad Fawwaz Abdul Aziz, kolokium ini dianggap penting kerana ia dapat menghidupkan semangat patriotik di kalangan mahasiswa dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang sanggup mengerah keringat dan bersabung nyawa untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British.

"Sebagai institusi pendidikan akademik ia seharusnya membincangkan perkara ini dengan rasa terbuka dan diolah daripada perspektif intelektual tanpa dicampuri dengan agenda politik kepartian," ujarnya dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada Harakahdaily.

Ini kerana pihak Wufi melihat, pihak pentadbiran UIAM sudah semakin lunak dengan menampilkan program-program hasil kerjasama dengan UMNO secara jelas.

Walaupun pihak kerajaan ingin memberikan penerangan soal kenegaraan, agenda negara, isu ekonomi dan sosial ia mestilah menggunakan locus standi sebagai jentera atau mekanisme kerajaan bukannya agen parti.

"Sebagai contoh program Kelab Wawasan, Forum Cinta, pada semester satu yang lalu telah menampilkan salah seorang exco Puteri Umno. Begitu juga dengan program kolokium pada kali ini juga adalah hasil kolobrasi UIAM, IIUM Holdings, Mubarak dan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC)," demikian kenyataan tersebut.

Pihak Wufi merasakan ‘trendy’ yang digunakan oleh pihak Umno dan Barisan Nasional adalah dengan mengadakan kerjasama program dengan proksi-proksi mereka di universiti-universiti seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kelab Wawasan untuk meluaskan pengaruh dan agenda doktrinisasi mereka kepada mahasiswa.

Di samping itu, pihak tersebut ujar Fawwaz turut mewakilkan beberapa pimpinan parti untuk berucap dan menjadi panelis forum dalam program mahasiswa sepertimana yang dihadiri oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika program Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA pada 9 hingga 11 Julai yang lalu.

Pihak WUFI juga telah mengadakan perbincangan bersama beberapa front mahasiswa yang lain di UIAM ini antaranya ialah Briged Hizbi, Free Students Front dan Siswa Merdeka untuk memelihara Taman Ilmu dan Budi ini daripada dicengkam dan diperkudakan oleh Umno.

Tambahan pula, pihak WUFI ingin menekankan bahawa kolokium ini satu pendekatan yang terbaik untuk menanamkan rasa cintakan negara sepertimana Rasulullah SAW juga cinta terhadap negera kelahiran baginda, Makkah Mukarramah.

Bahkan menurut Wufi, Timbalan Rektor, Ustaz Hamidon Abdul Hamid juga telah mengeluarkan notis pekeliling untuk mewajibkan semua mahasiswa UIAM tahun satu untuk menghadiri kolokium tersebut

Petikan dari : Harakahdaily

No comments: