Thursday, July 26, 2007

Coretan Sebuah Permulaan Jalan Kehidupan

Assalamualaikum. Ceritera ini sekadar secoret bingkisan di celahan mehnah hidup yang pernah ku lalui.

Masih segar di dalam ingatan, ku dihantar jauh nun meninggalkan keluarga yang tersayang. Jauh di sebuah negeri yang dikenali dengan Negeri Tadahan Wahyu. Dijauhkan daripada keluarga yang sememangnya memberi seribu kepedihan. Hatiku ibarat dihiris-hiris. Seringkali ku tertanya sendirian, kenapa aku dihantar sebegini jauh. Adakah aku ada melakukan dosa yang besar kepada keluarga. Seribu satu jawapan bermain di minda kerdilku ini.

Setibanya aku di sebuah sekolah, dapat ku saksikan wajah-wajah sugul, mungkin mengalami situasi yang sama, dihantar oleh keluarga masing-masing. Masih teringat, terdapat sebuah papan besar yang agak daif bertulisan jawi. Ku cuba membacanya berdasarkan sedikit ilmu yang telah digarap oleh abah dan mama. “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum”. Ku yakin ini ialah sebuah sekolah agama kerana jarang dapat ku lihat tulisan seperi itu di sekolah-sekolah yang pernah ku duduki sebelum ini.

Ku ditempatkan di sebuah bilik yang terpaksa dikongsi bersama 19 orang pelajar lain. Sekali lagi ku tersentak, adakah ini tempat tidurku yang akan ku diami selama setahun. Tiada kipas, tiada itu, tiada ini. Serba serbi tidak kena dengan jiwaku. Ku inginkan katil tebalku. Ku inginkan kipas yang laju. Sememangnya berlainan dengan kehidupanku bersama keluarga sedari kecil sehingga berusia 12 tahun. Ku hanya memikirkan untuk bermain, belajar dan mengikut kemana sahaja ayah dan ibu pergi, samada mesyuarat atau kuliah. Apatah lagi jika mereka pergi melancong. Ku pasti tidak ketinggalan. Ku dijaga dan diasuh seperti kanak-kanak biasa yang lain. Ke sekolah kebangsaan dipagi hari, ke sekolah agama rakyat di petang hari. Namun kini tiada lagi. Ku memulakan kehidupan baru dengan serba serbi yang baru. Tempat penginapan yang baru, teman baru, dan abang baru yakni ketua bilikku.

Kesekian harinya, bermulalah kisah hidupku yang baru dimana ku mula diajar dan dididik mengenai asas-asas dalam akidah, akhlak, ibadah dan juga kepimpinan. Tidak lupa juga dengan pelajaran-pelajaran yg biasa seperti pelajar-pelajar lain. Cuma kami mendapat layanan khas dari abang-abang senior. Sekali lagi perkataan Usrah ku dengari. Kali ini lebih acap kali disebut-sebut oleh abang seniorku yang juga dikenali sebagai naqibku. Ku pernah dengar perkataan Usrah seawal ku berusia 6 tahun. Kerana ayahku juga merupakan naqib kepada sahabat-sahabatnya di kawasan taman perumahan. Tetapi disini dan di sekolah tercinta ini kami diajar secara intensif dimana kami terpaksa menghadam semuanya secara konsisten. Di sini juga aku diperkenalkan dengan tazkirah yang perlu didengar dan disalin tiga kali setiap hari, bacaan Al-Mathurat dan macam-macam lagi. Tidak ketinggalan juga pengalaman berqiyamulail secara beramai-ramai bersama teman-teman. Penah ku mempersoalkan, kenapa perlu ku salin tazkirah, bukankah hanya mendengar, ilmu akan datang dengan lebih jelas. Tanpa ku sedari, aku juga seorang yang mudah lupa seperti manusia biasa. Namun apakan daya, ku gagahkan diri menuruti apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh abang-abang naqib atau lebih dikenali sebagai ahli tanzim BADAR, Badan Dakwah dan Rohani.

Setelah kami didik dan diasuh dengan pelbagai ilmu-ilmu secara teori, kami terpaksa memperaktikkannya secara total. Bukan sahaja didalam kehidupan harian di sekolah, malah perlu kami praktikkan juga di dalam tamrin. Apa itu tamrin ?.Inilah pertama kali ku dperkenalkan dengan istilah tamrin. Apa itu tamrin sebenarnya ?, Ku tertanya sendirian. Melihat kepada peralatan yang hendak dibawa dikala ku mempersiapkan diri, ku sangkakan ia adalah sekadar perkelahan dan santai. Tetapi, sakaanku meleset sama sekali. Ia tidak seindah perkelahan. Lebih senang ku gelarkan sebagai kem tentera. Ingin sahaja ku memberontak. Kenapa setiap pergerakanku di kecam oleh abang-abang senior. Mungkin ada salah silapnya. Mungkin mereka sengaja. Masih segar diingatanku, ketika ku berusia 14 tahun. Di dalam sebuah tamrin, ku disoal mengenai rukun-rukun usrah. Ku gagal menjawab secara tepat kerana takutkan abang-abang senior yang garang. Menyebabkan ku bertukar turutan antara Takaful dan Tafahum. Satu kilasan tepat pada kakiku dirasai. Secara separuh sedar, ku sudah terbaring diatas tanah. Memang jika ku ikutkan hati ini, inginku meminta ayah dan ibu mengeluarkanku dari sekolah ini. Tempat yang ku rasakan tidak sesuai untuk mendidik bakal pimpinan negara. Padahal, ia hanya coretan hatiku yang serba kekurangan dari segi ilmu, tarbiyyah dan akhlak.

Tanpa kusedar, usiaku sudah menggapai usia 17 tahun. Aku diamanahkan untuk menjaga adik-adik Tingkatan Satu dimana aku ditaklifkan sebagai seorang Ketua Bilik. Bertapa ku merasakan amat sukar dalam mendidik mereka. Seringkali ku terfikir bagaimana ketabahan dan kepedihan abang-abang senior mendidikku. Ku mula memahami kenapa mereka kadangkala bertindak kasar. Ku juga mula memahami mengapa kami dipaksa menulis dan menyalin tazkirah yang disampaikan oleh Muzakkir. Juga ku memahami mengapa ku diterajang kerana tidak dapat menjawab soalan dengan tepat.

“Never Crash Under Pressure”. Ku mula memahami apa perkaitan ungkapan ini dengan segala yang ku lalui sebermula dari dihantar oleh ayah dan ibu. Bukan niat abang-abang senior untuk melukakan hatiku. Bukan niat mereka untuk mempermainkanku. Ku memahami niat ikhlas dan suci mereka yakni semata-mata hendak mentarbiyah diriku yang serba kekurangan. Mereka berjaya mengubah secara langsung hidupku. Daripada seorang yang hanya mahukan kesenangan kepada seorang yang merindui kesusahan. Mereka telah mengubahku secara keseluruhan. Ku mula memahami anjakan paradigma yang dilakukan oleh abang-abang senior ke atas diriku. Ku kini bukan lagi seorang yang mudah menangis. Ku bukan lagi seorang yang takutkan tamrin. Ku bukan lagi sekadar anak-anak usrah yang mendengar usrah dari naqib. Ku telah menyedari istilah “Rela Dipimpin Untuk Memimpin”.

Ku juga memahami tujuan ku dihantar jauh dari keluarga. Ku memahami kesedihan ayah dan ibu tatkala berjauhan denganku. Tetapi dapat kurasakan ketabahan mereka yang secara tidak langsung membentukku dari jauh untuk menjadi seorang pemimpin kepada adik-adikku, pemimpin kepada keluarga dan seterusnya. Bukan kerana mereka benci padaku. Bukan juga kerana sengaja membiarkanku berjauhan. Ku mengerti akhirnya. Ku perlu mengenali dunia luar. Ku perlu menyelami kehidupan orang lain. Ku perlu belajar berkomunikasi. Bukan sahaja secara terus, malah secara dari hati ke hati. Dan akhirnya teknik komunikasi yang kedua tersebut menjadi salah satu dari kepakaranku. Ku mengaplikasikannya dalam mendidik adik-adik sebilik dibawah jagaannku. Ku mempelajari bagaimana memahami perasaan adik-adik yang mempunyai pemikiran yang mungkin lebih rendah dari kita dek kemudaan usianya. Selama setahun. Ku dapat merasakan kasih sayang antara kami amat erat. Menggantikan adik-adikku yang jauh nun di pertengahan Semenanjung.

Dan kini, ku hanya membilang minggu untuk menamatkan pengajianku di menara gading. Ku berterima kasih kepada ayah dan ibu kerana mendidikku secara berterusan. Ku berterima kasih kepada abang-abang senior kerana mengajarku erti kehidupan sebagai seorang lelaki, juga sebagai abang kepada adik-adik, juga sebagai anak kepada ayah dan ibu. Ku berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sama-sama mengharungi perjuangan ini. Perjuangan yang menjanjikan seribu satu masalah dan mehnah. Namun, semakin kuat mehnah, semakin erat ikatan antara kita. Semoga dengan sedikit sebanyak apa yang kuceritakan ini, dapat mengembalikan kenangan-kenangan terindah yang menyatukan kita semua.

Jazakallahu Khairann Katheera

No comments: