Tuesday, July 24, 2007

Mahasiswa Aset Peradaban Negara

Oleh : Mior Isfandy Mior Azizan merupakan Presiden, Persatuan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)

Saya menulis artikel ringkas ini kerana beberapa sebab. Pertama, saya menulis atas dasar ingin memetik suis kesedaran dalam diri saya dan juga saya ingin seluruh mahasiswa khususnya Mahasiswa Pengajian Islam turut sama menghayati ruh artikel ini. Kedua, saya menulis artikel ini kerana saya ingin merasai bahang kewujudan mahasiswa yang menuntut di bumi Malaysia. Ketiga, saya ingin menyeru kepada insan yang bergelar mahasiswa seharusnya menjadi jurubicara dan prime mover kepada masyarakat majmuk di negara kita.


Tradisi menuntut ilmu di menara gading bukanlah suatu yang harus dibanggakan sekiranya mahasiswa yang berada di dalamnya tidak mampu menyumbang kepada peradaban manusia dan negara. Saya melihat sikap diri saya dan segelintir mahasiswa yang tidak lagi menghargai dan menilai apakah erti ilmu yang sebenarnya. Niat menuntut ilmu hanya sekadar mendapat segulung ijazah. Namun, aplikasinya cukup menyedihkan. Saya tidak menyalahkan sistem peperiksaan setiap semester, mungkin kerana adanya peperiksaan itu, barulah mahasiswa sedar apa yang dipelajarinya selama ini. Mungkin kerana adanya peperiksaan itu, barulah mahasiswa akan sentiasa hadir ke kuliah dan menghantar course worknya. Inilah doktrin yang didakyahkan oleh beberapa pihak untuk melihat kelesuan pemikiran dan penghayatan terhadap nilai ilmu. Hakikatnya, tuntutan ilmu bukan hanya disempurnakan di atas kertas peperiksaan.

Saya merasa amat sedih sekiranya ilmu itu hanya dicari dengan hanya menghafal setiap butiran kalimah di dalam kitab-kitab turath dan buku teks rujukan tanpa mengamalkannya. Saya merasa amat sedih sekiranya kita sebagai mahasiswa sudah tidak mempraktikkan budaya menganalisa, membaca zuruf sosio-politik masyarakat dan mengislamikasikan setiap tindakan atau perkara yang dilakukan. Saya masih lagi ingat pesanan daripada salah seorang pakar analisis di negara kita. Beliau mengatakan, mahasiswa harus mempunyai tiga elemen sebagai nilai tambah dalam diri mereka iaitu ilmu, akhlak atau syakhsiyyah dan sikap enterprizing.

Apa yang dikatakan dengan enterprizing? Ia adalah sikap membumikan jatidiri dan nilai mahasiswa bersama masyarakat. Mahasiswa sewajarnya melakukan engagement di dalam masyarakat. Sekiranya kita memerhatikan keadaan masyarakat Malaysia pada hari ini, rata-rata pihak mengeluh dan bimbang memikirkan prinsip agama yang sudah dipinggirkan dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh terlalu menundingkan kesemua jari jemari kita menyalahkan mereka, tetapi kita harus berfikir sejenak, apakah sumbangan kita dalam usaha membantu dan membimbing mereka ke arah jalan yang sepatutnya? Jangan terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sehingga mengabaikan tanggungjawab membina masyarakat dan negara. Amanah ini sewajarnya dipikul oleh seluruh mahasiswa khususnya Mahasiswa Pengajian Islam kerana halatuju negara, kesuburan Islam dan moral masyarakat terbeban di atas pundak kita satu hari nanti.

Seterusnya, mahasiswa di Malaysia ini mestilah terkehadapan, bukan hanya di menara gading, tetapi turun bersama dengan masyarakat. Kita mengharapkan terutamanya kepada pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya dapat memberikan laluan dan galakan kepada mahasiswa untuk sentiasa menyumbangkan bakti kepada agama, masyarakat dan negara. Bukan niat kita untuk menyingkap sejarah mahasiswa pada zaman 70-an yang kononnya menimbulkan huru hara kepada negara tetapi kita perlu membuktikan bahawa negara kita pada hari ini memerlukan sumbangan idea, tenaga dan masa daripada mahasiswa untuk menjadi penggerak kepada masyarakat.

Saya merasa terpukul untuk menyeru Mahasiswa Pengajian Islam kerana saya optimis bahawa mereka akan menjadi “somebody” dalam masyarakat nanti bukannya “anybody”. Oleh itu, bermula pada saat ini seluruh Mahasiswa Pengajian Islam di Malaysia seharusnya berfikir secara kritis, inovatif, idealistik dan praktikal. Ilmu yang dipelajari dari warisan Rasulullah SAW itu bukan untuk dijadikan muzium dalam diri tetapi untuk dikongsi dan dirasai oleh seluruh masyarakat Muslim mahupun non-Muslim.

Wallahu ‘alam.

No comments: