Wednesday, July 25, 2007

ERTI MENOLAK POKOK

“Satu, dua, tiga, tolaaaak!!!. Satu, dua, tiga, tolaaaak!!!” begitu lebih kurang bunyinya ayat yang kami sebut beberapa tahun lepas sewaktu berprogram. Memang modul yang meminta para peserta menolak pokok ataupun bangunan sehingga tumbang, sering dilaksanakan oleh para pemodul dalam program peringkat kampus.

Dan , sepanjang ingatan aku sewaktu menjadi pelajar kampus dahulu, aku melalui modul ini dalam empat hingga ke lima kali tanpa memahami apa tujuannya kami berbuat demikian. Menolak pokok kelapa sawit di malam hari dengan harapan untuk menumbangkannya cukup membuatkan akalku tersungkur.

Aku cukup bosan apabila disuruh untuk menolak pokok sehingga tumbang dalam program-program kampus. Para pemodul tidak menerangkan dengan jelas kenapa kami disuruh menolak pokok ini. Nafas tidak cukup dan tersekat-sekat, badan bermandi peluh, urat saraf lenguh lumpuh dan bibir yang lemah akibat dipaksa untuk berzikir secara kuat sewaktu menolak pokok. Bingung. Kami bingung saat itu.

Husnu Al-Thiqah Billah

Namun, setelah aku pula diberikan suatu kesempatan untuk merangka modul bagi program meningkatkan komitmen dan daya juang ahli gerakan kampus, maka aku mulai berfikir dan mengkaji secara serius modul ini. Aku merujuk kembali abang-abang senior yang pernah mengaplikasikan modul ini ke atas kami dahulu.

Pada mulanya, aku telah berjanji pada diri sendiri dan juga pada semua sahabat-sahabat lain supaya kami membatalkan sahaja modul menolak pokok ini yang telah pun diamalkan sedari dahulu lagi. Bagi kami ianya useless and no meaning. Kami mahu memikirkan kaedah lain yang boleh membangunkan jiwa manusia pejuang tanpa perlu ada adegan menolak pokok.

Fikir punya fikir, kami akhirnya menemui satu titik sintesis dan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam program ini agar dapat melahirkan kesan yang positif dalam diri para peserta. Antaranya adalah kami perlu tanamkan perasaan husnu al-thiqah billah dalam jiwa AJK dan perserta program. Husnu al-thiqah billah bermaksud kita yakin dan percaya dengan cukup baik terhadap Allah. Apa jua yang kita lakukan mestilah memohon bantuan dan perlindungan daripada Allah S.W.T., Tuhan Sekelian Alam.

Tolak Pokok Balak

Sebenarnya telah menjadi budaya dan pemikiran songsang dalam diri kebanyakan pejuang Islam yang mana mereka sering meletakkan gerak kerja dan usaha mereka lebih tinggi daripada doa kepada Allah. Mereka teramat rajin, komited dan tidak kurangnya juga cekap-tangkas dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah. Tetapi mereka kurang berdoa, bersolat, munajat dan bersangka baik terhadap Allah S.W.T.

Lantas, dicadangkan agar diadakan semula modul menolak pokok itu. Dan, berkebetulan dalam program itu tiada pokok kelapa sawit untuk dijadikan bukti pentarbiahan kepada Allah tetapi sekeliling kami dipenuhi hutan tebal. Maka, pokok balaklah yang dijadikan mangsa modul malam itu. Mereka perlu menolak pokok dengan harapan ianya tumbang. Kami juga dahulunya disuruh dengan cara yang demikian untuk menguji sejauh mana kami pada saat itu menolak pokok dengan sekuatnya dan seiring dengan itu, hati, perkataan dan tindakan juga mengharap kepada bantuan Allah.

Pokok tidak pernah tumbang dalam mana-mana program pun kerana para peserta menolaknya hanya kerana disuruh oleh AJK dan ada juga antara mereka yang hanya berlakon ketika menolak pokok. Dan, ada juga yang menolak dengan sepenuh hati namun tidak yakin dengan bantuan dan pertolongan Allah. Tidak yakin ataupun tidak berdoa langsung pun pada Allah. Tiada husnu al thiqah billah dalam melaksanakan tugasan yang di amanahkan. Bagaimana aku tahu? Aku pun pernah jadi peserta dahulunya dan semua perasaan itu hadir bersama sewaktu menolak pokok.

Perkara yang sama juga berlaku di luar program iaitu sewaktu kita semua bergerak kerja untuk Islam. Kita rajin berusaha tetapi tiada hubungan doa dengan Allah S.W.T. Bagaimana teman-teman?

Oleh : Nazman (hanfeitsu)

1 comment:

Anonymous said...

insya-Allah boleh dipraktikkan ni..tp mungkin x guna pokok balak la kan..