Saturday, July 28, 2007

Mahasiswa kembali menggugat atau tergugat?

BEKAS aktivis mahasiswa, Ahmad Lutfi Othman menjelaskan bahawa elemen yang perlu ada bagi memartabatkan kembali gerakan mahasiswa adalah sifat ‘non-partisan’, kemantapan agenda perjuangan dan keberanian semulajadi sebagai anak muda.

Beliau juga bersetuju dengan pendapat seorang responden terhadap tulisan Ketua KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai 'Mahasiswa Perlu Kembali Menggugat'.

Menurut responden yang menamakan dirinya Malik El-Shabaaz, terdapat tiga syarat utama untuk mahasiswa kembali menggugat.

Keperluan pertama mahasiswa untuk bangkit dan bersuara lantang adalah menjauhkan diri daripada dilabel sebagai kumpulan mahasiswa parti pembangkang.

Syarat kedua, mereka perlu bergerak berlainan daripada parti politik yang sedia ada dan syarat ketiga berani.

Malik juga menyatakan bahawa beliau yakin dan optimis bahawa mahasiswa akan kembali ke jalan raya sambil melaungkan slogan keramat yang dirinduinya iaitu 'STUDENT POWER' dan 'HIDUP MAHASISWA'.

Zaman keunggulan mahasiswa, menurut Lutfi, adalah ketika mana pelajar bebas bereksperimen sebelum pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1975.

Beliau menyokong pandangan di dalam blog anwaribrahimblog.com yang menyatakan dalam zaman Anwar aktif di kampus, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, telah berjuang habis-habisan atas isu masyarakat seperti setinggan, isu kemiskinan di Baling bagi merealisasikan peranan mahasiswa sebagai jurubicara masyarakat.

"Tak kisahlah selepas keluar kampus, mereka nak memilih aktif dalam parti politik yang mana. Bagi saya, sama ada di luar kampus mereka menganggotai parti pemerintah ataupun pembangkang, mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai jurubicara masyarakat semasa menjadi mahasiswa," ujarnya.

"Ini adalah kerana, bagi saya, dalam setiap keadaan, negara memerlukan generasi muda yang tiada kepentingan apa-apa untuk berperanan sebagai 'check and balance' kepada keputusan dan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau melahirkan kekesalan atas sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan yang menyatakan seolah-olah mahasiswa perlu ‘non-partisan’ sedangkan secara terang-terangan mereka (pihak institusi pengajian) sanggup bersekongkol dengan Umno dalam menjalankan agenda tertentu.

"Sekarang idea non-partisan itu telah hancur apabila secara sembrono dan membuta-tuli Umno, khususnya di peringkat sayap Pemuda dan Puterinya, mempengaruhi perjalanan kampus, hinggakan mereka boleh mengarahkan pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) mengikut telunjuk Umno bagi mengalahkan kumpulan mahasiswa yang dianggap propembangkang," tegas Lutfi.

Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Pengarang Harakah pernah memperincikan mekanisma komplot Umno bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor HEP 17 IPTA seluruh negara, yang diarahkan bermesyuarat di Ibu Pejabat Umno Malaysia, di PWTC, bagi mencari jalan singkat untuk memenangkan semua kumpulan pelajar Aspirasi pro-Umno dalam pilihan raya kampus dua tahun lalu.

"Apabila Umno secara biadap masuk campur sebegitu dalam, maka secara atomatik konsep non-partisan itu hanya tinggal khayalan. Malah saya cadangkan, Pemuda parti-parti pembangkang perlu berani turun ke kampus, bagi menyelamatkan masa depan anak-anak muda kita," ujarnya.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sesi 1986-87 turut menyelar tindakan Umno yang memperkudakan pegawai-pegawai kanan universiti. "Lebih malang lagi apabila pegawai-pegawai yang bergelar profesor berpangkat dato' itu rela dicucuk-hidung, dan dalam kes tertentu mereka sendiri beria-ia mahu menjadi hamba Umno," hujah Lutfi.

Menyentuh era zaman keunggulan mahasiswa yang kian sirna, Lutfi bagaimanapun berkata beliau masih yakin generasi muda hari ini punya kekuatan dan potensi luar biasa sekiranya tidak ada tangan-tangan ghaib pemerintah yang terus mengasak budaya takut ke dalam kampus.

"Berbanding dulu, tekanan yang dikenakan ke atas gerakan mahasiswa kini berada pada tahap yang boleh dikatakan luar biasa," katanya.

Bagaimanapun, beliau berbangga dalam situasi ini, mereka masih mampu mengadakan mobilasi sekumpulan mahasiswa yang bangkit untuk sesetengah isu yang menyentuh kebajikan masyarakat serta survival ummah.

Jelasnya lagi, senario kini lebih kepada agenda jahat pihak tertentu untuk membunuh idealisme mahasiswa secara tidak beradab melalui tindakan mencantas semua tunas baru yang dilihat hendak tumbuh.

"Kita tidak boleh menyalahkan 100 peratus kepada mahasiswa akan situasi kelesuan gerakan mereka mutakhir ini lantaran tekanan hebat daripada pihak luar," katanya.

Namun begitu, beliau sangat hairan akan motif sebenar tindakan pihak yang melancarkan konspirasi terancang ini.

"Kenapa pihak tertentu begitu risau melihat kumpulan pelajar yang dilihat mempunyai aspirasi berbeza dengan kerajaan sehingga sanggup melakukan apa jua tindakan termasuk mengikat tangan, menutup mata dan telinga mereka di UIA?" ujar Lutfi lagi.

"Bukankah bekas aktivis mahasiswa selepas keluar alam kampus memilih untuk aktif dengan parti pemerintah? Jadi, apa yang dibimbangkan sangat dengan trend protes anak-anak muda kita itu," tambahnya.

Berikut adalah teks penuh artikel Dato' Seri Anwar Ibrahim:

Mahasiswa perlu kembali menggugat

Dua hari lalu seramai 13 pemimpin mahasiswa berkunjung ke rumah. (Nama dan pertubuhan tidak akan dicatat atas sebab yang saudara-saudara sedia maklum).

Saya diminta menjelaskan gerakan mahasiswa menggugat pada akhir dekad 60-an dan 70-an berbanding kelesuan kini. Saya jelaskan meskipun terdapat tekanan dulu, namun ruang masih diberikan untuk mahasiswa meluahkan pandangan.

Keduanya pimpinan mahasiswa ketika itu prihatin dengan isu kemiskinan desa, rasuah, isu bahasa dan pendidikan serta persoalan akhlak dan etika yang diungkap oleh pimpinan mahasiswa terutama PBMUM, PMIUM dan PKPIM.

Beberapa profesor kanan seperti Profesor Zainal Abidin Wahid, Prof A Bakar Hamid, Prof Syed Husin Ali, Prof Khoo Kay Khim, dan Prof Tengku Shamsul juga memberikan dorongan agar mahasiswa berindak menegakkan kebenaran dan keadilan.

Kini tekanan lebih mencengkam, pimpinan universiti kebanyakannya diarah mengawal mahasiswa saperti anak-anak sekolah menengah, malah beberapa prof rela menjadi perkakas BTN dan Umno mempertahankan kezaliman dan rasuah yang berleluasa.

Saya gesa mereka supaya kembali kepada persoalan pokok, apa yang kita ungkapkan sebagai paksi tauhid yang perlu mencernakan akhlak baik dan prinsip perjuangan luhur. Generasi muda tidak ditandai daripada umur semata, malah keresahan dengan kepincangan yang berlaku serta idealisme memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Alasan tekanan AUKU ada kebenarannya tetapi ia tidak harus menjadikan kita lemah, kaku sehingga sanggup diperalatkan untuk mempertahankan kerakusan mereka.

Mahasiswa seharusnya menjadi ‘conscience of the majority’ berlandaskan prinsip murni. Maka kita harus menimba ilmu dan mampu menyanggah propaganda picisan yang dihembur media Umno-BN, melalui perbincangan kelompok kecilan, blog, pengedaran rencana.

Kita perlu punyai keberanian dan kebijaksanaan, tidak meluru menghantuk tembok dan tidak menyorok gaya si bacul.

Petikan dari : Harakahdaily

No comments: